MINDA AKHIRAT 5.0 - MATA HATI
Melihat Kehidupan dengan Cahaya Ilmu
PRAKATA
Dalam kehidupan ini, kebanyakan orang sibuk mencari sesuatu. Ada
yang mencari kejayaan, ada yang mencari kebahagiaan dan ada yang mencari
ketenangan. Namun demikian, tidak semua sedar bahawa apa yang dicari itu
sebenarnya berkait rapat dengan satu perkara - iaitu bagaimana kita melihat
kehidupan.
Perkongsian ini tidak ditulis untuk menambah ilmu pengetahuan
semata-mata. Ia ditulis sebagai satu perjalanan - perjalanan untuk melihat
semula kehidupan dengan cara yang berbeza. Daripada melihat dengan mata kasar, kepada
melihat dengan mata akal dan akhirnya kepada melihat dengan mata hati.
Dalam perjalanan hidup, saya sendiri pernah berada dalam
keadaan mencari tanpa benar-benar memahami apa yang dicari. Banyak perkara
diketahui tetapi tidak semua difahami. Banyak usaha dilakukan tetapi tidak
semuanya membawa kepada ketenangan. Sehinggalah satu ketika, saya mula sedar
bahawa masalahnya bukan pada kehidupan itu sendiri tetapi pada cara saya
melihat kehidupan.
Dari situlah bermulanya perjalanan ini - perjalanan mencari
hidayah, memahami ilmu dan memperbaiki diri. Sedikit demi sedikit, kefahaman
mula terbina. Apa yang dahulu kelihatan biasa, mula mempunyai makna. Apa yang
dahulu dilihat sebagai kebetulan, mula difahami sebagai aturan.
Perkongsian ini adalah himpunan daripada perjalanan tersebut.
Ia bukan sekadar teori tetapi gabungan antara ilmu, pengalaman dan renungan. Setiap
bab disusun untuk membawa pembaca melalui satu proses - daripada tidak sedar, kepada
memahami dan seterusnya kepada merasai.
Namun demikian, perkongsian ini bukan untuk dibaca dengan
cepat. Ia bukan untuk dihabiskan tetapi untuk dihayati. Setiap bahagian mungkin
memerlukan masa untuk difahami. Setiap ayat mungkin memerlukan ruang untuk
direnungkan.
Apa yang penting bukan berapa banyak yang dibaca tetapi
berapa banyak yang benar-benar masuk ke dalam diri.
Jika perkongsian ini mampu membuat pembaca berhenti seketika
dan berfikir jika ia mampu membuka satu sudut pandang yang baru jika ia mampu
menggerakkan hati untuk berubah walaupun sedikit. Maka tujuan penulisan ini
telah tercapai.
Akhirnya, perkongsian ini bukan tentang saya tetapi tentang
kita semua - tentang perjalanan mencari makna dalam kehidupan.
Semoga setiap yang membaca diberi kefahaman, dan semoga
setiap kefahaman itu membawa kepada perubahan kerana dalam kehidupan ini bukan
semua yang tahu itu faham dan bukan semua yang faham itu berubah.
Namun perubahan sentiasa bermula dengan satu perkara iaitu kesedaran.
Lagipun dalam Islam kalau nak berjaya di dunia kena ada ilmu
dan kalau nak beraya di akhirat juga kena ada ilmu. Ilmu adalah rahsianya jadi
dalam perkongsian ini saya akan huraikan pengisian-pengisian ilmu yang penting
untuk kita timba dalam diri kita degan harapan ia membawa manfaat yang banyak.
InsyaAllah.
Sekian dulu…
0166667430
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan