Rabu, 23 September 2026

SISTEM OPERASI AKAL DAN MINDA AKHIRAT

SISTEM OPERASI AKAL DAN MINDA AKHIRAT

Setiap manusia mempunyai akal untuk berfikir, hati untuk merasa dan kehidupan untuk membuat pilihan. Namun begitu, tidak semua perkara yang masuk ke dalam akal akan membawa manusia kepada kebenaran. Ada input yang membina, ada input yang merosakkan, ada input yang membawa manusia semakin dekat kepada Allah SWT dan ada juga input yang perlahan-lahan menjauhkan manusia daripadaNya. Oleh yang demikian, persoalan yang sangat penting dalam kehidupan bukan sekadar apa yang kita fikirkan, tetapi apakah input yang kita benarkan masuk ke dalam pemikiran kita.

FY semakin memahami bahawa kehidupan manusia sebenarnya banyak dipengaruhi oleh input yang diterima setiap hari. Apa yang dibaca, apa yang didengar, apa yang ditonton, siapa yang dijadikan rujukan, siapa yang dipercayai dan nilai apa yang sentiasa diulang dalam kehidupan akhirnya akan membentuk cara seseorang melihat dunia. Mempengaruhi cara kita bertindak dan membuat keputusan dalam menjalani kehidupannya. Ia akan menentukan samaada kita akan berminda dunia atau berminda akhirat.

Input tersebut akan masuk ke dalam akal, diproses menjadi pemikiran seterusnya membentuk prinsip yang dipegang. Prinsip ini pula akan mempengaruhi keputusan dan tindakan. Apabila tindakan dilakukan berulang kali, ia akan menjadi kebiasaan. Kebiasaan akhirnya membentuk kehidupan seseorang. Oleh yang demikian, satu perkara yang kelihatan kecil seperti memilih input sebenarnya boleh memberikan kesan yang sangat besar terhadap perjalanan hidup seorang manusia.

Bagi FY, kepercayaan dan keyakinan kepada Allah SWT serta agama Islam adalah sebab kenapa perkara yang paling penting untuk dimasukkan ke dalam akal dan hati ialah input yang bersumberkan Al-Quran, Sunnah dan ilmu yang tidak bercanggah dengan prinsip Islam.

Ia bukan bermaksud kita menolak semua ilmu yang datang daripada luar rangkuman keislaman. Ilmu dunia seperti teknologi, matematik, perubatan, sejarah, geografi, ekonomi, pengurusan dan pelbagai bidang lain boleh dimanfaatkan selagi tidak bercanggah dengan prinsip agama. Islam bukan agama yang menghalang manusia daripada mencari ilmu. Sebaliknya, Islam memberikan neraca supaya manusia mengetahui bagaimana ilmu tersebut harus digunakan dan untuk apa.

Di sinilah pentingnya sistem penapisan dalam akal. Manusia tidak sepatutnya menerima setiap input secara bebas hanya kerana ia popular, disampaikan oleh orang yang terkenal atau diterima oleh masyarakat. Sesuatu idea perlu dinilai. Setiap prinsip perlu diperiksa. Sesuatu pemikiran perlu ditimbang. Bagi seorang Muslim, Al-Quran dan Sunnah menjadi antara penapis utama dalam proses tersebut. Apa yang selari dengan kebenaran akan diterima dan dimanfaatkan. Apa yang jelas bercanggah dengan prinsip Islam perlu ditinggalkan. Inilah yang FY maksudkan sebagai sistem operasi akal. Kita bukan sekadar mempunyai akal untuk menerima maklumat tetapi mempunyai akal untuk menapis maklumat.

Masalah yang berlaku dalam kehidupan manusia ialah apabila input diterima tanpa tapisan. Seseorang boleh membaca pelbagai buku, mengikuti pelbagai tokoh, menonton pelbagai kandungan dan mendengar pelbagai pandangan sehingga akhirnya prinsip kehidupannya menjadi bercampur-aduk. Dalam satu keadaan dia menggunakan prinsip Islam, dalam keadaan yang lain dia menggunakan prinsip sekular yang bercanggah dengan Islam.

Dalam satu keadaan dia percaya kepada ketentuan Allah SWT, namun dalam keadaan yang lain dia meletakkan kejayaan dunia sebagai ukuran mutlak kehidupan. Percampuran ini boleh menyebabkan seseorang mengalami konflik dalam menentukan keputusan kerana dia tidak mempunyai satu sistem akal yang jelas.

Hakikatnya Islam memberikan satu kerangka kehidupan yang menyeluruh. Islam tidak hanya mengajar manusia bagaimana untuk beribadah di masjid semata-mata tetapi mengajar manusia bagaimana untuk hidup. Islam memberikan garispanduan tentang hubungan manusia dengan Allah SWT, hubungan sesama manusia, keluarga, pekerjaan, kekayaan, ilmu, kepimpinan, akhlak, ujian, kesabaran, syukur, kematian dan kehidupan selepas mati.

Justeru itu, apabila seseorang benar-benar menjadikan Islam sebagai asas pemikiran, Islam bukan lagi sekadar agama yang diamalkan pada waktu tertentu. Islam menjadi cara manusia melihat seluruh kehidupan.

Sebab itulah FY percaya bahawa banyak rahsia kehidupan yang dicari oleh manusia sebenarnya telah diberikan petunjuknya melalui Islam. Rahsia ketenangan, misalnya, bukan semata-mata terletak pada banyaknya duit, besarnya rumah, mahalnya kereta atau tingginya kedudukan.

Allah SWT berfirman bahawa hati menjadi tenteram dengan mengingati Allah SWT. Zikrullah menghidupkan hati kerana manusia kembali mengingati siapa dirinya, siapa Penciptanya dan kepada siapa akhirnya dia akan kembali. Dunia mungkin berubah setiap hari tetapi hati yang mempunyai hubungan dengan Allah SWT mempunyai tempat untuk kembali apabila berhadapan dengan tekanan, kehilangan dan ketidakpastian.

Begitu juga dengan kekayaan. Islam tidak mengajar manusia supaya membenci kekayaan. Islam mengajar manusia supaya memahami kedudukan kekayaan. Duit boleh menjadi alat kebaikan apabila digunakan pada jalan yang benar. Sedekah mengajar manusia melepaskan sebahagian daripada apa yang dimilikinya untuk memberikan manfaat kepada orang lain.

Apabila seseorang mempunyai kemampuan lalu menggunakan duitnya untuk membantu keluarga, membangunkan ilmu, membantu golongan yang memerlukan dan memberikan manfaat kepada Ummah, kekayaan tersebut tidak lagi sekadar menjadi milik peribadi. Ia menjadi wasilah untuk menghasilkan manfaat yang lebih besar. Rezeki tetap berada dalam ketentuan Allah SWT, manakala manusia diperintahkan berusaha, berdoa, bersyukur dan menggunakan nikmat yang diberikan dengan cara yang diredaiNya.

Rahsia kejayaan pula perlu dilihat dari perspektif yang lebih luas. Dunia sering mendefinisikan kejayaan melalui pencapaian material, jawatan, populariti dan kekayaan. Islam memberikan perspektif yang lebih panjang. Kehidupan dunia hanya sebahagian daripada perjalanan manusia. Kehidupan akhirat adalah kehidupan yang kekal. Oleh yang demikian, seseorang yang mempunyai Minda Akhirat tidak semestinya menolak kejayaan dunia. Sebaliknya, dia menggunakan kejayaan dunia sebagai alat untuk mencapai matlamat yang lebih besar. Dia mencari duit tetapi tidak menjadikan duit sebagai Tuhan. Dia mengejar kejayaan, tetapi tidak menjadikan pujian manusia sebagai tujuan utama. Dia membina kekayaan, tetapi memahami bahawa semua yang dimiliki akhirnya akan dipersoalkan oleh Allah SWT.

Inilah perbezaan besar antara seseorang yang hidup hanya untuk dunia dengan seseorang yang hidup dengan Minda Akhirat. Orang yang hanya melihat dunia mungkin bertanya, “Apa yang aku akan dapat?” Orang yang mempunyai Minda Akhirat akan bertanya, “Apa manfaat yang boleh aku berikan dan apakah yang akan aku bawa menghadap Allah SWT?” Dua soalan ini boleh menghasilkan keputusan yang sangat berbeza. Soalan pertama mungkin membawa manusia kepada persaingan mendapatkan lebih banyak. Soalan kedua boleh membawa manusia kepada usaha menjadi lebih bermanfaat.

Rasulullah SAW juga mengajar umatnya supaya memahami bahawa manusia yang terbaik ialah manusia yang memberikan manfaat kepada manusia lain. Prinsip ini memberikan satu perspektif yang besar kepada kehidupan. Kejayaan seseorang tidak semestinya diukur melalui apa yang berjaya dikumpulkannya, tetapi juga melalui berapa banyak manfaat yang berjaya ditinggalkannya. Seorang guru meninggalkan ilmu. Seorang doktor memberikan rawatan. Seorang usahawan menyediakan pekerjaan. Seorang penulis menyebarkan ilmu. Seorang pelabur menyediakan modal kepada syarikat. Seorang ibu dan bapa membentuk generasi. Setiap manusia mempunyai ruang untuk memberikan manfaat mengikut kemampuan masing-masing.

Apabila kita memahami perkara ini, prinsip hidup kita akan berubah. Kita tidak lagi bertanya tentang keuntungan untuk diri semata-mata. Kita mula bertanya tentang keberkatan, manfaat dan tanggungjawab. Kita akan mula memahami bahawa setiap kelebihan yang Allah SWT berikan kepadanya sebenarnya membawa amanah. Jika dikurniakan ilmu, ilmu itu perlu dimanfaatkan. Jika dikurniakan duit, duit itu perlu digunakan dengan baik. Jika dikurniakankan masa, masa itu perlu diuruskan dengan sebaiknya. Jika dikurniakan pengaruh, pengaruh itu perlu digunakan untuk kebaikan. Jika dikurniakan kejayaan, kejayaan itu perlu menjadi sebab orang lain turut mendapat manfaat.

Sebaliknya, apabila seseorang menerima input yang meletakkan dunia sebagai ukuran mutlak, prinsip hidupnya boleh berubah. Nilai manusia mungkin diukur berdasarkan duit, jawatan, pengaruh dan kemasyhuran. Kejayaan mungkin dianggap tercapai apabila seseorang mempunyai lebih daripada orang lain. Kebahagiaan pula mungkin dicari melalui pemilikan benda yang tidak pernah cukup. Dalam keadaan seperti ini, manusia boleh memiliki banyak perkara tetapi masih merasakan kekosongan dalam dirinya. Hal ini bukan bermaksud setiap kejayaan material itu buruk tetapi apabila dunia menjadi matlamat tertinggi, manusia berisiko kehilangan matlamat tentang tujuan sebenar kehidupannya.

Islam mengubah perspektif tersebut dengan mengembalikan manusia kepada hakikat bahawa segala sesuatu adalah milik Allah SWT. Manusia hanya menerima amanah untuk menguruskan apa yang dikurniakan. Kesihatan ialah amanah. Keluarga ialah amanah. Duit ialah amanah. Ilmu ialah amanah. Masa ialah amanah. Bahkan kehidupan itu sendiri adalah amanah. Apabila kesedaran ini masuk ke dalam akal dan hati, seseorang akan menjadi lebih berhati-hati dalam membuat keputusan kerana dia tahu bahawa kehidupan ini bukan miliknya secara mutlak.

Atas sebab itu, FY melihat bahawa kita perlu menjaga input yang masuk ke dalam ke dalam akal fikiran kita. Apa yang kita baca sebelum tidur mungkin mempengaruhi fikiran kita. Apa yang kita tonton setiap hari mungkin mempengaruhi nilai yang kita anggap normal. Siapa yang kita jadikan idola mungkin mempengaruhi cita-cita kita. Siapa yang kita dengar nasihatnya mungkin mempengaruhi keputusan kita. Persekitaran yang kita pilih pula boleh menentukan samaada prinsip kita semakin kuat atau semakin lemah. Oleh yang demikian, menjaga input bukan perkara kecil. Ia sebahagian daripada usaha menjaga hati, akal dan seluruh kehidupan.

Namun begitu, seorang Muslim tidak seharusnya hidup dalam ketakutan terhadap ilmu. Islam menggalakkan pencarian ilmu yang bermanfaat. Apa yang diperlukan ialah satu sistem akal yang menjaga dan memelihara input  mana yang boleh masuk dan input mana yang tidak dibenarkan masuk. Kita boleh belajar daripada pelbagai sumber tetapi tidak semestinya menerima semua prinsip yang dibawa bersama sumber tersebut.

Kita boleh mempelajari ilmu ekonomi tanpa menerima materialisme sebagai falsafah hidup. Kita boleh mempelajari teknologi tanpa menjadikan teknologi sebagai tujuan kehidupan. Kita boleh mempelajari psikologi tanpa mengabaikan dimensi rohani manusia. Kita boleh mempelajari strategi perniagaan tanpa meninggalkan amanah dan kejujuran. Ilmu boleh dimanfaatkan, sementara prinsip hidup tetap berpaksikan Islam.

Di penghujung cerita, persoalan terbesar bukanlah berapa banyak input yang kita miliki, tetapi apakah input yang kita pilih untuk dipercayai dan dijadikan prinsip. Manusia boleh memiliki ribuan maklumat tetapi masih tidak mempunyai arah dan matlamat. Manusia boleh membaca ratusan buku tetapi masih tidak mengetahui tujuan hidup. Manusia boleh mengikuti ramai tokoh tetapi masih kehilangan dirinya sendiri. Oleh yang demikian, kita memerlukan sesuatu yang lebih besar daripada sekadar maklumat. Kita memerlukan petunjuk.

Bagi FY, petunjuk itu membawa manusia kembali kepada Allah SWT. Apabila Allah SWT menjadi sandaran, kehidupan mempunyai akan punya arah. Apabila Al-Quran dan Sunnah menjadi penapis, keputusan mempunyai panduan. Apabila akhirat menjadi destinasi, dunia dapat diletakkan pada tempatnya. Kita masih bekerja, berniaga, mencari ilmu, membina kekayaan dan mengejar kejayaan tetapi semuanya dilakukan dengan kesedaran bahawa kita akan kembali kepada Allah SWT.

Inilah yang FY maksudkan dengan Minda Akhirat. Ia bukan bermaksud meninggalkan dunia. Ia bermaksud melihat dunia melalui perspektif akhirat. Dunia digunakan, bukan disembah. Duit dimanfaatkan, bukan dijadikan matlamat mutlak. Kejayaan dikejar tetapi keberkatan tidak ditinggalkan. Ilmu dicari tetapi tidak menjadikan kita sombong. Kekayaan dibina, tetapi manfaat kepada manusia tidak dilupakan. Kehidupan dinikmati tetapi kematian sentiasa diingati.

Akhirnya, perjalanan manusia boleh difahami melalui satu rangkaian yang sangat mudah. Input membentuk pemikiran. Pemikiran membentuk prinsip. Prinsip membentuk keputusan. Keputusan membentuk tindakan. Tindakan yang diulang membentuk kehidupan. Kehidupan pula menentukan apa yang akan kita bawa menghadap Allah SWT.

Oleh yang demikian, sebelum kita bertanya mengapa kehidupan kita menjadi seperti hari ini, mungkin kita perlu bertanya terlebih dahulu: Apakah yang selama ini kita masukkan ke dalam akal dan hati kita? Apakah prinsip yang terbentuk daripada input tersebut? Siapakah yang menjadi rujukan kita? Apakah sistem akal yang kita gunakan ketika membuat keputusan?

Jika jawapannya sentiasa kembali kepada Allah SWT, Al-Quran, Sunnah, ilmu yang bermanfaat dan usaha memberikan manfaat kepada manusia, InsyaAllah perjalanan kehidupan kita mempunyai visi dan misi yang jelas.

Jagalah input yang masuk kerana input membentuk pemikiran.

Jagalah pemikiran kerana pemikiran akan membentuk prinsip.

Jagalah prinsip kerana prinsip membentuk tindakan.

Jagalah tindakan kerana tindakan akan membentuk kehidupan.

Jagalah kehidupan kerana kehidupan inilah yang akhirnya akan kita bawa menghadap Allah SWT.

Itulah asas Minda Akhirat.

Wallahu’alam

Sekian dulu, jom kita sambung penceritaan dalam artikel yang seterusnya dalam blog ini. Semoga bermanfaat. 

Terima kasih.

 

Ikhlas,

Haji Faizal Yusup

www.mindaakhirat.com

Haji Faizal Yusup sudah menulis 12 buah buku dalam genre umum, fiksyen, motivasi, novel dan pelaburan saham Bursa Malaysia. Pernah memenangi Dana Anugerah Penulis melalui novel Bukan Maksum dan Trilogi Man Rempit pada tahun 2012 dari Kementerian Telekomunikasi dan Multimedia. Pernah dijemput untuk menjalankan seminar, bengkel dan woksyop motivasi di sekolah dan universiti. Dewasa ini menubuhkan Yayasan Minda Akhirat dan menjalankan program motivasi Minda Akhirat. Revolusi Baru Pembangunan Sahsiah Diri.

www.bicarapelaburan.com

Beliau juga merupakan seorang Top Performing Remisier di Kenanga Investment Bank Berhad. Pemenang pelbagai Anugerah Bursa Malaysia. Mantan Naib Presiden Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia dan pernah menjadi speaker dalam RoadShow InvestSmart anjuran Suruhanjaya Sekuriti. Dewasa ini beliau sering dijemput sebagai speaker dalam seminar saham From Zero to Hero yang diiktiraf Bursa Malaysia. 

Beliau boleh dihubungi di talian 0166667430.

#mindaakhirat

#faizalyusup


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SISTEM OPERASI AKAL DAN MINDA AKHIRAT

SISTEM OPERASI AKAL DAN MINDA AKHIRAT Setiap manusia mempunyai akal untuk berfikir, hati untuk merasa dan kehidupan untuk membuat pilihan....