NILAI MENJADI PRINSIP DIRI
Dalam artikel sebelum ini, pembentukan diri itu berlaku
daripada nilai yang kosong. Seumpama seorang budak kecil yang kali pertama
pergi ke panggung wayang. Kali pertama didedahkan kepada sesuatu pengalaman
baharu. Dalam artikel kali ini pula, saya ingin mengajak para pembaca yang
budiman memikirkan tentang perbezaan nilai yang ada dan bagaimana nilai-nilai
ini dipilih secara sedar mahupun tidak, lalu menjadi prinsip pegangan hidup
seseorang.
Dalam membicarakan topik ini, nilai ialah sesuatu yang belum
menjadi prinsip dalam diri. Sesuatu nilai yang diterapkan secara berulang-ulang
akhirnya akan menjadi prinsip pegangan seseorang. Nilai ini akan melalui proses
pengulangan dan pengukuhan sebelum ia benar-benar sebati dalam diri.
Dalam memahami perkara ini, nilai merupakan sesuatu yang
boleh berubah-ubah manakala prinsip pula lebih tetap sifatnya. Namun demikian,
terdapat juga nilai yang selari dengan prinsip dan tidak boleh diubah walau
dalam apa jua keadaan sekalipun. Contohnya bercakap benar, jujur dan ikhlas.
Nilai-nilai ini diterima secara umum oleh masyarakat tanpa mengira bangsa dan
agama. Baik masyarakat Barat mahupun Islam, semuanya mengakui bahawa kejujuran
dan kebenaran adalah sesuatu yang mulia.
Pada masa yang sama, ada juga nilai yang berbeza dari sudut
perlaksanaannya walaupun prinsipnya sama. Contohnya prinsip menutup aurat.
Agama Islam menetapkan bahawa lelaki wajib menutup aurat sekurang-kurangnya
daripada pusat hingga ke lutut. Namun nilai perlaksanaannya berbeza antara
individu dan budaya masyarakat. Di negara Arab, ada yang memakai jubah. Di
Malaysia pula ada yang memakai baju dan seluar panjang. Nilai pemakaian seperti
ini sebenarnya tidak menggambarkan tahap keimanan seseorang secara mutlak.
Orang yang beriman tidak semestinya berjubah, berkopiah dan berjanggut panjang
kerana walaupun hanya memakai seluar panjang dan t-shirt, dia masih berada
dalam prinsip menutup aurat yang disarankan oleh Islam.
Bagi memudahkan kefahaman, mari kita lihat contoh nilai
pemakaian wanita Islam di negara ini:
- Terdedah
- Berbaju kurung tetapi tidak bertudung
- Berseluar jeans dan t-shirt lengan pendek tetapi
bertudung
- Berbaju kurung atau berjubah dan bertudung
- Berpurdah
Nilai yang manakah telah sebati dan menjadi prinsip dalam
diri anda? Saya pernah bertemu dengan seorang wanita Melayu yang berambut
perang, memakai kanta lekap berwarna biru dan berpakaian seksi. Namun beberapa
tahun kemudian beliau berubah memakai jubah dan bertudung labuh sehingga
bergelar Hajjah. Nilai yang diterapkan secara berterusan akhirnya menjadi
prinsip kehidupan seseorang.
Pada masa yang sama, saya juga pernah bertemu dengan individu
yang mempunyai prinsip hidup tidak mempercayai institusi perkahwinan,
memperjuangkan hubungan sejenis, mengamalkan seks bebas, tidak mahu memiliki
anak dan tidak makan daging. Nilai yang diterapkan secara berulang-ulang
akhirnya membentuk prinsip kehidupan mereka.
Nilai asas seperti menghargai masa dan menepati waktu telah
menjadi budaya masyarakat Jepun dan Barat. Contohnya, bas yang ditunggu akan
sampai tepat pada waktunya. Nilai produktiviti masyarakat mereka juga sangat
tinggi jika dibandingkan dengan kebanyakan masyarakat lain. Mari kita lihat
beberapa contoh perbezaan nilai kegigihan:
- Nilai kegigihan masyarakat Jepun ialah bekerja
bersungguh-sungguh dan berdisiplin.
- Nilai kegigihan masyarakat Barat pula lebih tertumpu
kepada produktiviti dan pencapaian.
- Sebahagian masyarakat Melayu masih terperangkap dengan
budaya suka bertangguh dan kurang produktif.
- Nilai kegigihan seorang Muslim pula ialah hidup dalam
rangkuman ibadah dan mencari keredaan Allah SWT.
Hakikatnya, kemajuan sesebuah tamadun bukan hanya terletak
pada kecanggihan prasarananya tetapi juga pada pembangunan insan. Negara-negara
maju memahami hakikat ini, sebab itulah mereka sangat menekankan pembangunan
ilmu, disiplin, produktiviti dan budaya kerja berkualiti. Mereka sanggup
membayar gaji yang tinggi untuk mendapatkan khidmat golongan cendekiawan,
saintis, jurutera dan pakar dalam bidang tertentu demi membangunkan negara dan
masyarakat mereka.
Memahami hakikat ini, saya merasakan bahawa adalah lebih baik
kita mencari prinsip hidup yang benar-benar kukuh untuk diterapkan dalam diri.
Pada masa yang sama, kita juga perlu memilih nilai perlaksanaan yang terbaik
bagi membawa kejayaan dunia dan akhirat. Contohnya prinsip menghargai masa dan
kegigihan seperti yang diamalkan oleh masyarakat maju akan memberikan ganjaran
kewangan dan kejayaan dunia. Prinsip menutup aurat dan mengikut sunnah
Rasulullah SAW pula bakal mendatangkan pahala dan keberkatan daripada Allah
SWT.
Sesuatu prinsip yang ingin diterapkan ke dalam diri perlu
melalui proses nilai perlaksanaan yang berterusan melalui pengulangan dan
pengukuhan sehingga ia benar-benar sebati. Bukan mudah untuk menjadi seorang
yang sentiasa bercakap benar, pemaaf, rendah hati, jujur, pemurah, ikhlas dan
menghargai masa. Semua itu memerlukan latihan jiwa yang berterusan.
Contohnya dalam nilai memaafkan:
- Semua kesalahan dimaafkan
- Hanya kesalahan tertentu boleh dimaafkan
- Orang yang bersalah mesti meminta maaf dahulu
- Orang yang bersalah mesti dibalas
- Tidak mahu memaafkan sampai bila-bila
Pemaafkah kita sebenarnya? Masih adakah manusia yang belum
kita maafkan? Sudah berapa lama? Sehari? Seminggu? Setahun? Atau seumur hidup?
Jika masih menyimpan dendam terlalu lama, mungkin hakikatnya kita bukan seorang
pemaaf tetapi seorang pendendam. Maafkanlah sahaja kerana mereka mungkin tidak
mengetahui kesalahan mereka. Rasulullah SAW memaafkan umatnya dan Allah SWT
Maha Pengampun. Siapalah kita untuk terlalu sukar memaafkan manusia lain?
Nilai membawa maksud sesuatu yang mempunyai harga atau nilai
tertentu. Maka kehidupan juga sebenarnya adalah satu bentuk pelaburan. Nilai
yang manakah mahu kita tanamkan dalam diri? Nilai yang manakah bakal memberikan
keuntungan kepada kehidupan kita pada masa hadapan?
Kepelbagaian nilai dalam kehidupan sebenarnya memberi kesan
besar terhadap masa depan seseorang. Nilai berpakaian sopan lebih menjaga
maruah dan keselamatan berbanding keterdedahan. Nilai rajin dan produktif pula
jauh lebih tinggi daripada nilai suka membuang masa. Begitu juga nilai
kegigihan lebih bernilai daripada sifat malas dan mudah berputus asa. Orang
yang terbuka fikirannya lebih mudah menerima ilmu dan menyelesaikan masalah
berbanding orang yang sempit pemikirannya. Orang yang bersemangat pula akan terus
bangkit berusaha walaupun berkali-kali gagal.
Mengetahui hakikat ini, pilihlah nilai yang paling tinggi
harganya untuk dijadikan prinsip hidup. Kerana akhirnya prinsip-prinsip inilah
yang akan menentukan siapa diri kita pada masa hadapan.
Oh ya, saya ingin menambah satu lagi nilai dalam kehidupan:
Nilai bersolat:
- Tidak solat
- Solat Jumaat sahaja
- Solat antara satu hingga empat waktu sahaja
- Solat lima waktu tetapi selalu lewat dan bersendirian
- Solat lima waktu berjemaah di awal waktu
Kita berada di tahap yang mana satu?
Sekian dulu, jom kita sambung penceritaan dalam artikel yang seterusnya dalam blog ini. Semoga bermanfaat.
Terima kasih.
Ikhlas,
Haji Faizal Yusup sudah menulis 12 buah buku dalam genre umum, fiksyen, motivasi, novel dan pelaburan saham Bursa Malaysia. Pernah memenangi Dana Anugerah Penulis melalui novel Bukan Maksum dan Trilogi Man Rempit pada tahun 2012 dari Kementerian Telekomunikasi dan Multimedia. Pernah dijemput untuk menjalankan seminar, bengkel dan woksyop motivasi di sekolah dan universiti. Dewasa ini menubuhkan Yayasan Minda Akhirat dan menjalankan program motivasi Minda Akhirat. Revolusi Baru Pembangunan Sahsiah Diri.
Beliau juga merupakan seorang Top Performing Remisier di Kenanga Investment Bank Berhad. Pemenang pelbagai Anugerah Bursa Malaysia. Mantan Naib Presiden Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia dan pernah menjadi speaker dalam RoadShow InvestSmart anjuran Suruhanjaya Sekuriti. Dewasa ini beliau sering dijemput sebagai speaker dalam seminar saham From Zero to Hero yang diiktiraf Bursa Malaysia.
Beliau boleh dihubungi di talian 0166667430.
#mindaakhirat
#faizalyusup
Tiada ulasan:
Catat Ulasan