Saturday, September 4, 2021

BAB 14 - MINDA AKHIRAT MENCARI HIDAYAH - FUNGSI MAKHLUK CIPTAAN ALLAH


 

FUNGSI MAKHLUK

Dalam carta di atas kita dapat lihat yang Allah Taala telah menciptakan semua makhluk lain tak lain dan tak bukan ialah untuk menurut perintah Allah dan berkhidmat kepada manusia. Bumi dan segala isinya secara dasarnya menyediakan keperluan fizikal kepada kita manusia dari segi makanan, pakaian, tempat tinggal, kenderaan dan apapun juga yang boleh diubah manusia dari keadaan asalnya.

Makhluk ini mungkin terdiri dari beberapa kategori antaranya yang hidup dan kelihatan, seperti manusia, binatang, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya namun ada juga makhluk yang hidup tetapi tidak kelihatan pada kaca mata manusia umpamanya jin, syaitan dan iblis. Ada juga makhluk yang tidak hidup seperti batu, logam dan sebagainya.

Apapun kalau kita perhatikan kebanyakan makhluk ini mempunyai tugas atau fungsinya yang tersendiri. Matahari dengan kerjanya memancarkan cahaya dan memberikan haba, Lembu dengan kerja makan rumput, ikan dengan tugasnya di dalam laut, pokok dengan tugasnya menjalankan fotosintesis. Malaikat pula dijadikan Allah dengan pelbagai fungsi selain dari beramal pada Allah, Jibrail A.S. menyampaikan wahyu, Izrail mencabut nyawa, Mikail menyampaikan rezeki, Raqib dan Atid menulis amalan dan sebagainya. Malah Iblis juga dijadikan Allah untuk berkhidmat dengan menggoda manusia dan sebagainya. Namun begitu makhluk manusia punya fungsi yang bebas, boleh melakukan pelbagai perkara di muka bumi ini.

Menurut sejarah Islam semua makhluk ini pernah ditanya Allah Taala samaada mereka ingin menjadi khalifah dan semua mereka mengatakan yang mereka tak sanggup untuk berbuat demikian kecuali manusia. Oleh yang demikian itu akhirnya manusia dipertanggungjawabkan Allah untuk menjadi khalifah atau ketua di muka bumi ini bagi tujuan membawa kemakmuran kepadanya. Malangnya manusia dengan sifat yang ada dalam dirinya lebih banyak membawa kerosakan kalau dibandingkan dengan kebaikan.  

Apapun kalau kita kaji dalam Al Quran makhluk dan kejadian ini semua sebenarnya bertasbih kepada Allah dan menurut perintah yang Maha Esa. Contohnya batu dengan sifatnya yang keras digunakan untuk membuat bangunan. Apa akan terjadi kalau tiba-tiba ia melanggar perintah Allah lantas menjadi lembut? Maka saya percaya rumah anda akan runtuh.

Makhluk dengan sifatnya yang tersendiri. Air dengan sifat berdalirnya dan membersihkan, Api dengan sifatnya yang panas, Matahari dengan sifatnya yang memberikan cahaya dan haba, malaikat Mikail dengan tugasnya menyampaikan rezeki, syaitan dengan tugasnya menggoda manusia dengan izin Allah SWT. Apapun kalau kita lihat dari sudut yang lain pula kita akan dapat lihat yang pertamanya semua makhluk ini menurut perintah Allah dan keduanya mereka semua berkhidmat untuk manusia. Setakat hari ini saya belum bertemu dengan kisah malaikat yang berkhidmat untuk lembu sebagai contoh.

Makhluk Api diketahui dengan sifatnya yang panas namun tak selalu begitu kerana andai diizinkan Allah  SWT ia boleh menjadi sejuk sepertimana yang berlaku dalam kisah Nabi Ibrahim A.S. dahulu yang mana bila kaumnya membakar beliau baginda keluar dari api yang begitu marak menjulang dalam keadaan menggigil kesejukan, pakaian dan badan Nabi Ibrahim AS langsung tidak dijilat api. Allah SWT berkuasa atas tiap sesuatu dan dengan yang demikian itu boleh menukar sifat makhluk menurut kemahuanNya. Keadaan yang sama pernah berlaku pada batu yang terbang terapung kerana ingin mengikut Rasullullah SAW semasa Israq Mikraj mahupun kisah Nabi Daud yang boleh melentur besi.

Inilah antara kekuasaan Allah Taala yang perlu kita kaji dan ambil iktibar mengenai perihal makhluk ini. Allah SWT maha berkuasa  ke atas semua makhluk.

Mengetahui yang semua makhluk bertindak berdasarkan perintah Allah dan bertugas berkhidmat buat manusia maka semua makhluk ini sebenarnya boleh diperhatikan, dibuat kajian dan dijadikan iktibar untuk kebaikan kita semua. Katalah kajian yang dijalankan dengan hanya melihat pokok membolehkan kita mengkajinya dari pelbagai sudut antaranya dari sudut matematik, sains dan teknologi, pelaburan, seni dan sebagainya. DNA pokok contohnya membolehkan kita meneraju ke arah bidang bioteknologi dan sebagainya. Sistem organ manusia dan binatang pula membolehkan kita mencipta enjin dengan menggunakan sistem yang sama.

Kalau kita lihat dalam huraian tadi semua makhluk dijadikan Allah SWT untuk berkhidmat kepada Allah dan juga kepada manusia dan ini termasuklah makhluk iblis sekali. Tugas atau fungsi iblis tak sama dengan tugas dan fungsi malaikat. Fungsi iblis ialah untuk menggoda dan mengajak manusia untuk melakukan maksiat untuk sama-sama ke neraka. Kalau iblis tak menggoda manusia nescaya semua manusia akan menjadi makhluk yang baik dan patuh kepada perintah Allah SWT. Maka semua manusia akan masuk syurga kelak. Ingatlah yang iblis dan syaitan adalah musuh yang nyata bagi kita manusia.

Perkhidmatan makhluk api pula tak cukup di muka bumi ini tetapi ia juga terus berkhidmat di dalam neraka kelak. Makhluk api yang berkhidmat di muka bumi ini juga kena duduk dalam neraka? Menurut guru saya walaupun dia duduk bekerja dalam neraka tetapi sebenarnya ia dapat merasakan nikmat yang tak terhingga tatkala membakar ahli-ahli neraka sekelian.

Apapun di alam Barzakh atau di alam kubur nanti hanya kejadian Al Quran nul Karim yang bakal akan dapat membantu kita dalam menjawab persoalan kubur dan padang Mashyar selepas hari kiamat nanti Nabi Muhammad S.A.W. pula yang bakal memberikan syafaat. Oleh itu lebih baik kita berkawan dengan Al-Quran dengan selalu membaca, menghayati dan mengikut apa yang diperintah Allah dan menolak apa yang dilarang Allah dan pada masa yang sama selalu berselawat kepada Rasullullah S.A.W. dan mengikuti sunnahnya kerana makhluk lain contohnya ibubapa, pasangan, kekasih hati, kawan, harta, duit dan sebagainya tak akan dapat membantu kita di alam kubur mahupun di alam akhirat nanti.



BILA MAKHLUK BOSAN BERBICARA
Dikemaskini pada 4 Mac 2022

Nama melayu saya Bosan. Nama English saya Boredom.
Saya bersifat emosi yang tak kelihatan tapi saya boleh dirasa dalam hati manusia.
Hakikatnya saya makhluk ciptaan Allah. Tahukan Allah yang mencipta segala di langit dan di bumi termasuklah anda dan saya.
Kalau Allah tak cipta saya maka tak ada manusia yang akan bosan di dunia ini.
Owh! Saya juga tak wujud dalam syurga. Sebab kalau saya wujud di sana pasti semua manusia akan bosan duduk dalam syurga selama-lamanya.

FUNGSI DAN TUGAS SAYA

Tugas saya ialah untuk membosankan manusia dengan izin Allah Taala.
Saya tak bosankan matahari, angin, gunung, malaikat mahupun binatang dll. Itu bukan tugas saya.
Kalau matahari bosan maka mahu dia taknak bersinar pagi ni.
Kalau lembu bosan makan rumput maka apalah yang akan dimakannya pula.
Kalau malaikat maut bosan mau tak ada sesiapa yang dicabut nyawa hari ini.

Tak! Tak! Mereka semua tak pernah rasa bosan kerana mereka semua sama seperti saya patuh kepada perintah Allah dan buat apa sahaja yang disuruh tanpa soal.

Apapun memang tugas saya membosankan manusia.
Bila manusia diduga dengan saya makhluk bosan maka mereka buat memacam perkara antaranya ;

- Mereka buat itu ini, mereka pergi melancong, mereka berhubungan, mereka bersenam, berbasikal, ride, mereka bunjee jumping, mereka bersukan, main games, mereka karaoke, mereka pergi shopping dll.
- Lebih teruk lagi mereka pergi clubbing, mereka merokok, minum arak, hisap dadah, aktiviti seksual dan macam-macam lagi perkara yang dicipta untuk menghilangkan saya dari dalam hati mereka.

Sebenarnya anda manusia tak payah buat semua perkara tu. Ia akan hanya menghilangkan saya sementara sahaja. Hakikatnya hanya ada satu cara sahaja untuk menghilangkan saya dari hati 
para manusia sekelian.

Firman Allah SWT;

“Sesungguhnya HANYA dengan mengingati Allah hati akan tenteram.”

Surah Ar- Ra’d ayat 28

Ingatlah Allah, berzikir, bertasbih, bertahmid, mengaji Al Quran, solat, sentiasa ingat kepada Allah maka Allah SWT dengan kehendakNya akan menghantar makhluk bernama tenteram atau tenang akan datang ke dalam hati anda mengambil alih tempat saya si bosan. Sebenarnya bukan saya sahaja tapi kawan-kawan saya juga antaranya makhluk tekanan atau stress, putus asa, resah gelisah, kecewa, geram, marah, sedih dan seangkatan dengannya semuanya akan keluar dan berpindah dan menetap dalam hati manusia yang lain pula.

Hati mereka yang melazimi ingatan kepada Allah dengan zikrullah akan menetap di dalamnya sifat tenang lagi tenteram, bahagia, lapang, tabah dan sifat-sifat mahmudah yang lain dengan izin Allah SWT. Tiada tempat untuk saya dan kawan-kawan saya dalam hati mereka.

Hurm… Terpaksalah saya keluar dari hati anda dan pergi cari mangsa yang lain pula iaitu mereka-mereka yang tak ingat kepada Allah dan mereka-mereka yang percaya dengan kaedah dunia untuk menghilangkan saya si bosan… Biarlah mereka mengembara dan melancong ke seluruh dunia tapi saya akan tetap berada di hati mereka atas perintah Allah SWT… 

Jom kita jadikan zikrullah satu kelaziman sepanjang kehidupan agar Allah SWT kurniakan kita dengan hati yang sejahtera. Pemilik hati yang sejahtera bakal berada di dalam syurga… InshaAllah.

Faizal Yusup Al Haj
0166667430
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...

www.mindaakhirat.com

PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;


atau di Youtube, Like dan subscribe yer. Layari ;


atau di Tik Tok, layari ;


No comments:

Post a Comment

PENGENALAN BLOG MINDA AKHIRAT MENCARI HIDAYAH

Bismillahirrahmanirrahim... Assalamualaikum wbt. Salam sejahtera. Selamat datang ke blog Minda Akhirat. Terima kasih kerana sudi singgah ke ...