Wednesday, September 1, 2021

BAB 23 - MINDA AKHIRAT MENCARI HIDAYAH - PERCAYA KEPADA QADA DAN QADAR



PERCAYA KEPADA QADA DAN QADAR
 
Pengisian tentang sejarah kehidupan, tentang dari mana kita bermula dan kemanakah arah tuju kita termasuklah tentang Allah Maha Pencipta serta juga pengisian makhluk serta kejadian yang diciptaNya sudahpun saya huraikan di dalam bab-bab yang lalu. Saya harap sikit sebanyak ia membawa manfaat dan kefahaman kepada anda sidang pembaca sekelian.
 
Dalam bab seterusnya ini saya ingin menyampaikan pengisian yang lebih mikro iaitu mengenai sifat dan sikap yang ada dalam diri kita, sifat dan sikap yang kita bawa dan menjadi prinsip hidup kita selama hari ini. Siapa tahu mungkin pengisian-pengisian yang ada dalam  topik-topik yang seterusnya ini boleh membawa perubahan kepada anda dan mungkin juga secara tak langsung sedikit sebanyak membawa ketenangan dan kedamaian di dalam hati anda.

Zaman pandemik Covid 19 ini ramai yang terjejas. Kena potong gaji, diberhentikan kerja, syarikat tempat kerja ditutup, perniagaan terjejas, perniagaan terpaksa ditutup, bankrap dan seterusnya menyebabkan kita tak punya duit untuk membayar hutang rumah, hutang kereta, hutang kad kredit malah pembiayaan keluarga. Tak cukup duit nak makan dan sebagainya. Lebih teruk lagi ia menyebabkan perhubungan kita suami isteri terjejas, perhubungan dengan majikan, keluarga dan sahabat handai retak menanti belah. Ia juga memberi impak kepada jasmani dengan hadirnya pelbagai jenis penyakit, jantung, darah tinggi, penyakit mental dan sebagainya.

Jadi bagaimanakah kita hendak mengatasi semua dugaan yang datang satu demi satu ini dengan tenang?

Bagi mendapatkan jawapan mari kita buat satu senario sepertimana dalam paparan ini;





Dalam senario di atas, anda terdesak dan perlu pulang ke rumah di Nilai yang berada lebih kurang 60 km jaraknya dari Kuala Lumpur. Air ketuban isteri anda telahpun pecah dan dia dalam keadaan resah gelisah menahan kesakitan kerana hendak bersalin.
 
Anda turun ke parkir tempat letak kereta di tingkat bawah bangunan tempat anda bekerja. Entah kenapa bila nak keluar anda nampak banyak kereta yang beratur menunggu giliran untuk membayar tiket parking. Rupa-rupanya di luar hujan turun mencurah-curah. Angin bertiup kencang,  sesekali kilat sabung-menyabung dan guruh berdentam-dentum. Jalanraya jem, kereta berderet-deret. Anda yang dalam kecemasan ingin cepat mula rasa tertekan. Hujan telah menyebabkan kesesakan lalu lintas. Sedang anda terensot-ensot mengekori kenderaan di hadapan, secara tiba-tiba  lampu trafik di depan anda dipanah petir. Ia terus padam. Perjalanan terus terhenti. Semua kenderaan terhenti, terpegun tidak dapat bergerak. Perasaan geram mula menguasai diri. Selama 1 jam ada sangkut di situ sebelum kehadiran seorang polis anggota trafik yang membantu menjaga aliran lalu lintas. Begitupun perjalanan masih perlahan, kesesakan lalu lintas berterusan.
 
Setibanya dia Jalan Tun Razak, “temperature” kereta anda naik begitu tinggi dan tiba-tiba kelihatan asap keluar dari enjin kereta anda. Enjin terus terhenti, anda pula masih berada di tengah jalan di dalam kesesakan lalu lintas berserta hujan yang  mencurah-curah. Tatkala itu anda mendapat panggilan dari ibu mertua anda yang memberitahu mereka telah tiba di hospital bersalin serta menceritakan tentang keadaan isteri anda yang semakin sakit dan tak keruan lantas bertanyakan jam berapakah anda boleh tiba. Anda tenggelam punca tak tahu apa yang dikata. 
 
Dalam hujan anda keluar dan membuka bonet kereta. Penutup “radiator” anda buka. Kontang, kemungkinan “radiator” kereta anda bocor telah menyebabkan kereta  anda “overheating”. Bisik hati anda.
 
Anda perlu mencari air “radiator” di stesen minyak yang terdekat  sebagai jalan penyelesaian sementara. Hujan masih turun tanpa tanda-tanda hendak berhenti. Anda sudah basah lencun kerana di dalam kereta anda tiada payung. Kekecewaan mula mengambil tempat di hati anda. Kebarangkalian untuk sampai ke hospital untuk berada disamping isteri anda ketika dia melahirkan cahaya mata pertama anda semakin tipis.
 
Anda kembali masuk ke dalam kereta. Menunggu temperature kereta turun dengan harapan kereta anda boleh dihidupkan sebelum anda boleh memandu ke stesen minyak terdekat.   Hujan makin lebat, jalan makin sesak, sesekali kereta yang lalu membunyikan hon kerana kereta anda menghalang perjalanan  mereka.  Anda mula marah,  marah  atas semua perkara.  Marah  kerana keadaan tidak memihak kepada anda juga marah kerana orang lain tidak memahami keadaan anda yang begitu tertekan pada ketika itu.
 
Lebih 3 jam telah berlalu,  entah kenapa perut anda pula meragam.  Ia sakit memulas-mulas,  anda mula mengerang kesakitan. Anda tersangkut dalam kesesakan lalu lintas,  dalam hujan lebat, dengan kereta rosak,   ditambah pula isteri yang nak bersalin. Anda putus asa kerana tahu anda tak akan sempat sampai ke hospital untuk menyambut bayi pertama anda.
 
Tak lama selepas itu anda mendapat mesej daripada ibu mertua anda yang isteri anda telah selamat melahirkan seorang bayi perempuan. Perasaan sedih melanda kerana anda tak sempat untuk berada di sisi isteri anda ketika dia melahirkan anak pertama anda.
 
Huraian kisah ini saya paparkan dalam carta di bawah ini ;



Pernahkah peristiwa seakan sebegini melanda kehidupan anda? Dugaan demi dugaan melanda lepas satu datang satu lagi. Adakah anda tertekan kerana semua ini? Kadangkala hujan yang turun sudah cukup untuk membuatkan anda tertekan.
 
Kalau difikirkan dalam kisah ini, tak banyak yang boleh kita lakukan.  Kalaupun kita marah dengan hujanpun, bukannya kita boleh memberhentikan hujan dengan kuasa yang ada pada kita. Kita tak punya kuasa untuk buat demikian. Itu pun nasib baik tubuh badan kita dijadikan Allah “waterproof” atau kalis air. Andai tubuh badan kita dijadikan dari kain payah pula kita nak menjemurnya untuk mengeringkannya.
 
Kalau kita kecewa pun bukannya kita boleh membaiki kereta kita yang rosak pada ketika itu.  Lainlah kalau kita seorang mekanik dan dan punya kelengkapan siap dalam kereta untuk membaiki apa-apa kerosakan. Kalau kita mekanik pun, bila perut sakit kita juga tak tahu nak buat apa. Macamana pun kita terpaksa pergi berjumpa doktor. 
 
Kalau kita sedih dan mengalirkan air mata darah sekalipun oleh kerana kita tak sempat berada di samping isteri yang telah melahirkan cahaya mata pertama kita itu sekalipun, kita tak berupaya nak ubah apa-apa pun.  Bukan dengan menangis sedih dan mengalirkan air mata masa akan dapat diundurkan. Pastinya tidak. Kita juga tak boleh terbang macam Superman. Lainlah kalau kita ni lahir sebagai burung helang.  Kita juga tak ada alat “teleport” macam dalam cerita Star Trek tu. Boleh hilang kat Kuala Lumpur tiba-tiba sampai ke Nilai. 
 
Kalau kita marah kepada sesiapapun atau terhadap apapun dalam senario ini, ia tidak akan mengubah apa-apa, silap-silap ia mengundang kemarahan daripada orang lain. Silap-silap ia membawa kepada permasalahan yang lebih besar. 
 
Di penghujung cerita, bukankah yang berlaku akan tetap berlaku. Jadi  persoalan di sini ialah bagaimana kita menerima keadaan atau dugaan ini.  “Do we take it hard or do we take it easy?” Reaksi yang negatif  akan hanya membebankan dan membawa pada keadaan yang lebih menyusahkan  sedangkan reaksi yang positif akan membawa kepada ketenangan dan tindakan yang lebih rasional. 
 
Ketahuilah, tiada siapa yang suka pada orang yang pemarah, tiada siapa yang nak berkawan dengan orang yang pendendam, tiada siapa yang nak tolong orang yang mudah putus asa. Sebaliknya insan yang punya sifat tenang, pemaaf dan tak mudah putus asa lebih disenangi orang lain lantas dia punya ramai kawan.
 
Sebagai tambahan dalam kisah ini ada sebab kenapa lampu isyarat menyala merah mahupun kenapa kereta itu rosak pada masa itu. Mungkin juga kerosakan itu mengelakkan dari musibah atau dugaan yang lebih besar di depan. Mungkin juga akan berlaku kemalangan teruk di depan kerana anda tergopoh-gapah hilang pertimbangan kerana panik dengan keadaan dan sebagainya.
 
Seterusnya ada pula yang akan menggunakan perkataan KALAU.
 
Kalaulah hari tak hujan, kalaulah jalan tak jem pasti saya akan cepat sampai ke hospital, kalaulah kereta dah diservis pasti ia takkan rosak, kalaulah anak itu lahir besok pasti ini tidak berlaku, kalaulah saya ambil cuti hari ini pasti saya akan dapat  bersama dengan isteri dan melihat bayi itu dilahirkan.
 
Ketahuilah perkataan “KALAU” ini hanya membuka pintu syaitan. Dalam blog ini kita tahu yang syaitan memang tugasnya menghasut dan memesongkan akidah manusia. Jadi janganlah sesekali kita membuka pintu hati kita untuk syaitan memasukinya. Perkataan “KALAU” ini menidakkan ketentuan Tuhan. Terus terang sebagai seorang Islam keluarkan  perkataan “KALAU” ini dari dalam kamus kehidupan anda  dan jadilah orang yang yakin dengan setiap ketentuan Allah kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan setiap sesuatu. Percaya kepada Qada dan Qadar Allah ini adalah salah satu cabang Rukun Iman.
 
Kisah ini bersambung dalam bab yang akan datang.
 

Faizal Yusup Al Haj
0166667430
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...

www.mindaakhirat.com

PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;


atau di Youtube, Like dan subscribe yer. Layari ;


atau di Tik Tok, layari ;


No comments:

Post a Comment

PENGENALAN BLOG MINDA AKHIRAT MENCARI HIDAYAH

Bismillahirrahmanirrahim... Assalamualaikum wbt. Salam sejahtera. Selamat datang ke blog Minda Akhirat. Terima kasih kerana sudi singgah ke ...