MINDA AKHIRAT 5.0 - MATA HATI
Melihat Kehidupan dengan Cahaya Ilmu
BAB 6
APAKAH ILMU YANG SEBENAR?
Dalam kehidupan hari ini, ramai manusia menganggap bahawa
ilmu adalah apa yang mereka tahu. Semakin banyak maklumat yang dimiliki, semakin
tinggi mereka merasakan diri mereka berilmu. Namun demikian, tidak semua yang
diketahui itu adalah ilmu yang sebenar.
Maklumat boleh dikumpul, dihafal dan diulang. Seseorang boleh
mengetahui banyak perkara tanpa benar-benar memahami. Dia boleh bercakap dengan
lancar, tetapi tidak semua yang disebut itu memberi kesan kepada dirinya. Di
sinilah perbezaan antara maklumat dan ilmu yang sebenar. Maklumat adalah sesuatu yang sentiasa berubah sedangkan ilmu bersifat tetap. Ilmu yang sebenar adalah ilmu Allah SWT.
Ilmu yang sebenar dari Allah SWT, bukan sekadar apa yang masuk dan berada dalam akal tetapi apa yang memberi kesan kepada hati dan kehidupan. Ia mengubah cara
seseorang melihat, berfikir dan bertindak. Jika sesuatu yang diketahui tidak
membawa perubahan ke arah kebenaran dan mendekatkan diri dengan Allah SWT maka ia bukan ilmu yang sebenar.
Dalam kehidupan, seseorang mungkin tahu bahawa sesuatu
perkara itu baik. Dia memahami kepentingannya dan boleh menerangkannya kepada
orang lain. Namun jika dia tidak melakukannya, ini menunjukkan bahawa apa yang
dia tahu belum benar-benar menjadi ilmu dalam dirinya.
Ilmu yang sebenar mempunyai arah. Sekali lagi ditegaskan, ia membawa seseorang kepada
kebenaran dan mendekatkan dirinya kepada Allah SWT. Ia bukan sekadar menambah
pengetahuan, tetapi membimbing kehidupan. Tanpa arah ini, ilmu boleh menjadi
beban atau sekadar hiasan.
Lebih halus lagi, ilmu yang sebenar melahirkan kesedaran. Seseorang
menjadi lebih peka terhadap dirinya - terhadap niat, tindakan dan pilihan yang
dibuat. Dia tidak lagi hidup secara automatik, tetapi dengan penuh berhati-hati berlandaskan kesedaran yang tinggi.
Dalam masa yang sama, ilmu yang sebenar juga melahirkan
kerendahan diri. Semakin seseorang memahami, semakin dia sedar betapa banyak
yang belum diketahui. Dia tidak merasa dirinya hebat tetapi semakin berjaga-jaga dalam menjalani kehidupan.
Namun demikian, tidak semua ilmu memberi kesan yang sama. Ada
ilmu yang hanya berada di permukaan, dan ada ilmu yang masuk ke dalam hati. Ilmu
yang masuk ke dalam hati akan hidup, berkembang dan memandu seseorang tanpa
perlu dipaksa.
Akhirnya, ilmu yang sebenar bukan diukur pada banyaknya apa
yang diketahui tetapi pada sejauh mana ia mengubah diri.
Bukan pada apa yang boleh kita katakan tetapi pada apa yang
kita lakukan kerana dalam kehidupan ini, ramai manusia tahu tetapi hanya
sedikit yang benar-benar berilmu.
Sekian dulu…
0166667430
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...