Memaparkan catatan dengan label Kefahaman dalam beragama. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kefahaman dalam beragama. Papar semua catatan

Selasa, 17 Mac 2026

BAB 33 - TEORI @ LANGKAH-LANGKAH MENCARI HIDAYAH

 

BAB 33

TEORI MENCARI HIDAYAH

Al-Quran

“Bukanlah mata yang buta tetapi yang buta ialah hati yang berada di dalam dada. ”

Surah Al-Hajj 22:46

Hidayah adalah nikmat yang sangat besar dalam kehidupan manusia. Tanpa hidayah, seseorang boleh hidup bertahun-tahun dalam keadaan yang biasa tanpa menyedari arah sebenar kehidupannya. Hidayah membuatkan seseorang melihat kehidupan dengan pandangan yang berbeza. Ia membuka mata hati manusia untuk memahami tujuan hidup yang sebenar. Ia adalah petunjuk ke jalan yang benar dan bagi mereka yang telah mendapat hidayah salah satu petandanya ialah dia akan dapat kefahaman dlam agama.

Walaupun hidayah datang daripada Allah SWT, manusia tetap mempunyai peranan untuk berusaha mencari dan memohon agar dikurniakan dengan taufik dan hidayah tersebut. Seseorang tidak boleh hanya menunggu tanpa melakukan apa-apa usaha. Sebaliknya dia perlu berusaha mencari kebenaran dengan hati yang ikhlas. Dari situlah perjalanan menuju hidayah biasanya bermula.

Perjalanan mencari hidayah sebenarnya bermula di dalam hati manusia.

Zikir memainkan peranan utama yang sangat penting dalam membersihkan hati sebagai persiapan menerima hidayah. Menyiapkan lokasi yang bersih untuk hidayah masuk dan menetap. Hidayah Allah SWT umpama cahaya yang menerangi hati. Ia takkan masuk ke dalam hati yang kotor. Apabila seseorang sentiasa mengingati Allah SWT, hatinya akan menjadi lebih bersih, lebih lembut dan lebih peka terhadap kebenaran. Zikir membantu manusia mengekalkan hubungan yang kuat dengan Penciptanya. Dari situ hati menjadi lebih mudah menerima petunjuk. 

Jadi langkah pertama ialah untuk membersihkan hati. Langkah kedua ialah Nawaitu. Memasang niat dalam hati untuk mendapatkan taufik, petunjuk dan hidayah.

 

Dalam usaha mencari hidayah, biasanya akan lahir satu keinginan dalam dirinya untuk memahami kehidupan dengan lebih mendalam. Keinginan ini bermula dengan niat yang ikhlas untuk mencari kebenaran. Apabila niat ini hadir, hati manusia mula terbuka untuk menerima petunjuk.

Selepas niat, langkah ketiga yang sangat penting ialah memanjatkan doa kepada Allah SWT. Manusia tidak mempunyai kemampuan untuk memberi hidayah kepada dirinya sendiri tanpa pertolongan Allah SWT. Oleh sebab itu seseorang perlu memohon kepada Allah SWT agar diberikan kefahaman yang benar. Doa ini menjadi tanda bahawa seseorang benar-benar bergantung kepada Allah SWT dalam mencari petunjuk.

Apabila seseorang mempunyai niat yang ikhlas dan sering berdoa kepada Allah SWT, Allah SWT akan membuka jalan untuknya. Salah satu jalan yang paling biasa ialah melalui ilmu yang menyedarkan hati. Ilmu ini membuatkan seseorang mula memahami kehidupan dengan cara yang berbeza. Dari situlah perjalanan mencari hidayah mula berkembang dalam kehidupannya.

Seterusnya dalam usaha membuka pintu hidayah ialah dengan mencari ilmu. Ilmu membantu manusia memahami perkara-perkara asas tentang kehidupan, iman dan hubungan dengan Allah SWT. Apabila seseorang mula memahami perkara-perkara ini, pandangannya terhadap kehidupan akan berubah sedikit demi sedikit. Ilmu menjadi cahaya yang menerangi jalan kehidupan manusia. Pengisian keimanan dan keislaman menjadi ilmu utama yang perlu dimasukkan ke dalam diri.

Kalau diambil iktibar dari kisah dakwah yang dijalankan oleh Nabi SAW selama 13 tahun baginda menyampaikan pengisian keimanan. Menyampaikan dan mengukuhkan kefahaman tengan keimanan dalam hati para sahabat. Setelah itu barulah pengisian keislaman iaitu penzahiran kepada keimanan tersebut. Bila turun wahyu solat contohnya mereka dengan mudah mengikut dan taat tanpa soal. Ini kerana hati mereka sudah yakin dan percaya kepada kebenaran Islam.

Pada saya ini juga yang mesti dijalankan di negara ini. Bukan dengan memulakan dengan menyuruh anak-anak menjalankan ritual, puasa, solat dan lain-lain sebaliknya memulakannya dengan pengisian keimanan yang mendalam terlebih dahulu. Dengan adanya iman di hati maka anak-anak itu akan menjalankan solat dan lain-lain tanpa disuruh kerana mereka tahu dan yakin kepada Allah SWT.

Seterusnya selain ilmu, seseorang juga perlu melatih dirinya untuk berfikir dan merenung tentang kehidupan. Dalam kesibukan dunia, manusia jarang sekali berhenti untuk memikirkan tujuan hidup mereka. Namun apabila seseorang meluangkan masa untuk merenung tentang kehidupan, banyak perkara yang sebelum ini tidak disedari akan menjadi jelas. Renungan ini membuka ruang kepada kesedaran hati.

Seterusnya seseorang juga perlu mempunyai keikhlasan dalam mencari kebenaran. Hidayah tidak datang kepada mereka yang mencari ilmu hanya untuk kepentingan dunia. Sebaliknya hidayah datang kepada mereka yang benar-benar ingin mendekatkan diri kepada Allah SWT. Keikhlasan inilah yang membuka jalan kepada petunjuk Allah SWT. Hidayah juga tak datang sekiranya kita selalu makan dari makanan yang datang dari sumber yang syubhah dan haram kerana semua ini mengotorkan hati. Pada pendapat saya hidayah hanya akan dikurniakan kepada hati yang bersih.

Dalam perjalanan mencari hidayah, seseorang juga perlu bersedia untuk memperbaiki dirinya. Menurut perintah Allah SWT dan meninggalkan laranganNya. Setiap manusia mempunyai kelemahan dan kesilapan dalam kehidupan. Namun kesilapan itu tidak sepatutnya menjadi alasan untuk terus berada dalam keadaan yang sama. Sebaliknya ia boleh menjadi titik permulaan kepada perubahan yang lebih baik.

Apabila seseorang terus berusaha berzikir, mencari ilmu dan memperbaiki dirinya, InsyaAllah pintu hidayah akan terbuka sedikit demi sedikit. Perubahan mungkin tidak berlaku dalam satu hari. Namun setiap langkah kecil yang diambil akan membawa seseorang lebih dekat kepada kesedaran yang sebenar. Dari situlah kehidupan mula berubah.

Akhirnya andai dia dikurniakan Allah SWT dengan hidayah tersebut maka dia akan sampai kepada satu tahap di mana dia akan dapat melihat kehidupan dengan sangat jelas. Melihat dengan mata hati. Dia akan memasuki zon minda akhirat. Dunia tidak lagi menjadi tujuan hidupnya. Sebaliknya dunia dilihat sebagai tempat untuk beramal dan mempersiapkan diri menuju akhirat. Kesedaran ini menjadikan kehidupannya lebih tenang, bermatlamat dan lebih bermakna.

Inilah yang saya maksudkan dengan kehidupan yang dipandu oleh minda akhirat. Apabila seseorang hidup dengan kesedaran ini, setiap langkah dalam kehidupannya akan mempunyai makna. Dunia tidak lagi menenggelamkan hatinya. Sebaliknya dunia menjadi jalan yang membawanya lebih dekat kepada Allah SWT.

Sekali lagi perlu diingat yang taufik, petunjuk dan hidayah adalah rahsia Allah SWT dan hakikatnya ia terpulang kepada Allah SWT untuk mengurniakannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Saya cuma menyampaikan setakat yang saya tahu. Andai anda rasa teori serta garispanduan yang saya sarankan ini boleh digunapakai, silakanlah mencubanya.

Sekian dulu.

Kongsikanlah blog ini kepada rakan dan taulan andai anda mendapat manfaat darinya. Hanya Allah SWT yang dapat membalas jasabaik tuan puan itu. Terima kasih.

Ikhlas,

Haji Faizal Yusup
0166667430

Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...

www.mindaakhirat.com

PS - Sekiranya anda membaca semua perkongsian dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

MUKADDIMAH - MINDA AKHIRAT 5.0 - MATA HATI - MELIHAT KEHIDUPAN DENGAN CAHAYA ILMU

MINDA AKHIRAT 5.0 - MATA HATI Melihat Kehidupan dengan Cahaya Ilmu MUKADDIMAH ANDA MELAYU, BARAT, ISLAM? Sebagai seorang yang lahir berbangs...