MINDA AKHIRAT 5.0 - MATA HATI
Melihat Kehidupan dengan Cahaya Ilmu
BAB
ILMU AMAL VS ILMU JIDAL
Dalam perjalanan ilmu, tidak semua orang mencari ilmu dengan
tujuan yang sama. Ada yang mencari ilmu untuk diamalkan dan ada yang mencari
ilmu untuk berhujah. Di sinilah perbezaan antara ilmu amal dan ilmu jidal - dua
pendekatan yang kelihatan sama pada zahir tetapi sangat berbeza pada hakikatnya.
Ilmu amal adalah ilmu yang dicari untuk diamalkan. Seseorang
belajar untuk memahami dan menghayati untuk berubah. Apa yang diketahui akan
diterjemahkan dalam tindakan. Ilmu tidak berhenti setakat di akal tetapi
bergerak ke dalam kehidupan.
Seseorang yang memiliki ilmu amal akan sentiasa bertanya
kepada dirinya - apakah yang perlu diperbaiki? Apakah yang perlu dilakukan?
Setiap ilmu yang dipelajari menjadi panduan untuk memperbaiki diri, bukan
sekadar untuk menambah pengetahuan.
Sebagai contoh, apabila dia mengetahui sesuatu kebaikan, dia
akan berusaha untuk melakukannya. Apabila dia memahami sesuatu kesalahan, dia
akan berusaha untuk mengelakkannya. Ilmu menjadi pendorong kepada perubahan, bukan
sekadar bahan pemikiran.
Berbeza dengan itu, ilmu jidal adalah ilmu yang digunakan
untuk berdebat. Seseorang mencari ilmu bukan untuk mengubah diri tetapi untuk
mempertahankan pandangannya atau untuk menunjukkan bahawa dirinya lebih tahu. Lebih
pandai. Fokusnya bukan pada kebenaran tetapi pada kemenangan.
Pada zahirnya, orang yang memiliki ilmu jidal mungkin
kelihatan hebat. Dia mampu berhujah, mampu menjawab dan mampu mematahkan
pandangan orang lain. Namun pada masa yang sama, ilmunya tidak membawa
perubahan dalam dirinya.
Lebih halus lagi, ilmu jidal boleh menutup pintu kepada
kebenaran. Apabila seseorang terlalu fokus untuk menang, dia tidak lagi terbuka
untuk menerima. Dia tidak mencari apa yang benar tetapi mencari bagaimana untuk
membenarkan dirinya.
Dalam kehidupan hari ini, keadaan ini sangat jelas. Ramai
orang mengumpul maklumat untuk berhujah, bukan untuk memahami. Mereka lebih
suka membalas daripada merenung. Mereka lebih cepat bercakap daripada
memperbaiki diri. Mulut satu, telinga dan mata ada dua tetapi mulut lebih
diutamakan.
Namun demikian, ini tidak bermaksud bahawa berhujah itu salah.
Dalam keadaan tertentu, hujah diperlukan untuk menjelaskan kebenaran. Tetapi
bezanya terletak pada niat. Jika tujuan untuk menjelaskan dan memperbaiki, ia
menjadi sebahagian daripada ilmu amal. Jika tujuan untuk menang dan menunjukkan
kelebihan, ia cenderung kepada ilmu jidal.
Akhirnya, dalam perjalanan ilmu, setiap orang perlu bertanya
kepada dirinya - untuk apa dia belajar? Adakah untuk berubah atau untuk dilihat
lebih tahu?
Ini kerana ilmu yang sebenar bukan yang banyak diperbahaskan
tetapi yang banyak mengubah kehidupan.
Ilmu amal membawa kepada perubahan manakala ilmu jidal hanya
membawa kepada perdebatan dan dalam kehidupan ini, bukan siapa yang menang
hujah yang penting tetapi siapa yang berubah menjadi lebih baik.
Sekian dulu…
0166667430
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan