BAB
1
DILAHIRKAN
ISLAM BELUM TENTU MENDAPAT HIDAYAH
“Sesungguhnya engkau
tidak dapat memberi hidayah kepada orang yang engkau kasihi tetapi Allah SWT
memberi hidayah kepada sesiapa yang Dia kehendaki. ”
Saya dilahirkan
sebagai seorang Melayu yang beragama Islam. Seperti kebanyakan orang Melayu
yang lain, sejak kecil lagi saya telah diperkenalkan dengan agama. Saya belajar
mengaji, belajar solat dan belajar tentang halal serta haram. Semua itu menjadi
sebahagian daripada kehidupan sejak saya membesar.
Namun apabila saya
melalui perjalanan hidup yang lebih panjang, saya mula menyedari satu perkara
yang sangat penting. Dilahirkan sebagai seorang Muslim sebenarnya belum tentu
bermaksud seseorang itu telah mendapat hidayah Allah SWT. Ramai manusia
mempunyai identiti Islam tetapi tidak semua mempunyai kesedaran tentang makna
sebenar kehidupan. Dari situlah saya mula berfikir tentang perkara ini dengan
lebih mendalam.
Dalam masyarakat
kita, ramai orang merasakan bahawa mereka sudah berada di jalan yang betul
hanya kerana mereka dilahirkan sebagai Muslim. Mereka menganggap bahawa hidayah
sudah ada dalam diri mereka sejak lahir. Oleh sebab itu mereka tidak merasa
perlu untuk mencari dan memahami agama dengan lebih mendalam. Kehidupan
berjalan seperti biasa tanpa banyak persoalan tentang tujuan hidup.
Namun apabila saya
memerhati kehidupan manusia di sekeliling saya, saya mula melihat sesuatu yang
berbeza. Ramai orang Melayu Islam di negara ini khususnya dan rakyat di negara islam yang lain amnya sebenarnya hidup dengan cara berfikir yang sangat
berorientasikan dunia. Masa mereka dipenuhi dengan urusan dunia, hiburan dan
pelbagai perkara yang tidak memberi manfaat kepada akhirat. Dalam keadaan
seperti ini, kesedaran tentang akhirat sering berada di bahagian belakang dalam
kehidupan.
Dewasa ini ramai orang Melayu yang beragama Islam melakukan perbuatan dan perkara-perkara yang dilarang dalam Islam. Baik kesalahan kecil hinggalah kepada yang besar. Menipu, tak hormat orang tua dan ibubapa, pelbagai gejala sosial, rasuah, maksiat, zina, mencuri, menyamun, LGBT, membunuh dan sebagainya. Kebanyakannya dilakukan oleh orang Melayu yang beragama Islam. Semakin lama kes sebegini semakin banyak dan semakin teruk walhal mereka beragama Islam!
Saya tidak
menyalahkan mereka sepenuhnya kerana saya sendiri pernah berada dalam keadaan
yang sama suatu ketika dahulu. Saya juga pernah hidup dalam zon yang boleh
dipanggil sebagai zon minda dunia. Dalam zon ini, kehidupan terasa normal
walaupun hati jarang sekali memikirkan tentang tujuan sebenar hidup di dunia. Hari
demi hari berlalu tanpa banyak renungan tentang akhirat.
Apabila seseorang
hidup dalam keadaan seperti ini, dia biasanya sibuk dengan kehidupan harian. Dia
bekerja, mencari rezeki dan menjalani kehidupan seperti biasa. Namun jarang
sekali dia berhenti untuk bertanya kepada dirinya sendiri tentang arah sebenar
kehidupannya. Tanpa persoalan seperti ini, seseorang akan terus hanyut dalam
arus kehidupan dunia.
Di sinilah saya
mula memahami bahawa terdapat perbezaan besar antara identiti Melayu, Islam dan
kesedaran iman. Seseorang boleh memiliki identiti Islam tanpa benar-benar
memahami makna iman yang sebenar. Dia mungkin tahu tentang agama tetapi
kehidupannya masih dipandu oleh keutamaan dunia. Keadaan ini menyebabkan ramai orang hidup tanpa kesedaran akhirat yang mendalam.
Hidayah sebenarnya
bukan sekadar identiti yang diwarisi sejak lahir. Hidayah ialah kesedaran yang
Allah SWT kurniakan ke dalam hati manusia sehingga dia dapat melihat kehidupan dari perspektif yang berbeza. Apabila seseorang mendapat hidayah, dia mula memahami bahawa
kehidupan dunia hanyalah sementara. Dia juga mula melihat hidup sebagai
perjalanan menuju akhirat. Oleh itu dia akan tinggalkan semua larangan Allah SWT. Dia takut berbuat dosa dan noda. Inilah solusi yang bakal mencegah kemungkaran. Kita kena ada hidayah di dalam hati supaya kita ada rasa takut kepada Allah SWT lantas mengelakkan semua perbuatan yang boleh membawa kemungkaran dan kemaksiatan.
Kesedaran seperti
ini tidak datang secara automatik hanya kerana seseorang dilahirkan sebagai
Muslim. Ia biasanya datang melalui niat, doa, pencarian ilmu, renungan tentang kehidupan
dan keinginan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Dari situlah InsyaAllah pintu
hidayah akan mula terbuka sedikit demi sedikit dan dari situlah seseorang mula
melangkah keluar daripada minda dunia menuju masuk dalam zon minda akhirat.
Kalau anda lihat banyak mat saleh dan orang asing di luar negara yang dahulunya beragama kristian contohnya mendapat hidayah dan memeluk agama Islam selepas mereka membaca Al-Quran. Sebelum itu mereka membaca Bible dan faham terjemahannya, kemudian mereka membaca terjemahan Al-Quran dalam bahasa Inggeris. Al-Quran membetul dan membuka kefahaman mereka tentang Bible yang mereka pelajari dahulu. Mereka nampak pelbagai kesalahan dalam Bible yang diperbetulkan dalam Al-Quran. Ini memberi keyakinan kepada mereka tentang agama Islam. Lantas mereka memeluk Islam dan berpegang kepada hukum hakam dan prinsip keislaman dengan teguh.
Kita pula Islam keturunan, kita mengaji Al-Quran tapi tak faham terjemahan keseluruhan apatah lagi taddabur ilmu yang ada dalam Al-Quran itu. Inilah situasinya. Jadi Islam tak masuk dalam diri tapi hanya ditampal dari segi luaran semata-mata, ini jelas menunjukkan dilahirkan Islam belum tentu mendapat hidayah. Jom kita sambung dalam bab yang seterusnya…
Sekian dulu…
0166667430
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan