BAB
22
KESEDARAN
HISAB
“Barang siapa
melakukan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat balasannya. Dan
barang siapa melakukan kejahatan seberat zarah, nescaya dia akan melihat
balasannya. ”
Surah Az-Zalzalah
99:7–8
Salah satu perkara
yang sangat memberi kesan kepada cara seseorang yang berminda akhirat ialah ialah
kesedarannya tentang hisab di akhirat. Dalam Islam, setiap manusia diajar
bahawa segala perbuatan yang dilakukan di dunia ini tidak akan berlalu begitu
sahaja. Setiap amal yang dilakukan akan dicatat dan akan dipersoalkan di
hadapan Allah SWT. Kesedaran ini memberikan makna yang sangat besar kepada
kehidupan manusia.
Apabila seseorang
benar-benar memahami hakikat hisab, dia akan mula melihat kehidupannya dengan
lebih berhati-hati. Dia sedar bahawa setiap yang terlintas di hati, setiap perkataan
yang diucapkan mempunyai nilai di sisi Allah SWT. Dia juga sedar bahawa setiap
perbuatan, samaada kecil atau besar, akan dinilai di hari akhirat. Kesedaran
ini membuatkan seseorang sangat berhati-hati dalam menjalani kehidupannya bak
kata orang beriman ia umpama berjalan di atas batas, andai terjatuh kembali
naik ke atas.
Dalam analogi yang
lebih mendalam dia umpama berjalan di melintasi satu padang rumput yang
dipenuhi onak dan duri. Jadi dia kena amat berhati-hati untuk tidak memijak
mana-mana duri sembilu itu untuk ke seberang. Kenapa? Sebab sejak membuka mata
bangun dari tidur kita terbuka kepada dosa dan noda. Pergi kerja, jumpa orang,
berinteraksi dengan orang lain dan sebagainya semuanya membuka pintu dosa kalau
dia tak berhati-hati. Bersangka buruk, menilai orang, memanipulasi, berkata perkataan
yang tak baik, menjadi netizen dalam sosial media, tak jaga aurat, memandang aurat
orang lain, pergaulan bebas, ponteng kerja dan sebagainya semuanya adalah dosa-dosa
harian yang kita kutip tanpa kita sedari.
Sebelum seseorang
memahami kesedaran ini dengan mendalam, kehidupan dunia sering kelihatan bebas
tanpa batas. Manusia merasa bahawa mereka boleh melakukan apa sahaja selagi
tidak diketahui oleh orang lain. Dalam keadaan seperti ini, ramai manusia
melakukan kesalahan tanpa terlalu memikirkan akibatnya. Mereka merasakan bahawa
kehidupan ini hanya berkaitan dengan apa yang berlaku di dunia.
Namun apabila
kesedaran tentang hisab benar-benar hidup dalam hati seseorang, pandangan ini
akan berubah sepenuhnya. Dia sedar bahawa tiada satu apapun yang tersembunyi
daripada pengetahuan Allah SWT. Walaupun tiada manusia lain yang melihat apa
yang dia lakukan, Allah SWT tetap mengetahuinya. Kesedaran ini membuatkan
seseorang menjaga dirinya.
Kesedaran hisab
juga membuatkan seseorang lebih berhati-hati dalam urusan kehidupan yang
melibatkan orang lain. Dia tidak akan mudah mengambil hak orang lain. Dia tidak
akan sanggup menipu atau berlaku tidak adil hanya untuk mendapatkan keuntungan
dunia. Dia sedar bahawa setiap perkara tersebut akan dipersoalkan di akhirat
kelak.
Apabila seseorang
hidup dengan kesedaran ini, dia akan sentiasa menilai dirinya sendiri. Dia akan
sering bertanya kepada dirinya samaada perbuatannya diredai oleh Allah SWT atau
tidak. Dia juga akan berusaha memperbaiki kesalahan yang pernah dilakukannya. Kesedaran
ini membuatkan seseorang sentiasa berusaha menjadi lebih baik daripada
sebelumnya.
Kesedaran tentang
hisab juga membuatkan seseorang lebih menghargai setiap peluang untuk melakukan
kebaikan. Dia sedar bahawa setiap amal baik yang dilakukan mempunyai nilai yang
sangat besar di sisi Allah SWT. Walaupun sesuatu amal kelihatan kecil, ia tetap
mempunyai makna dalam timbangan akhirat. Kesedaran ini membuatkan seseorang
tidak meremehkan perkara-perkara kecil dalam kehidupan.
Pada masa yang
sama, kesedaran hisab juga menjadikan seseorang lebih tenang dalam menghadapi
kehidupan dunia. Dia tidak lagi terlalu terikat dengan penilaian manusia. Apa
yang lebih penting baginya ialah penilaian Allah SWT terhadap dirinya. Kesedaran
ini memberi kekuatan kepada seseorang untuk terus melakukan kebaikan walaupun
tidak dihargai oleh manusia.
Apabila seseorang
hidup dengan kesedaran bahawa setiap amal akan dihisab, kehidupannya akan
menjadi lebih bermatlamat. Dia tidak lagi hidup secara sambil lewa tanpa
memikirkan akibat perbuatannya. Sebaliknya dia menjalani kehidupan dengan penuh
kesedaran dan tanggungjawab. Dari situlah lahir kehidupan yang dipandu oleh
minda akhirat.
No comments:
Post a Comment