Tuesday, March 17, 2026

BAB 20 - MENGAPA ORANG TIDAK MEMAHAMI

BAB 20

MENGAPA ORANG TIDAK MEMAHAMI

Al-Quran

“Jika engkau mengikuti kebanyakan manusia di bumi, mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah SWT. ”

Surah Al-An‘am 6:116

Apabila seseorang mula melihat kehidupan melalui kesedaran yang baru, dia akan menyedari satu perkara yang agak menarik. Tidak semua orang dapat memahami cara dia melihat kehidupan. Walaupun dia hidup bersama keluarga, rakan-rakan dan masyarakat yang sama, cara berfikirnya sudah tidak lagi sama seperti dahulu. Perbezaan inilah yang kadang-kadang membuatkan dia akan merasa sukar untuk difahami.

Perkara ini sebenarnya berlaku kerana manusia melihat kehidupan melalui kerangka pemikiran yang berbeza. Ada manusia yang melihat kehidupan melalui kaca mata minda dunia dan ada juga yang melihat kehidupan melalui kacamata minda akhirat. Kedua-dua cara melihat ini membawa kepada keutamaan hidup yang sangat berbeza. Apabila dua cara melihat ini bertemu, perbezaannya akan menjadi sangat ketara. Akhir zaman ini pandangan dengan kaca mata minda dunia jauh lebih ramai dari mereka yang berminda akhirat. Ini menyebabkan kepercayaan minda dunia ini nampak seakan kebenaran kerana ramai yang menyokongnya walhal hakikatnya ia sebaliknya.

Orang yang hidup dengan minda dunia biasanya melihat kehidupan sebagai peluang untuk menikmati keseronokan dunia sebanyak mungkin. Mereka memberi fokus kepada perkara seperti kerjaya, harta, keseronokan dan kehidupan yang selesa. Bagi mereka, perkara-perkara ini adalah ukuran kejayaan hidup. Dalam kerangka ini, akhirat sering dilihat sebagai sesuatu yang jauh dan tidak mendesak.

Sebaliknya orang yang hidup dengan minda akhirat melihat kehidupan dunia sebagai satu perjalanan yang sangat singkat. Dunia bukan lagi tempat untuk mengejar keseronokan semata-mata. Sebaliknya dunia dilihat sebagai tempat untuk beramal dan mempersiapkan diri bagi kehidupan selepas mati. Dalam kerangka ini, setiap saat hidup atas dunia ini sangat berharga dan mesti digunakan dengan sebaiknya.

Apabila dua cara berfikir ini bertemu, perbezaannya akan sangat jelas. Orang yang berminda dunia mungkin tidak memahami mengapa seseorang begitu berhati-hati dengan masanya dengan kata-katanya malah dengan tindakannya. Mereka juga mungkin tidak memahami mengapa seseorang tidak begitu tertarik dengan hiburan atau keseronokan dunia. Bagi mereka, perkara tersebut kelihatan seperti sesuatu yang terlalu serius.

Pada masa yang sama, orang yang berminda akhirat pula melihat kehidupan dengan kesedaran yang sangat berbeza. Dia sedar bahawa setiap masa yang berlalu tidak akan kembali lagi. Dia juga sedar bahawa setiap perbuatan manusia akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT. Kesedaran ini membuatkan dia lebih berhati-hati dalam menjalani kehidupannya. Ia umpama seeekor itik bertemu dengan seekor ayam yang punya bahasa yang berbeza.

Perbezaan perspektif inilah yang kadang-kadang membuatkan seorang insan berminda akhirat merasa dirinya sukar difahami oleh orang lain. Namun keadaan ini sebenarnya sesuatu yang sangat biasa dalam perjalanan kesedaran manusia. Setiap manusia berada pada tahap kefahaman yang berbeza dalam kehidupan mereka. Ada yang masih berada pada tahap awal dan ada yang sudah melihat gambaran yang lebih luas.

Apabila seseorang memahami perkara ini, dia akan menjadi lebih tenang dalam menghadapi perbezaan tersebut. Dia tidak lagi merasa perlu untuk memaksa orang lain memahami apa yang difahaminya. Sebaliknya dia belajar untuk bersabar dan terus memperbaiki dirinya sendiri. Dia juga berharap agar suatu hari nanti orang lain juga akan mendapat kesedaran yang sama.

Dalam keadaan seperti ini, sikap yang paling penting ialah menjaga hati daripada perasaan sombong atau merasa diri lebih baik daripada orang lain. Kesedaran yang Allah SWT kurniakan kepada seseorang adalah satu amanah yang sangat besar. Ia sepatutnya membuatkan seseorang menjadi lebih rendah hati dan lebih bersyukur. Dari situlah lahir keinginan untuk berkongsi kebaikan dengan orang lain.

Apabila seseorang terus berjalan dengan kesedaran ini, kehidupannya akan menjadi semakin jelas arah tujuannya. Dia tidak lagi terlalu memikirkan samaada orang lain memahami dirinya atau tidak. Yang lebih penting baginya ialah terus memperbaiki hubungan dengan Allah SWT. Dari situlah dia terus melangkah lebih jauh dalam perjalanan minda akhirat.


No comments:

Post a Comment

MINDA AKHIRAT 4.0 - TEORI MENCARI HIDAYAH

MINDA AKHIRAT 4.0 - TEORI MENCARI HIDAYAH   KANDUNGAN   PRAKATA   BAHAGIAN 1 REALITI MANUSIA: MINDA DUNIA Dilahirkan Islam Belu...