MINDA AKHIRAT 5.0 - MATA HATI
Melihat Kehidupan dengan Cahaya Ilmu
BAB
BAHAYA
ILMU TANPA HIDAYAH
Dalam perjalanan
mencari ilmu, ramai orang berusaha untuk mengetahui sebanyak mungkin perkara. Mereka
membaca, mengkaji dan menguasai pelbagai bidang. Namun demikian, tidak semua
ilmu membawa kepada kebaikan. Ada satu keadaan yang sangat berbahaya tetapi
sering tidak disedari - apabila seseorang memiliki ilmu tetapi tidak mempunyai
hidayah.
Ilmu tanpa hidayah
bermaksud seseorang tahu tetapi tidak dipandu. Dia memahami banyak perkara
tetapi tidak tahu ke mana arah sebenar kehidupannya. Ilmu yang ada tidak
menjadi cahaya yang membimbing tetapi sekadar alat yang digunakan mengikut
kehendaknya sendiri.
Pada zahirnya, orang
seperti ini mungkin kelihatan hebat. Dia mampu berhujah, berbahas, mampu
menjelaskan sesuatu dengan baik dan kelihatan yakin dengan apa yang disampaikan.
Namun dalam diam, ilmunya tidak membawa dirinya kepada kebenaran yang sebenar. Dia
tahu tetapi tidak tunduk.
Inilah bahaya yang
paling halus. Apabila seseorang tidak mempunyai ilmu, dia mungkin sedar bahawa
dirinya perlu belajar. Namun apabila seseorang sudah berilmu, dia boleh mula
merasakan bahawa dirinya sudah cukup sempurna. Pada ketika itu, dia tidak lagi
mencari petunjuk tetapi hanya menguatkan apa yang dia sudah percaya.
Sebagai contoh, seseorang
yang memiliki ilmu tentang kewangan boleh menggunakan pengetahuannya untuk
membina kekayaan. Namun tanpa hidayah, dia mungkin tidak mengambil kira aspek
betul dan salah. Halal dan haram. Syariah atau tak. Ilmu itu digunakan untuk
mencapai matlamat dunia, tanpa memikirkan kesannya kepada diri dan orang lain.
Begitu juga dalam
bidang lain. Ilmu boleh digunakan untuk mempengaruhi, untuk menguasai dan untuk
mendapatkan kelebihan. Tanpa hidayah, ilmu tidak lagi menjadi panduan tetapi
menjadi alat. Seseorang mungkin semakin pandai tetapi pada masa yang sama
semakin jauh daripada kebenaran.
Lebih halus lagi, ilmu
tanpa hidayah boleh menutup pintu perubahan. Seseorang merasa dirinya sudah
memahami, lalu tidak lagi terbuka untuk menerima nasihat. Dia tidak melihat
keperluan untuk memperbaiki diri kerana dia merasakan apa yang dia lakukan
sudah betul.
Keadaan ini
menjadikan seseorang sukar untuk kembali. Semakin banyak ilmu yang dimiliki, semakin
kuat keyakinannya terhadap dirinya. Dia menjadi sombong dan angkuh. Tanpa
hidayah, keyakinan ini boleh membawa kepada kesesatan tanpa disedari.
Namun demikian, ilmu
yang disertai dengan hidayah akan memberi kesan yang berbeza. Ia menjadikan
seseorang lebih rendah diri, lebih berhati-hati dan lebih sedar tentang batas
dirinya. Ilmu itu bukan sekadar menambah pengetahuan tetapi membimbing hati
untuk tunduk kepada kebenaran.
Akhirnya, dalam
perjalanan ilmu, persoalannya bukan sekadar berapa banyak yang kita tahu tetapi
samaada apa yang kita tahu itu membawa kita ke arah yang betul kerana ilmu
tanpa hidayah bukan sahaja tidak membantu tetapi boleh menjadi sebab seseorang
tersasar lebih jauh.
Dalam keadaan ini, semakin
banyak seseorang tahu, semakin besar risiko jika dia tidak dipandu. Sebab itu, ilmu
bukan sekadar perlu dicari tetapi perlu disertai dengan hidayah agar ia
benar-benar menjadi cahaya dalam kehidupan.
Sekian dulu…
0166667430
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan