MINDA AKHIRAT 5.0 - MATA HATI
Melihat Kehidupan dengan Cahaya Ilmu
BAB 7
PERBEZAAN
MAKLUMAT PENGETAHUAN DUNIA VS ILMU ALLAH SWT
Dalam kehidupan
manusia, kita sering menggunakan perkataan “ilmu” untuk merujuk kepada apa
sahaja yang kita tahu. Namun demikian, tidak semua yang kita tahu itu
benar-benar boleh dipanggil ilmu dalam erti kata yang sebenar. Terdapat
perbezaan yang besar antara maklumat dan pengetahuan dunia dengan ilmu yang
datang daripada Allah SWT.
Maklumat dan
pengetahuan dunia boleh difahami sebagai segala bentuk fakta, data, pengalaman
dan kemahiran yang diperoleh melalui usaha manusia. Ia datang daripada
pembelajaran, pemerhatian dan pemikiran. Seseorang mengumpul maklumat sedikit
demi sedikit sehingga membentuk satu pengetahuan dalam sesuatu bidang. Pengetahuan
ini membantu manusia memahami bagaimana sesuatu perkara berfungsi dan bagaimana
untuk mengaplikasikannya dalam kehidupan.
Namun demikian, pengetahuan
dunia bersifat terhad dan sementara. Ia bergantung kepada kemampuan akal
manusia yang sentiasa berubah dan berkembang. Apa yang dianggap benar pada satu
masa boleh diperbetulkan pada masa yang lain. Pengetahuan ini juga cenderung
untuk tertumpu kepada perkara yang zahir, iaitu apa yang boleh dilihat, diukur
dan diuji.
Berbeza dengan itu,
ilmu daripada Allah SWT bukan sekadar maklumat atau pengetahuan biasa. Ilmu ini
adalah kefahaman yang benar tentang hakikat sesuatu, yang bukan sahaja
diketahui oleh akal tetapi juga difahami oleh hati. Ia bukan hanya menjelaskan
bagaimana sesuatu berlaku tetapi memberikan makna kepada apa yang berlaku.
Ilmu daripada Allah
SWT tidak bergantung sepenuhnya kepada usaha manusia tetapi melibatkan petunjuk
yang membuka kefahaman. Dua orang boleh menerima maklumat yang sama tetapi
tidak semestinya memperoleh ilmu yang sama. Ini kerana ilmu dalam erti yang
sebenar melibatkan kejelasan dalam memahami, ketepatan dalam melihat dan
kebijaksanaan dalam bertindak.
Maklumat dunia
biasanya menambah apa yang kita tahu tetapi ilmu daripada Allah SWT mengubah
cara kita melihat. Seseorang yang hanya memiliki pengetahuan mungkin mampu
menjelaskan sesuatu dengan baik tetapi seseorang yang memiliki ilmu akan
memahami kesan, tujuan dan implikasi daripada sesuatu perkara itu.
Selain itu, pengetahuan
dunia sering menjadikan seseorang lebih cekap dalam melakukan sesuatu tetapi
ilmu daripada Allah SWT menjadikan seseorang lebih tepat dalam membuat
keputusan. Pengetahuan boleh membawa kepada keupayaan tetapi ilmu membawa
kepada matlamat yang betul dalam menggunakan keupayaan tersebut.
Dalam kehidupan
harian, seseorang boleh memiliki banyak maklumat tanpa benar-benar memahami apa
yang dilakukannya. Dia tahu langkah-langkah tetapi tidak memahami tujuan. Dia
tahu cara tetapi tidak memahami makna. Berbeza dengan orang yang memiliki ilmu,
walaupun sedikit, dia memahami apa yang dilakukan dan kenapa dia melakukannya.
Sebagai contoh, seseorang
tahu bagaimana untuk menjana pendapatan. Dia belajar tentang pemasaran, strategi
jualan dan cara mengembangkan perniagaan. Dia tahu teknik, tahu formula dan
tahu langkah-langkah yang perlu diambil. Dengan pengetahuan ini, dia boleh
berjaya dari sudut dunia.
Namun demikian, pengetahuan
itu tidak semestinya menjawab persoalan yang lebih dalam. Dia mungkin tahu cara
buat duit tetapi tidak tahu tujuan sebenar duit itu. Dia mungkin tahu cara
membina perniagaan tetapi tidak tahu ke mana semua itu membawa dirinya.
Berbeza dengan itu,
ilmu daripada Allah SWT bukan sekadar maklumat atau pengetahuan biasa. Ilmu ini
adalah kefahaman yang benar tentang hakikat sesuatu, yang bukan sahaja
diketahui oleh akal tetapi juga difahami oleh hati. Ia memberi makna kepada apa
yang dilakukan.
Sebagai contoh, seorang
yang memiliki ilmu daripada Allah SWT melihat rezeki bukan sekadar angka atau
keuntungan. Dia memahami bahawa rezeki itu amanah. Dia tahu bahawa setiap sen
ada tanggungjawab. Maka cara dia mencari, menggunakan dan membelanjakan duit
menjadi berbeza walaupun mungkin jumlahnya tidak sebanyak orang lain.
Contoh lain dalam
kehidupan harian, ramai yang tahu bahawa menjaga kesihatan itu penting. Mereka
tahu tentang diet, senaman dan gaya hidup sihat. Namun demikian, tidak semua
yang tahu itu benar-benar menjaga diri. Pengetahuan itu ada tetapi tidak
mengubah tindakan.
Berbeza dengan
orang yang memiliki ilmu, dia bukan sahaja tahu tetapi memahami nilai kesihatan
itu. Dia melihat tubuh sebagai amanah yang perlu dijaga. Maka dia bertindak
dengan kesedaran, bukan sekadar ikut trend atau maklumat semata-mata.
Dalam dunia kerjaya
pula, seseorang mungkin tahu cara untuk naik pangkat, tahu cara mengambil hati
majikan dan tahu bagaimana untuk menonjolkan diri. Namun demikian, tanpa ilmu
yang sebenar, dia mungkin mengabaikan nilai integriti, kejujuran dan
tanggungjawab. Dia tahu cara untuk berjaya tetapi tidak memahami makna kejayaan
itu sendiri.
Sebaliknya, seseorang
yang memiliki ilmu akan melihat kerja bukan sekadar untuk naik pangkat atau
mendapatkan gaji. Dia memahami peranan, tanggungjawab dan kesan daripada apa
yang dia lakukan. Di tahu kerja juga merupakan satu ibadah bila ia dijalankan
ikhlas kerana Allah SWT. Maka cara dia bekerja menjadi lebih berprinsip dan
lebih bermatlamat.
Akhirnya, perbezaan utama antara maklumat pengetahuan dunia dan ilmu daripada Allah SWT terletak pada kedalaman dan kesannya. Maklumat dan pengetahuan dunia memenuhi akal dan membantu manusia berfungsi dalam kehidupan. Namun demikian, ilmu daripada Allah SWT melibatkan kefahaman yang lebih menyeluruh - ia membentuk cara berfikir, menentukan matlamat hidup dan memberi makna kepada setiap tindakan.
Sekian dulu…
0166667430
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan