MINDA AKHIRAT 5.0 - MATA HATI
Melihat Kehidupan dengan Cahaya Ilmu
BAB 1
APA YANG KITA BICARAKAN, DI SITULAH TAHAP KITA
Profiling untuk kita kenal seseorang itu mudah yakni untuk mendengar apa yang keluar dari mulut mereka. Mari kita mulakan dengan merenung ayat-ayat di bawah ini ;
Orang
bijak berbicara tentang persiapan menuju kematian,
Orang pandai berbicara tentang idea,
Orang kurang pandai berbicara tentang
berita dan hal ehwal semasa,
Orang bodoh berbicara tentang orang lain.
Dalam kehidupan, apa
yang sering dibicarakan oleh seseorang sebenarnya mencerminkan tahap
pemikirannya. Menampakkan apa yang ada dalam hatinya. Perkataan dan ayat yang
keluar daripada mulut bukan sekadar bunyi tetapi gambaran kepada apa yang
memenuhi fikirannya. Dari situ, kita boleh melihat di mana kedudukan seseorang
- samaada dia melihat jauh ke hadapan atau hanya sibuk dengan perkara yang
dekat dan sementara.
Orang yang bijak
biasanya berbicara tentang persiapan menuju kematian. Dia sedar bahawa
kehidupan ini tidak kekal dan setiap hari adalah langkah yang mendekatkan
dirinya kepada pengakhiran. Perbualannya bukan sekadar tentang dunia hari ini
tetapi tentang bekalan yang akan dibawa ke kehidupan seterusnya. Dia melihat
kehidupan dengan perspektif yang panjang dan bermatlamat. Ini kerana di tahu
salah satu amalan yang akan diterima di akhirat kelak ialah dengan menyampaikan
ilmu-ilmu yang bermanfaat. Jadi inilah yang akan diusahakannya sesuai dengan
saranan Rasulullah SAW untuk menyampaikan walau satu ayat.
Namun demikian, ada
juga mereka yang berada dalam kategori orang pandai - mereka berbicara tentang
idea. Mereka berbincang tentang idea perniagaan, pelaburan, pengurusan, konsep,
strategi, perancangan dan pemikiran. Perbualan mereka membina, membuka minda
dan bermisi. Mereka melihat ke hadapan tetapi masih berada dalam lingkungan
pemikiran dunia.
Di bawah itu, terdapat
pula golongan mereka yang kurang pandai - mereka banyak berbicara dan
menyampaikan berita serta hal ehwal semasa. Mereka tahu apa yang sedang berlaku,
mengikuti perkembangan terkini, ekonomi, sukan, politik dan gemar berkongsi
maklumat. Namun perbualan mereka jarang pergi lebih jauh daripada itu. Mereka
menyampaikan tetapi tidak semestinya memahami secara mendalam. Mereka tahu
perkembangan terkini apa yang berlaku dalam dan luar negara tetapi tidak
mengaitkannya dengan makna yang lebih besar.
Lebih rendah
daripada itu ialah mereka yang sibuk berbicara tentang orang lain. Perbualan
mereka dipenuhi dengan cerita tentang individu - siapa buat apa, siapa salah, siapa
betul. Masa dihabiskan untuk membincangkan kehidupan orang lain tanpa memberi
manfaat kepada diri sendiri. Ini bukan sahaja tidak membina tetapi boleh
merosakkan hati dan hubungan. Kemudian mereka yang banyak berbicara tentang
artis dan hiburan. Perhatian mereka tertumpu kepada kehidupan selebriti baik
dalam dan luar negara - populariti, gosip dan kontroversi. Perbualan ini bukan
sahaja tidak memberi manfaat, malah melalaikan dan menjauhkan seseorang
daripada perkara yang lebih penting dalam kehidupan.
Lebih halus lagi, apa
yang kita pilih untuk bicarakan akan membentuk cara kita berfikir. Jika
seseorang sentiasa bercakap tentang perkara yang tinggi, fikirannya akan
terbiasa melihat perkara yang besar. Jika dia sering bercakap tentang perkara
yang remeh dan melalaikan, fikirannya juga akan kekal pada tahap itu.
Dalam kehidupan
hari ini, kita dapat melihat bagaimana mudahnya seseorang terjebak dalam
perbualan yang tidak memberi manfaat. Dengan adanya media sosial, manusia
sentiasa disajikan dengan berita, cerita dan hiburan tanpa henti. Tanpa sedar, masa
dan perhatian dihabiskan pada perkara yang mungkin bernilai di dunia tetapi
langsung tidak bernilai di akhirat.
Namun demikian, perubahan
boleh bermula dengan kesedaran. Seseorang boleh memilih untuk menaikkan tahap
perbualannya. Dia boleh meninggalkan perkara yang melalaikan dan mula berbicara
tentang perkara yang memberi makna dan matlamat dalam kehidupan.
Akhirnya, apa yang
kita bicarakan bukan sekadar menunjukkan siapa kita tetapi juga menentukan
siapa kita akan jadi di masa depan nanti.
Jika kita ingin
naik ke tahap yang lebih tinggi, maka kita kena mula dengan menaikkan tahap ilmu
pengetahuan demi mencapai misi kehidupan yang lebih baik di dunia mahupun di
akhirat.
Sekian dulu…
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan