Isnin, 30 Mac 2026

BAB 12 - ILMU ITU CAHAYA, HATI ITU TEMPATNYA

MINDA AKHIRAT 5.0 - MATA HATI

Melihat Kehidupan dengan Cahaya Ilmu

BAB 12

ILMU ITU CAHAYA, HATI ITU TEMPATNYA

Dalam perjalanan mencari ilmu, ramai orang memberi tumpuan kepada apa yang perlu dipelajari tetapi tidak memberi perhatian kepada di mana ilmu itu akan ditempatkan. Lokasi ilmu. Hakikatnya, ilmu bukan sekadar sesuatu yang masuk ke dalam akal tetapi sesuatu yang menetap dalam hati. Jika tempatnya tidak sesuai, maka ilmu itu tidak akan kekal, tak akan menetap, apatah lagi memberi kesan.

Ilmu daripada Allah SWT umpama cahaya. Cahaya berfungsi untuk menerangi, menunjukkan jalan dan membezakan antara yang jelas dan yang samar sepertimana yang telah dihuraikan dalam bab yang lalu. Namun demikian, cahaya tidak akan memberi manfaat jika tempatnya kotor atau tertutup. Hati yang gelap tidak mampu menerima cahaya, walaupun cahaya itu hadir di sekelilingnya.

Dalam realiti kehidupan, seseorang mungkin belajar banyak perkara, mendengar pelbagai nasihat dan membaca pelbagai ilmu. Namun demikian, dia masih tidak berubah. Bukan kerana ilmu itu tidak benar tetapi kerana hati belum bersedia untuk menerimanya. Ilmu hanya singgah di akal tetapi tidak masuk ke dalam hati.

Keadaan hati memainkan peranan yang sangat besar. Hati yang dipenuhi dengan kesombongan akan sukar menerima kebenaran. Hati yang lalai akan mudah melupakan apa yang dipelajari. Hati yang dipenuhi dosa akan menjadi berat untuk memahami dan menghayati ilmu. Semua ini menjadi penghalang kepada cahaya ilmu.

Sebab itu, sebelum seseorang berusaha menambah ilmu, dia perlu terlebih dahulu membersihkan hatinya. Ini adalah persiapan yang sering diabaikan. Ramai yang sibuk mencari ilmu tetapi tidak menyediakan tempat di hati untuk menerima ilmu tersebut. Akhirnya, ilmu menjadi banyak tetapi kesan dalam kehidupan sangat sedikit.

Membersihkan hati bukan sesuatu yang berlaku secara automatik tetapi perlu dilatih dan dijaga secara berterusan. Antara kaedah yang paling asas ialah melazimi zikir. Zikir melembutkan hati yang keras, mengingatkan diri kepada Allah SWT dan mengurangkan kelalaian yang sering menguasai manusia.

Selain itu, solat juga memainkan peranan yang sangat besar. Solat bukan sekadar kewajipan tetapi satu hubungan langsung antara hamba dan Allah SWT. Apabila solat dijaga dengan baik, hati menjadi lebih tenang, lebih fokus dan lebih mudah menerima kebenaran. Solat yang khusyuk membuka ruang dalam hati untuk menerima cahaya ilmu.

Istighfar pula adalah proses pembersihan yang berterusan. Setiap dosa, samaada disedari atau tidak, meninggalkan kesan pada hati. Apabila seseorang memperbanyakkan istighfar, dia sedang membersihkan lapisan-lapisan yang menghalang cahaya daripada masuk. Hati menjadi lebih ringan dan lebih bersedia untuk menerima.

Apabila hati mula bersih, perubahan akan mula dirasai. Ilmu yang dipelajari menjadi lebih mudah difahami. Nasihat yang didengar menjadi lebih menyentuh. Apa yang dahulu sukar diamalkan menjadi lebih ringan untuk dilakukan. Ini kerana ilmu itu telah mula masuk ke tempat yang sepatutnya.

Namun demikian, kebersihan hati bukan sesuatu yang kekal tanpa usaha. Ia perlu dipelihara setiap hari. Dunia sentiasa menarik hati kepada kelalaian dan dosa boleh berlaku tanpa disedari. Sebab itu, zikir, solat dan istighfar perlu menjadi sebahagian daripada kehidupan, bukan sekadar amalan sekali-sekala.

Akhirnya, dalam perjalanan mencari ilmu, persoalannya bukan sekadar berapa banyak yang kita tahu tetapi sejauh mana hati kita bersedia untuk menerima kerana ilmu itu cahaya dan hati adalah tempatnya. Jika hati bersih, sedikit ilmu pun InsyaAllah akan mampu menerangi seluruh kehidupan. 

Sekian dulu…

Kongsikanlah blog ini kepada rakan dan taulan andai anda mendapat manfaat darinya. Hanya Allah SWT yang dapat membalas jasabaik tuan puan itu. Terima kasih.

Ikhlas,

Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...

www.mindaakhirat.com

PS - Sekiranya anda membaca semua perkongsian dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

#mindaakhirat
#hjfaizalyusup
#revolusibarupembangunandiri  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

MUKADDIMAH - MINDA AKHIRAT 5.0 - MATA HATI - MELIHAT KEHIDUPAN DENGAN CAHAYA ILMU

MINDA AKHIRAT 5.0 - MATA HATI Melihat Kehidupan dengan Cahaya Ilmu MUKADDIMAH ANDA MELAYU, BARAT, ISLAM? Sebagai seorang yang lahir berbangs...