BAB 5
ISLAM WARISAN VS ISLAM KESEDARAN
“Bukanlah mata yang
buta tetapi yang buta ialah hati yang berada di dalam dada. ”
Dalam masyarakat Melayu, Islam sering datang melalui warisan keluarga dan budaya. Islam keturunan. Seseorang dilahirkan dalam keluarga Islam dan dibesarkan
dalam masyarakat yang juga beragama Islam. Sejak kecil lagi kita diajar tentang
beberapa amalan asas seperti solat, puasa dan perkara halal serta haram. Oleh
sebab itu agama menjadi sebahagian daripada kehidupan sejak awal usia.
Keadaan ini sebenarnya satu nikmat yang sangat besar. Dilahirkan
dalam keluarga Muslim memberi peluang kepada seseorang untuk mengenali agama
sejak kecil. Persekitaran masyarakat juga membantu membentuk identiti keislaman
dalam kehidupan seseorang. Namun keadaan ini juga boleh membawa kepada satu
kekeliruan yang halus jika tidak difahami dengan betul.
Apabila Islam datang melalui warisan, seseorang mungkin melihat agama sebagai sesuatu yang diwarisi sejak lahir. Identiti sebagai Muslim diterima TANPA melalui proses pencarian yang mendalam. Ibadah dilakukan kerana ia menjadi kebiasaan dalam kehidupan masyarakat. Dalam keadaan seperti ini, agama kadang-kadang diamalkan tanpa banyak renungan tentang maknanya.
Pengisian sekular Barat yang telah lama tertanam dalam sistem pendidikan dan yang berada dalam kehidupan seharian akhirnya mengelirukan diri kita sendiri. Ia mengotorkan hati lantas menyebabkan kita tak dapat membezakan antara yang hak dengan yang batil. Akhirnya kekeliruan ini menjadikan kita berminda dunia.
Islam yang lahir daripada kesedaran hati pula mempunyai sifat
yang berbeza. Dalam keadaan ini seseorang benar-benar memahami iman dan islam yang
dipegangnya. Dia tidak sekadar mewarisi agama tetapi berusaha memahami maknanya
dengan lebih mendalam. Dari situlah lahir keinginan untuk mencari ilmu dan
mendekatkan diri kepada Allah SWT. Kita boleh lihat situasi ini terhadap
golongan mualaf yang baru memeluk Islam tak kira di Malaysia atau dimana sahaja, ramai yang mendapat kesedaran atau
hidayah ini menjadi seorang Muslim dan Mukmin yang baik. Ramai juga selebriti
Melayu Islam yang mendapat hidayah Allah SWT setelah menemuinya berubah 360
darjah dari semua segi. Mereka mula berminda akhirat.
Apabila Islam difahami melalui kesedaran seperti ini, cara
seseorang melihat kehidupan akan berubah. Iman tidak lagi sekadar pengetahuan
yang berada dalam fikiran. Sebaliknya iman menjadi kesedaran yang hidup dalam
hati. Kesedaran ini mempengaruhi cara seseorang berfikir dan bertindak.
Perbezaan antara Islam warisan dan Islam kesedaran sebenarnya sangat besar. Islam warisan biasanya berkait dengan
identiti dan kebiasaan masyarakat. Ibadah dilakukan kerana ia menjadi
sebahagian daripada budaya kehidupan. Namun pencarian ilmu dan kefahaman
yang mendalam mungkin tidak berlaku. Islam hanya dalam upacara kelahiran, nikah kahwin dan kematian contohnya. Dalam aspek lain agama tak dipedulikan.
Sebaliknya Islam yang lahir daripada kesedaran hati akan
mendorong seseorang untuk mencari kefahaman yang lebih mendalam. Dia ingin
memahami tauhid, iman dan tujuan sebenar kehidupan manusia. Dari situlah agama
mula membentuk cara hidup seseorang secara menyeluruh. Kehidupan tidak lagi
dipandu oleh kelaziman semata-mata.
Ramai orang sebenarnya berhenti pada tahap yang pertama. Mereka
merasakan bahawa kerana mereka telah dilahirkan sebagai Muslim, maka mereka
sudah berada dalam keadaan yang mencukupi. Mereka merasa mereka telah mendapat hidayah. Oleh sebab itu mereka tidak merasa
keperluan untuk mencari kefahaman yang lebih mendalam tentang agama. Kehidupan
berjalan seperti biasa tanpa perubahan.
Namun apabila seseorang melangkah daripada Islam warisan
kepada Islam kesedaran, kehidupannya akan berubah dari pelbagai segi. Agama
tidak lagi berada di bahagian luar kehidupan. Ia akan meresap ke seluruh rongga tubuh badannya. Islam menjadi garispanduan
dalam seluruh cara hidupnya. Dari situlah seseorang mula melihat kehidupan
melalui perspektif minda akhirat.
Rasulullah SAW
bersabda:
“Jadilah engkau di
dunia seperti orang asing atau seperti seorang musafir. ”
0166667430
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan