Selasa, 17 Mac 2026

BAB 35 - 10 IDEA TERAS MINDA AKHIRAT


BAB 35

10 IDEA TERAS MINDA AKHIRAT

Al-Quran

“Allah SWT memberi petunjuk kepada sesiapa yang Dia kehendaki. ”

Surah An-Nur 24:46

1. Dilahirkan Islam Belum Tentu Mendapat Hidayah

Ramai orang yang menyangka bahawa dilahirkan sebagai Muslim sudah mencukupi. Hakikatnya hidayah adalah kesedaran hati yang perlu dicari dan dipelihara. Tanpa kesedaran ini, seseorang boleh hidup sebagai seorang yang beragama Islam tetapi masih dipandu oleh minda dunia.

 

2. Minda Dunia vs Minda Akhirat

Minda dunia melihat dunia sebagai tujuan hidup. Minda akhirat melihat dunia sebagai perjalanan menuju akhirat.

Perbezaan ini menentukan seluruh cara seseorang menjalani kehidupannya.

 

3. Hidayah Tidak Datang Jika Tidak Dicari

Ramai diantara kita yang tidak mencari hidayah kerana kita merasakan yang kita sudah memilikinya memandangkan kita lahir beragama islam. Hakikatnya hidayah perlu dicari dengan usaha yang ikhlas. Tanpa pencarian, manusia akan terus hidup dengan rutin kebiasaan tanpa kesedaran. Kalau tak cari kita takkan jumpa.

 

4. Perjalanan Hidayah Bermula Dengan Niat

Langkah pertama menuju hidayah ialah niat untuk mencari kebenaran. Apabila niat ini hadir, InsyaAllah hati akan mula terbuka untuk menerima petunjuk. Niat yang ikhlas menjadi permulaan kepada perubahan besar dalam kehidupan. Pada masa yang sama banyakkan berzikir dan beristigfar. Tujuannya untuk membersihkan hati atau menyiapkan hati supaya hidayah boleh masuk kelak andai ia dikurniakan kepada kita dari Allah SWT.

 

5. Doa Membuka Pintu Hidayah

Selepas niat, kita perlu memohon kepada Allah SWT agar dikurnikan dengan petunjuk dan hidayah. Doa menunjukkan bahawa manusia bergantung sepenuhnya kepada Allah SWT. Tanpa pertolongan Allah SWT, manusia tidak mampu membimbing dirinya sendiri. Allah SWT janji akan memakbulkan semua doa kalau tak di dunia, ia pasti akan dimakbulkan di akhirat kelak.

 

6. Ilmu Yang Menyedarkan Hati

Ilmu bukan sekadar maklumat dalam fikiran. Ilmu yang sebenar ialah ilmu yang membuatkan manusia melihat kehidupan dengan cara yang berbeza. Ilmu seperti ini membuka mata hati manusia tentang tujuan hidup yang sebenar. Nak berjaya di dunia kita perlukan ILMU, nak berjaya di akhirat juga kita perlukan ILMU.

 

7. Kepingan Ilmu Yang Bercantum

Dalam perjalanan mencari ilmu, seseorang akan mengumpul banyak kepingan kefahaman seakan membina dan menyiapkan sebuah jigzaw puzzle. Apabila semua kepingan ini bercantum, gambaran kehidupan menjadi jelas. Dari situlah InsyaAllah Allah SWT lahirkan kesedaran yang mendalam tentang kehidupan dan akhirat.

 

8. Kesedaran Kematian Mengubah Perspektif

Apabila kita benar-benar menyedari bahawa kematian boleh datang pada bila-bila masa, cara dia melihat kehidupan akan berubah. Dunia tidak lagi kelihatan besar seperti dahulu. Masa pula menjadi sesuatu yang sangat berharga. Perkataan dan tingkahlaku kita juga akan berubah.

 

9. Minda Akhirat Mengubah Cara Hidup

Apabila seseorang hidup dalam zon minda akhirat, dia akan menghargai setiap detik, menjaga amal dan memperbaiki hubungannya dengan Allah SWT. Dunia tidak lagi menjadi paksi utama kehidupannya. Sebaliknya dunia menjadi jalan menuju akhirat.

 

10. Tanggungjawab Menyampaikan Kesedaran

Apabila seseorang memahami hakikat kehidupan, dia akan merasa tanggungjawab untuk berkongsi kebaikan dengan orang lain. Dia tidak memaksa manusia untuk berubah tetapi mengajak mereka berfikir tentang kehidupan. Dari situlah kesedaran boleh berkembang dalam masyarakat dengan keizinan Allah SWT. 

Sekian dulu, 

Jom kita sambung perbincangan dalam bab yang akan datang…

Apapun kongsikanlah blog ini kepada rakan dan taulan andai anda mendapat manfaat darinya. Hanya Allah SWT yang dapat membalas jasabaik tuan puan itu. Terima kasih.

Ikhlas,

Haji Faizal Yusup
0166667430

Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...

www.mindaakhirat.com

PS - Sekiranya anda membaca semua perkongsian dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

MUKADDIMAH - MINDA AKHIRAT 5.0 - MATA HATI - MELIHAT KEHIDUPAN DENGAN CAHAYA ILMU

MINDA AKHIRAT 5.0 - MATA HATI Melihat Kehidupan dengan Cahaya Ilmu MUKADDIMAH ANDA MELAYU, BARAT, ISLAM? Sebagai seorang yang lahir berbangs...