TIGA
IDEOLOGI PEMIKIRAN: MELAYU, BARAT DAN ISLAM
Salah satu
persoalan besar yang perlu difikirkan oleh bangsa Melayu beragama islam ialah
persoalan tentang kekeliruan identiti dan pegangan prinsip kehidupan. Siapakah
sebenarnya kita? Apakah yang menjadi asas pemikiran kita? Apakah prinsip yang
menentukan baik dan buruk, benar dan salah, kejayaan dan kegagalan, kebahagiaan
dan penderitaan?
Persoalan
ini kelihatan mudah, namun jawapannya menjadi semakin rumit apabila pemikiran
seseorang dibentuk oleh pelbagai sumber yang datang daripada agama, adat,
budaya, sejarah, pendidikan moden dan pemikiran Barat.
Dalam
konteks masyarakat Melayu, persoalan ini menjadi lebih menarik kerana identiti
Melayu sendiri mempunyai sejarah yang panjang dan pelbagai lapisan. Istilah
“Melayu” tidak mempunyai satu makna yang sentiasa sama sepanjang sejarah.
Para
sarjana menunjukkan bahawa makna kemelayuan terbentuk melalui interaksi faktor
sejarah, sosial, budaya dan politik. Dalam konteks Malaysia moden pula,
Perlembagaan Persekutuan memberikan takrif tertentu terhadap “Melayu”, termasuk
unsur agama Islam, bahasa Melayu dan adat Melayu.
Namun
begitu, persoalan yang lebih besar bukan sekadar siapa yang dikategorikan
sebagai Melayu. Persoalannya ialah apakah sistem pemikiran yang sepatutnya
menjadi asas kepada kehidupan seorang Melayu Muslim?
Di sinilah
FY melihat terdapat tiga pengaruh besar yang perlu difahami yang membentuk
jatidiri seorang berbangsa melayu yang dilahirkan di Malaysia ini iaitu
pemikiran Melayu tradisional, pemikiran Barat moden dan pemikiran Islam.
Ketiga-tiganya mempunyai sejarah, konsep, nilai dan prinsip yang berbeza.
Masalah mula timbul apabila ketiga-tiga unsur ini bercampur aduk dalam akal
fikiran seseorang hingga ia mengelirukan pembentukan jati diri mereka sendiri.
MELAYU:
IDENTITI, ADAT DAN WARISAN
Kemelayuan
mempunyai unsur bahasa, budaya, adat, sejarah, institusi sosial dan pengalaman
hidup yang sangat luas. Adat Melayu membentuk cara masyarakat berinteraksi,
menghormati orang tua, mengurus keluarga, menjalankan majlis, bermasyarakat dan
menjaga hubungan sesama manusia.
Banyak
nilai ini mempunyai keserasian dengan Islam seperti menghormati ibu bapa,
menjaga maruah, membantu jiran, bermuafakat dan menghargai tetamu.
Namun
begitu, adat dan agama bukanlah perkara yang sama. Adat boleh menjadi sesuatu
yang baik selagi tidak bercanggah dengan syariat, tetapi adat tidak boleh
dijadikan ukuran mutlak untuk menentukan benar dan salah. Sesuatu perkara tidak
menjadi benar hanya kerana ia sudah lama diamalkan oleh masyarakat. Begitu juga
sesuatu perkara tidak semestinya salah hanya kerana ia bukan sebahagian
daripada adat lama.
Islam
datang membawa hukum hakam yang lebih tinggi daripada adat. Adat boleh
dipelihara apabila selari dengan syariat tetapi apabila adat bercanggah dengan
prinsip agama, maka prinsip agama mesti diutamakan dan di letak di atas. Dalam
erti kata lain, Melayu memberikan identiti budaya tetapi Islam membentuk
hukum hakam, akidah dan kehidupan.
Inilah satu
perkara yang perlu difahami dengan jelas. Seorang Melayu boleh mempertahankan
bahasa Melayu, menghargai budaya Melayu, mencintai sejarah Melayu dan
memelihara adat Melayu tanpa menjadikan adat sebagai sumber hukum agama. Pada
masa yang sama, dia boleh menjadi Muslim yang menjadikan Al-Quran dan Sunnah
sebagai panduan hidup.
BARAT:
ILMU, MODENITI DAN SEKULARISME
Pengaruh
Barat pula masuk melalui pendidikan, penjajahan, pentadbiran, ekonomi,
undang-undang, sains, teknologi, pemikiran moden dan globalisasi. Banyak
perkara yang digunakan oleh masyarakat hari ini mempunyai pengaruh daripada
perkembangan Barat. Universiti moden, sistem pentadbiran, teknologi, sistem
ekonomi, kaedah pengurusan dan pelbagai disiplin ilmu berkembang melalui proses
sejarah yang panjang dan tidak semuanya boleh dilabel secara mudah sebagai baik
atau buruk.
Oleh yang
demikian, seorang Muslim tidak sepatutnya menolak ilmu hanya kerana ilmu itu
datang dari Barat. Ilmu pengetahuan boleh dipelajari dan dimanfaatkan.
Teknologi boleh digunakan. Kaedah pengurusan boleh dipelajari. Penemuan sains
boleh dimanfaatkan. Persoalannya bukan semata-mata dari mana ilmu itu datang,
tetapi apakah prinsip yang datang bersamanya dan bagaimana ilmu tersebut
digunakan.
Di sinilah
kita perlu membezakan antara ilmu Barat dengan falsafah sekular Barat.
Kedua-duanya bukan perkara yang sama. Seseorang boleh mengambil ilmu sains
moden tanpa menerima fahaman bahawa kehidupan manusia mesti dipisahkan daripada
agama. Seseorang boleh mempelajari ekonomi moden tanpa menjadikan materialisme
sebagai falsafah hidup. Seseorang boleh menggunakan teknologi moden tanpa
menganggap kemajuan material sebagai ukuran mutlak kejayaan manusia.
Masalah
berlaku apabila ilmu dan teknologi yang bersifat alat bertukar menjadi falsafah
kehidupan. Manusia mula mengukur kejayaan hanya melalui duit, kuasa, status,
produktiviti, populariti dan keseronokan. Kehidupan akhirat pula semakin hilang
daripada pertimbangan. Pada ketika itu, yang berubah bukan sekadar cara
seseorang bekerja, tetapi cara seseorang memahami tujuan hidup.
ISLAM:
AKIDAH, SYARIAH DAN AKHLAK
Islam
mempunyai kedudukan yang berbeza. Islam bukan sekadar identiti etnik, bukan
sekadar budaya dan bukan sekadar ritual agama. Islam memberikan kerangka
menyeluruh tentang hubungan manusia dengan Allah SWT, manusia dengan dirinya,
manusia dengan manusia lain dan manusia dengan alam.
Islam
bermula dengan akidah. Manusia memahami bahawa Allah SWT ialah Pencipta dan
manusia ialah hamba serta khalifah yang memikul amanah. Daripada akidah lahir
cara melihat kehidupan. Daripada cara melihat kehidupan lahir prinsip. Daripada
prinsip lahir tindakan.
Sebab
itulah Islam memberikan jawapan yang berbeza terhadap persoalan kejayaan.
Kejayaan tidak hanya diukur melalui apa yang manusia miliki di dunia. Dunia
penting, tetapi dunia bukan destinasi terakhir. Kehidupan mempunyai
kesinambungan kepada akhirat.
Apabila
perspektif ini difahami, banyak perkara berubah. Duit tidak lagi menjadi tujuan
mutlak. Jawatan tidak lagi menjadi ukuran nilai manusia. Populariti tidak lagi
menjadi matlamat utama. Kekayaan tidak lagi dilihat sebagai hak mutlak tanpa
tanggungjawab. Ilmu pula bukan sekadar alat untuk mendapatkan kedudukan, tetapi
amanah yang perlu digunakan untuk memberikan manfaat.
DI SINILAH
KEKELIRUAN BERLAKU
Kekeliruan
bangsa Melayu bukan semestinya kerana mereka tidak mempunyai agama. Sebahagian
kekeliruan berlaku kerana terlalu banyak garispanduan yang digunakan pada
masa yang sama tanpa disedari.
Dalam soal
keluarga, seseorang mungkin menggunakan adat Melayu. Dalam soal ekonomi, dia
mungkin menggunakan pemikiran materialistik. Dalam soal pekerjaan, dia mungkin
menggunakan prinsip persaingan moden. Dalam soal ibadah, dia menggunakan Islam.
Dalam soal kejayaan, dia mengukur dirinya berdasarkan standard dunia. Dalam
soal kematian, dia kembali mengingati akhirat.
Akibatnya,
kehidupan menjadi seperti sebuah kapal yang mempunyai banyak nakhoda. Setiap
nakhoda memberikan arah yang berbeza. Pada akhirnya, seseorang mungkin
kelihatan berjaya dari luar tetapi mengalami konflik dalam dirinya kerana
prinsip yang digunakan tidak konsisten.
Satu contoh
mudah ialah konsep kekayaan. Pemikiran materialistik mungkin melihat kekayaan
sebagai sebanyak mungkin memiliki dan mengumpulkan. Adat pula mungkin melihat
kekayaan sebagai lambang maruah keluarga. Islam melihat kekayaan sebagai rezeki
dan amanah yang perlu diperoleh melalui jalan yang halal serta digunakan dengan
cara yang diredai Allah SWT.
Ketiga-tiga
perspektif ini boleh menghasilkan tindakan yang berbeza.
Jika
seseorang tidak sedar tentang perbezaan tersebut, dia mungkin menganggap semua
pemikiran itu sama. Dia mungkin menyebut dirinya Muslim, tetapi dalam membuat
keputusan ekonomi, ukuran yang digunakan sepenuhnya bersifat materialistik. Dia
mungkin mempertahankan adat tertentu walaupun adat tersebut bertentangan dengan
prinsip agama. Dia mungkin mengejar standard kejayaan yang sebenarnya datang
daripada budaya yang berbeza daripada nilai Islam.
Kekeliruan
inilah yang menyebabkan ada Melayu yang beragama Islam yang makan rasuah,
menjadi scammer, amang seksual, merogol, LGBT, mencuri, menyamun dan melakukan
pelbagai kemaksiatan lagi walhal ia jelas bertentangan dengan hukum hakam
Islam. Melayu tapi bukan Islam kerana seorang Muslim tak akan melanggar perintah
Allah SWT.
BUKAN SEMUA
YANG BARAT ITU SALAH
Di sinilah
kita perlu berhati-hati.
Membina
kesedaran Islam tidak bermaksud membenci Barat. Islam tidak mengajar kita
menolak manusia berdasarkan bangsa atau tempat asal mereka. Ilmu yang benar
boleh diambil daripada mana-mana sumber.
Sains ialah
ilmu pengetahuan. Teknologi ialah alat. Pengurusan ialah kaedah. Ekonomi ialah
bidang ilmu. Pendidikan ialah proses. Semua itu boleh dipelajari dan
dimanfaatkan.
Persoalannya
ialah apakah worldview yang kita gunakan ketika memanfaatkan semua perkara
tersebut?
Seorang
Muslim boleh menggunakan telefon yang dicipta melalui teknologi moden untuk
membaca Al-Quran. Dia boleh menggunakan media sosial untuk menyebarkan ilmu.
Dia boleh menggunakan sistem pengurusan moden untuk menguruskan perniagaan yang
halal. Dia boleh menggunakan ilmu kewangan untuk membina kekayaan dan pada masa
yang sama membayar zakat serta bersedekah.
Maka
masalahnya bukan pada alat. Masalahnya ialah apabila alat berubah menjadi
tuan kepada manusia.
ISLAM
SEBAGAI PEGANGAN HIDUP, BUKAN SEKADAR IDENTITI
Pada
pandangan FY, inilah perkara yang paling penting untuk difahami oleh bangsa
Melayu. Menjadi Melayu bukan sekadar memiliki nama Melayu. Menjadi Muslim pula
bukan sekadar memiliki identiti Muslim.
Persoalan
yang lebih besar ialah apakah nilai yang mengawal kehidupan kita?
Jika Islam
hanya berada dalam masjid tetapi tidak berada dalam cara kita mencari duit,
mengurus keluarga, menjalankan perniagaan, membuat keputusan dan melayan
manusia, maka Islam belum benar-benar menjadi sistem kehidupan.
Islam perlu
masuk ke dalam akal. Islam perlu masuk ke dalam prinsip. Islam perlu masuk ke
dalam keputusan. Islam perlu masuk ke dalam tindakan. Islam perlu masuk ke
dalam kehidupan secara keseluruhan.
Apabila
perkara ini berlaku, barulah seorang Melayu Muslim mempunyai satu pegangan
prinsip yang jelas. Dia boleh mengambil manfaat daripada kemajuan dunia tanpa
kehilangan identiti akidahnya. Dia boleh menghargai adat tanpa menyamakan adat
dengan syariat. Dia boleh memanfaatkan ilmu Barat tanpa menjadikan falsafah
Barat sebagai agama baharu dalam kehidupannya.
DARIPADA
MELAYU KEPADA MELAYU MUSLIM
FY melihat
bahawa persoalan sebenar bukanlah bagaimana untuk menjadi lebih Melayu
semata-mata. Persoalan yang lebih besar ialah bagaimana seorang Melayu Muslim
dapat memahami kedudukannya sebagai manusia yang diciptakan Allah SWT.
Kemelayuan
ialah salah satu lapisan identiti. Kewarganegaraan ialah satu lagi lapisan. Budaya
ialah satu lapisan. Profesion ialah satu lapisan. Status sosial juga merupakan
satu lapisan.
Namun demikian,
bagi seorang Muslim, hubungan dengan Allah SWT merupakan asas yang akan menentukan
arah kehidupannya.
Atas sebab
itu, kecintaan kepada bangsa tidak semestinya bertentangan dengan Islam.
Mencintai bangsa, bahasa dan tanah air boleh menjadi sesuatu yang baik. Namun
begitu, kecintaan tersebut perlu diletakkan pada tempatnya. Bangsa bukan Tuhan.
Budaya bukan wahyu. Adat bukan sumber mutlak kebenaran.
Apabila
berlaku percanggahan antara adat dengan syariat, syariat menjadi pegangan utama.
Apabila berlaku percanggahan antara kepentingan material dengan prinsip halal
dan haram, prinsip agama menjadi pegangan. Apabila berlaku percanggahan antara
kehendak ego dengan kebenaran, kebenaran perlu didahulukan.
Inilah yang
dimaksudkan dengan mempunyai Minda Akhirat.
MEMBINA
SISTEM AKAL YANG JELAS
Oleh yang
demikian, bangsa Melayu perlu membina satu sistem akal yang mampu membezakan
antara identiti, adat, ilmu, budaya, ideologi dan agama.
Tidak semua
perkara perlu ditolak. Tidak semua perkara perlu diterima. Tidak semua perkara
perlu dicampurkan. Kita perlu Tangkis perkara yang jelas bercanggah
dengan prinsip Islam. Kita perlu Tapis ilmu dan pemikiran yang datang
daripada pelbagai sumber. Kita perlu Tukar pemikiran yang kita sedari
tidak lagi selari dengan kebenaran. Kita perlu Tambah ilmu pengetahuan,
iman, amal dan pemikiran yang membawa manfaat.
Inilah
kaitan antara bab ini dengan Sistem Akal 4T dalam bab yang akan datang.
Kekeliruan
berlaku apabila manusia menerima terlalu banyak input tetapi tidak mempunyai
sistem untuk menguruskannya. Sistem Akal 4T memberikan mekanisme untuk
memproses input tersebut. Dengan cara ini, seorang Melayu Muslim boleh hidup
dalam dunia moden tanpa kehilangan visi dan misi sebenarnya hidupnya.
MASALAH
BUKAN PADA DUNIA TETAPI PADA PRINSIP PEGANGAN
Dunia akan
terus berubah. Teknologi akan terus berkembang. Pemikiran manusia akan terus
berubah. Budaya akan terus berubah. Ekonomi akan terus berkembang. Pelbagai
ideologi akan terus muncul sepanjang zaman.
Jika kita
tidak mempunyai prinsip pegangan yang jelas, kita akan berubah bersama-sama
dengan semua perubahan tersebut tanpa mengetahui ke mana arah tuju kita
sebenarnya.
Namun
begitu, jika kita mempunyai pegangan yang kukuh, kita boleh berhadapan dengan
perubahan tanpa kehilangan prinsip.
Kita boleh
menggunakan teknologi tanpa menjadi hamba teknologi. Kita boleh mencari
kekayaan tanpa menjadi hamba duit. Kita boleh mengejar kejayaan tanpa mengharap
pujian manusia. Kita boleh mencintai bangsa tanpa menjadikan bangsa sebagai
ukuran mutlak kebenaran. Kita boleh menghargai Barat tanpa menerima semua
falsafahnya. Kita boleh mempertahankan budaya Melayu tanpa menganggap semua
adat sebagai hukum agama. Kita boleh menjadi moden tanpa kehilangan Islam.
PENUTUP
Pada
akhirnya, kekeliruan manusia bukan semestinya berpunca daripada terlalu sedikit
ilmu. Kadangkala kekeliruan berlaku kerana terlalu banyak input yang masuk
tanpa tapisan.
Bangsa
Melayu telah melalui sejarah yang panjang. Kemelayuan terbentuk melalui
pelbagai proses sejarah dan budaya, sementara Islam menjadi unsur yang sangat
penting dalam pembentukan identiti Melayu di rantau ini. Pada masa yang sama,
pemikiran moden dan pengaruh Barat turut membentuk institusi, pendidikan dan
cara hidup masyarakat hari ini. Para sarjana sendiri menggambarkan hubungan
antara identiti Melayu, Islam, nasionalisme dan modeniti sebagai sesuatu yang
kompleks serta sentiasa berkembang.
Justeru
itu, penyelesaiannya bukan dengan menolak semua perkara yang datang dari luar.
Penyelesaiannya ialah mempunyai prinsip pegangan yang jelas.
Bagi
seorang Melayu Muslim, adat boleh menjadi warisan.
Bahasa
boleh menjadi identiti. Ilmu boleh menjadi alat. Teknologi boleh menjadi
kemudahan. Kekayaan boleh menjadi amanah. Bangsa boleh menjadi kecintaan. Tanah
air boleh menjadi tempat berbakti.
Namun
begitu, Allah SWT tetap menjadi Tuhan, Islam menjadi agama, Al-Quran dan
Sunnah menjadi panduan, dan akhirat menjadi destinasi.
Apabila
kedudukan ini jelas, kekeliruan mula hilang.
Kita tidak
lagi perlu memilih antara menjadi Melayu atau menjadi Muslim.
Kita
memahami bahawa identiti Melayu boleh dihargai, adat boleh dipelihara dan
kemajuan dunia boleh dimanfaatkan, tetapi semuanya perlu diletakkan di bawah prinsip
pegangan yang lebih tinggi.
Prinsip Islam.
Inilah yang
akan membentuk manusia yang bukan sekadar tahu siapa dirinya dari sudut bangsa,
tetapi memahami untuk apa dirinya diciptakan.
Melayu
memberikan identiti. Ilmu memberikan kemampuan. Dunia memberikan ruang untuk
berusaha. Namun Islam memberikan arah dan tujuan. Akhirat merupakan matlamat.
Apabila
identiti, ilmu dan kemajuan dunia bergerak dalam arah yang dipandu oleh Islam,
seorang Melayu Muslim bukan sahaja mampu mempertahankan dirinya daripada
kekeliruan pemikiran, malah mampu menjadi manusia yang memberikan manfaat
kepada keluarga, bangsa, negara, Ummah dan seluruh manusia.
Itulah
Minda Akhirat.
Wallahu’alam
Sekian
dulu, jom kita sambung penceritaan dalam artikel yang seterusnya dalam blog
ini. Semoga bermanfaat.
Terima
kasih.
Ikhlas,
Haji Faizal Yusup sudah menulis 12 buah buku dalam genre
umum, fiksyen, motivasi, novel dan pelaburan saham Bursa Malaysia. Pernah memenangi Dana Anugerah Penulis melalui novel Bukan Maksum dan Trilogi Man Rempit pada tahun 2012 dari Kementerian Telekomunikasi dan
Multimedia.
Pernah dijemput untuk menjalankan seminar, bengkel dan woksyop motivasi di
sekolah dan universiti. Dewasa ini menubuhkan Yayasan Minda Akhirat dan menjalankan program motivasi Minda
Akhirat. Revolusi Baru Pembangunan Sahsiah Diri.
Beliau juga merupakan seorang Top Performing Remisier di Kenanga Investment Bank Berhad. Pemenang pelbagai Anugerah Bursa
Malaysia. Mantan Naib Presiden Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia dan
pernah menjadi speaker dalam RoadShow InvestSmart anjuran Suruhanjaya Sekuriti. Dewasa ini beliau sering dijemput
sebagai speaker dalam seminar saham From Zero to Hero yang diiktiraf Bursa Malaysia.
Beliau
boleh dihubungi di talian 0166667430.
#mindaakhirat
#faizalyusup