Tuesday, September 7, 2021

BAB 6 - MINDA AKHIRAT MENCARI HIDAYAH - ANDA MELAYU, BARAT, ISLAM?

MELAYU, BARAT, ISLAM?

Sebagai seorang yang lahir berbangsa Melayu beragama Islam di Malaysia, 3 ideologi iaitu nilai Melayu, Barat dan Islam merupakan nilai yang paling kuat mempengaruhi dan membentuk diri kita selama ini. Generasi baru ini pula disajikan dengan nilai-nilai budaya Korea Selatan pula dewasa ini.

Adakah ia benar atau salah tak pernah pula kita fikirkan. Mana yang perlu kita ambil dan praktikkan dalam kehidupan tak pernah pula kita kaji akan kebenarannya. Kita ikut sahaja membabi buta.

Mari kita lihat perbezaan prinsip di antara Orang Melayu, Orang Barat dan Islam.

PERBEZAAN PRINSIP

Orang Melayu ada toyol, hantu dan jembalang,
Orang Barat ada vampire, warewolf dan zombie,
Tapi Islam percaya kepada malaikat, jin dan syaitan...

Orang Melayu kata rezeki secupak takkan jadi segantang,
Orang Barat kata “Retire Rich, Retire Young” atau “Get Rich or Die Trying”
Tapi Islam kata berusahalah kamu seperti kamu akan hidup selama-lamanya dan beribadatlah kamu seperti kamu akan mati esok hari...

Orang Melayu kata kalau ada rezeki baru kahwin,
Orang Barat kata tak payah kahwin,
Tapi Islam kata nak dapat rezeki kena kahwin...

Orang Melayu kata nak senang kena simpan duit,
Orang Barat kata nak senang kena melabur,
Tapi Islam kata nak senang kena banyak keluar sedekah, kena jadi pemurah...

Orang Melayu kata dah kaya baru bantu orang miskin,
Orang Barat kata “The rich gets richer’
Tapi Islam kata kalau nak kaya kena bantu orang miskin...

Orang Melayu kata makan sampai kenyang,
Orang Barat kata “All you can eat”
Tapi Islam kata berhenti sebelum kenyang,

Semua nilai ini bercanggah dan akhirnya mengelirukan orang melayu sampai dia sendiri tak tahu apakah dan manakah prinsip yang hendak dipegang. Akhirnya kita menggunakan logik akal dan pengalaman yang terdahulu untuk memandu arah tuju kehidupan kita.

Dalam ertikata lain dalam diri kita seakan ada 3 orang di dalam tubuh badannya iaitu Orang Melayu, Orang Barat dan Orang Islam. Kita boleh ucap selamat pagi kepada orang Cina, kita ucap "good morning" bila kita jumpa Mat Saleh dan kita ucap Assalamualaikum bila bertemu dengan Ustaz. Kita ada peratusan yang berbeza dalam diri mungkin 50% Melayu, 30% Islam dan 20% Barat sebagai contoh.

Apa kata kita pecah dan bahagikan 3 orang dalam diri kita ini.

Katalah kita 100% Melayu maka...

Apakah yang akan kita lakukan bila kita bangun pagi?

Mengeliat, Bangun, Masuk bilik air, buang air, mandi, keluar bilik air, bersiap, bersarapan, naik kenderaan dan pergi kerja.

Adakah kita akan makan babi? Makan jer sepertimana kaum melayu yang hidup di Sulawesi, Indonesia sebagai contoh. Bukan hanya makan babi, malah kelawar, ular dan kala jengking juga dimakan mereka. Bagaimana pula cara membunuh binatang tersebut? Ketuk sahaja kepalanya?

Kemudian katalah kita 100% mengikut ajaran Barat. Bagaimana pula bila bangun pagi?

Rasanya lebih kurang sama sahaja. Sesilap mandi pun tak. Hidup dengan prinsip mahukan kesaksamaan dan kebebasan yang mutlak hinggakan mereka boleh berbuat apa sahaja. Pergaulan bebas, Seks tanpa hubungan pernikahan, bertukar pasangan, pasangan sejenis dan sebagainya.

Dalam hal ini cuma penerapan Islam sahaja yang jauh berbeza. Ini kerana ia serba lengkap. Ia punya garispanduan, adab dan tertibnya dalam semua perkara yang kita lakukan. 

Bagaimana pula sebagai seorang Islam? Bila bangun pagi?

Baca doa, masuk bilik air dengan kaki kiri sambil berdoa, ikut adab dan tertib, buang air pakai alas kaki, tutup kepala, mandi tutup aurat, keluar langkah kanan sambil berdoa, pakai baju baca doa, tengok cermin baca doa,  solat subuh dan sebagainya. Makan, minum, tidur, keluar rumah, naik kenderaan, bekerja malah berhubungan kelamin semuanya ada doa adab dan tertibnya. Kalau dilihat ini bermakna secara dasarnya ulama terdahulu telah memikirkan segalanya dan dalam hal ini kita diminta mengingati Allah Taala dalam apa juga yang kita lakukan.

Pengisian dan penerapan Islam tidak boleh dinafikan serba lengkap dan menyeluruh sebagai garispanduan kehidupan sejak dahulu hingga sekarang tidak seperti pengisian Melayu dan Barat yang serba kekurangan.

Bila difikirkan kita tahu apa wahyu pertama yang diturunkan dalam Islam iaitu Iqra' yang bererti "bacalah". Persoalannya apakah wahyu pertama untuk Melayu mahupun Barat? Jadi dalam hal ini sebagai seorang Islam kita kena jadi seorang yang rajin membaca kerana membaca itu jambatan ilmu yang mana akan meluaskan horizon pemikiran seseorang itu. Namun kebanyakan kita tak ikut saranan wahyu pertama Islam itu jadi kita menjadi orang yang tak suka membaca.

Dalam hal ini juga sebagai seorang yang beragama Islam kita tak boleh masuk Islam separuh-separuh. Kita tak boleh hanya tampal Islam dalam diri kita sebagai seorang melayu tapi kita mesti masuk Islam sepenuhnya. 100%! Ikut apa yang diperintahkan dan tinggalkan apa yang dilarang sama sekali. Kita kena mengislamkan diri kita sendiri dan mengeluarkan semua ideologi Melayu dan Barat dari dalam diri lebih-lebih lagi sekiranya ia bercanggah dengan hukum hakam keislaman.

Mengetahui hakikat ini maka seeloknya kita sebagai seorang Islam tidak perlulah percaya kepada berjuta hantu ajaran Melayu sejak zaman datuk nenek moyang terdahulu itu kerana ia langsung tidak disebut dalam Islam. Hanya Syaitan, Bidadari, Jin, Malaikat dan Iblis.

Nak tahu apa beza hantu Barat dengan hantu Melayu?

Hantu Barat seperti Dracula, Vampire, Werewolf dan Zombie ia kelihatan dan seperkara lagi ia ada kelemahan dan boleh dibunuh. Sinaran matahari dan kayu tajam yang ditikam di hati Dracula dan Vampire akan membunuhnya. Tembakan peluru perak akan membunuh Werewolf dan tembakan ke kepala mengenai otak akan membunuh Zombie.

Persoalannya bagaimana nak bunuh hantu kum kum contohnya? Bagaimana nak bunuh momok? Malah macamana rupabentuk dan warna momok pun kita tak tahu. Pernahkan sepanjang hidup anda bertemu dengannya? Ketahuilah kalau momok muncul berjisim dan berjirim macam kita pastinya kita boleh memenggal lehernya. Jadi pasti kalau mereka wujud mereka tak berani untuk memunculkan dirinya. 

Kemudian kalau difikirkan lebih mendalam kenapa pula hantu Melayu tak sama dengan hantu Amerika? Tak sama dengan hantu India dan langsung tak sama dengan hantu Cina? Lain tempat lain pulak hantunya. Sedang seluruh dunia manusia sama sahaja punya dua mata, satu hidung, dua telinga dan satu mulut yang terletak kepala.

Jadi dalam bab ini ingin FY tegaskan sekali lagi cukuplah kita percaya kepada iblis, syaitan, jin dan malaikat. Perkara ghaib yang wajib kita percaya. Buang masa jer percaya kepada hantu yang pelbagai tu.


APA JADI KALAU ISLAM DAN BRITISH TAK DATANG KE NEGARA INI?
Kemaskini 26 April 2022

Kalau difikirkan andai pedagang-pedagang Arab tak sampai ke Tanah Melayu pada kurun ke 14 dahulu maka kemungkinan besar kita tak akan jadi umat Islam dan kalau British tak menjajah Tanah Melayu dahulu maka pasti kita akan jadi berbeza. Mungkin kita masih lagi tidak berugama dan masih mengamal adat dan upacara kemelayuan sehingga kini. Mungkin kita masih lagi bersekolah di pondok-pondok. Dalam ertikata lain kita masih melayu yang percaya kepada hantu!

Kedatangan Islam telah memasukkan pengisian Islam dalam budaya orang Melayu dimana banyak adat dan upacara yang telah berkurun lama ada mulai hilang satu persatu digantikan dengan upacara yang selari dengan Islam. Dukun dan bomoh juga semakin lama semakin menghilang dan digantikan dengan para ulama dan ustaz. Pengisian Islam menekankan tentang keimanan, keislaman juga hari akhirat. Ia tak sama dengan pengisian Barat. British pula datang menjajah, kemudian membahagikan bangsa Cina di bandar-bandar, bangsa India di estet-estet dan bangsa Melayu di kampung-kampung. Kaedah pentadbiran ini kemudiannya memberi kesan kepada sosio ekonomi kita bangsa Melayu di negara ini. Mereka pula membuka sekolah-sekolah formal yang berlatarbelakangkan ugama Kristian juga dengan matapelajaran sekular keduniaan yang dibawa hingga ke hari ini.

Seterusnya bila tamadun kita semakin maju, cerita-cerita Barat yang dipelopori Amerika Syarikat mula mengambil tempat di rangkaian TV dan media massa di negara ini. Ia juga membawa pengisian budaya Barat yang keduniaan. Lambat laun semua pengisian ini masuk ke dalam diri kita, membentuk prinsip kehidupan yang kita pegang. Sebab itulah dewasa ini ramai ibubapa yang mementingkan pelajaran, kemewahan, kemashyuran dan segala apa yang ada di dunia ini sebagai matlamat untuk anak-anak mereka kejar. Adakah ini benar? Fikir-fikirkanlah.  

Faizal Yusup Al Haj
0166667430
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...

www.mindaakhirat.com

PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;


atau di Youtube, Like dan subscribe yer. Layari ;


atau di Tik Tok, layari ;

2 comments:

PENGENALAN BLOG MINDA AKHIRAT MENCARI HIDAYAH

Bismillahirrahmanirrahim... Assalamualaikum wbt. Salam sejahtera. Selamat datang ke blog Minda Akhirat. Terima kasih kerana sudi singgah ke ...