SISTEM OPERASI AKAL DAN MINDA AKHIRAT
Setiap manusia mempunyai akal untuk berfikir, hati untuk
merasa dan kehidupan untuk membuat pilihan. Namun begitu, tidak semua perkara
yang masuk ke dalam akal akan membawa manusia kepada kebenaran. Ada input yang
membina, ada input yang merosakkan, ada input yang membawa manusia semakin
dekat kepada Allah SWT dan ada juga input yang perlahan-lahan menjauhkan
manusia daripadaNya. Oleh yang demikian, persoalan yang sangat penting dalam
kehidupan bukan sekadar apa yang kita fikirkan, tetapi apakah input yang kita
benarkan masuk ke dalam pemikiran kita.
FY semakin memahami bahawa kehidupan manusia sebenarnya
banyak dipengaruhi oleh input yang diterima setiap hari. Apa yang dibaca, apa
yang didengar, apa yang ditonton, siapa yang dijadikan rujukan, siapa yang
dipercayai dan nilai apa yang sentiasa diulang dalam kehidupan akhirnya akan
membentuk cara seseorang melihat dunia. Mempengaruhi cara kita bertindak dan
membuat keputusan dalam menjalani kehidupannya. Ia akan menentukan samaada kita
akan berminda dunia atau berminda akhirat.
Input tersebut akan masuk ke dalam akal, diproses menjadi
pemikiran seterusnya membentuk prinsip yang dipegang. Prinsip ini pula akan
mempengaruhi keputusan dan tindakan. Apabila tindakan dilakukan berulang kali,
ia akan menjadi kebiasaan. Kebiasaan akhirnya membentuk kehidupan seseorang.
Oleh yang demikian, satu perkara yang kelihatan kecil seperti memilih input
sebenarnya boleh memberikan kesan yang sangat besar terhadap perjalanan hidup
seorang manusia.
Bagi FY, kepercayaan dan keyakinan kepada Allah SWT serta
agama Islam adalah sebab kenapa perkara yang paling penting untuk dimasukkan ke
dalam akal dan hati ialah input yang bersumberkan Al-Quran, Sunnah dan ilmu
yang tidak bercanggah dengan prinsip Islam.
Ia bukan bermaksud kita menolak semua ilmu yang datang
daripada luar rangkuman keislaman. Ilmu dunia seperti teknologi, matematik,
perubatan, sejarah, geografi, ekonomi, pengurusan dan pelbagai bidang lain
boleh dimanfaatkan selagi tidak bercanggah dengan prinsip agama. Islam bukan
agama yang menghalang manusia daripada mencari ilmu. Sebaliknya, Islam
memberikan neraca supaya manusia mengetahui bagaimana ilmu tersebut harus
digunakan dan untuk apa.
Di sinilah pentingnya sistem penapisan dalam akal. Manusia
tidak sepatutnya menerima setiap input secara bebas hanya kerana ia popular,
disampaikan oleh orang yang terkenal atau diterima oleh masyarakat. Sesuatu
idea perlu dinilai. Setiap prinsip perlu diperiksa. Sesuatu pemikiran perlu
ditimbang. Bagi seorang Muslim, Al-Quran dan Sunnah menjadi antara penapis
utama dalam proses tersebut. Apa yang selari dengan kebenaran akan diterima dan
dimanfaatkan. Apa yang jelas bercanggah dengan prinsip Islam perlu
ditinggalkan. Inilah yang FY maksudkan sebagai sistem operasi akal. Kita bukan
sekadar mempunyai akal untuk menerima maklumat tetapi mempunyai akal untuk
menapis maklumat.
Masalah yang berlaku dalam kehidupan manusia ialah apabila
input diterima tanpa tapisan. Seseorang boleh membaca pelbagai buku, mengikuti
pelbagai tokoh, menonton pelbagai kandungan dan mendengar pelbagai pandangan
sehingga akhirnya prinsip kehidupannya menjadi bercampur-aduk. Dalam satu
keadaan dia menggunakan prinsip Islam, dalam keadaan yang lain dia menggunakan
prinsip sekular yang bercanggah dengan Islam.
Dalam satu keadaan dia percaya kepada ketentuan Allah SWT,
namun dalam keadaan yang lain dia meletakkan kejayaan dunia sebagai ukuran
mutlak kehidupan. Percampuran ini boleh menyebabkan seseorang mengalami konflik
dalam menentukan keputusan kerana dia tidak mempunyai satu sistem akal yang
jelas.
Hakikatnya Islam memberikan satu kerangka kehidupan yang
menyeluruh. Islam tidak hanya mengajar manusia bagaimana untuk beribadah di
masjid semata-mata tetapi mengajar manusia bagaimana untuk hidup. Islam
memberikan garispanduan tentang hubungan manusia dengan Allah SWT, hubungan
sesama manusia, keluarga, pekerjaan, kekayaan, ilmu, kepimpinan, akhlak, ujian,
kesabaran, syukur, kematian dan kehidupan selepas mati.
Justeru itu, apabila seseorang benar-benar menjadikan
Islam sebagai asas pemikiran, Islam bukan lagi sekadar agama yang diamalkan
pada waktu tertentu. Islam menjadi cara manusia melihat seluruh kehidupan.
Sebab itulah FY percaya bahawa banyak rahsia kehidupan
yang dicari oleh manusia sebenarnya telah diberikan petunjuknya melalui Islam.
Rahsia ketenangan, misalnya, bukan semata-mata terletak pada banyaknya duit,
besarnya rumah, mahalnya kereta atau tingginya kedudukan.
Allah SWT berfirman bahawa hati menjadi tenteram dengan
mengingati Allah SWT. Zikrullah menghidupkan hati kerana manusia kembali
mengingati siapa dirinya, siapa Penciptanya dan kepada siapa akhirnya dia akan
kembali. Dunia mungkin berubah setiap hari tetapi hati yang mempunyai hubungan
dengan Allah SWT mempunyai tempat untuk kembali apabila berhadapan dengan
tekanan, kehilangan dan ketidakpastian.
Begitu juga dengan kekayaan. Islam tidak mengajar manusia
supaya membenci kekayaan. Islam mengajar manusia supaya memahami kedudukan
kekayaan. Duit boleh menjadi alat kebaikan apabila digunakan pada jalan yang
benar. Sedekah mengajar manusia melepaskan sebahagian daripada apa yang
dimilikinya untuk memberikan manfaat kepada orang lain.
Apabila seseorang mempunyai kemampuan lalu menggunakan
duitnya untuk membantu keluarga, membangunkan ilmu, membantu golongan yang
memerlukan dan memberikan manfaat kepada Ummah, kekayaan tersebut tidak lagi
sekadar menjadi milik peribadi. Ia menjadi wasilah untuk menghasilkan manfaat
yang lebih besar. Rezeki tetap berada dalam ketentuan Allah SWT, manakala
manusia diperintahkan berusaha, berdoa, bersyukur dan menggunakan nikmat yang
diberikan dengan cara yang diredaiNya.
Rahsia kejayaan pula perlu dilihat dari perspektif yang
lebih luas. Dunia sering mendefinisikan kejayaan melalui pencapaian material,
jawatan, populariti dan kekayaan. Islam memberikan perspektif yang lebih
panjang. Kehidupan dunia hanya sebahagian daripada perjalanan manusia.
Kehidupan akhirat adalah kehidupan yang kekal. Oleh yang demikian, seseorang
yang mempunyai Minda Akhirat tidak semestinya menolak kejayaan dunia.
Sebaliknya, dia menggunakan kejayaan dunia sebagai alat untuk mencapai matlamat
yang lebih besar. Dia mencari duit tetapi tidak menjadikan duit sebagai Tuhan.
Dia mengejar kejayaan, tetapi tidak menjadikan pujian manusia sebagai tujuan
utama. Dia membina kekayaan, tetapi memahami bahawa semua yang dimiliki
akhirnya akan dipersoalkan oleh Allah SWT.
Inilah perbezaan besar antara seseorang yang hidup hanya
untuk dunia dengan seseorang yang hidup dengan Minda Akhirat. Orang yang
hanya melihat dunia mungkin bertanya, “Apa yang aku akan dapat?” Orang yang
mempunyai Minda Akhirat akan bertanya, “Apa manfaat yang boleh aku
berikan dan apakah yang akan aku bawa menghadap Allah SWT?” Dua soalan ini
boleh menghasilkan keputusan yang sangat berbeza. Soalan pertama mungkin
membawa manusia kepada persaingan mendapatkan lebih banyak. Soalan kedua boleh
membawa manusia kepada usaha menjadi lebih bermanfaat.
Rasulullah SAW juga mengajar umatnya supaya memahami
bahawa manusia yang terbaik ialah manusia yang memberikan manfaat kepada
manusia lain. Prinsip ini memberikan satu perspektif yang besar kepada
kehidupan. Kejayaan seseorang tidak semestinya diukur melalui apa yang berjaya
dikumpulkannya, tetapi juga melalui berapa banyak manfaat yang berjaya
ditinggalkannya. Seorang guru meninggalkan ilmu. Seorang doktor memberikan
rawatan. Seorang usahawan menyediakan pekerjaan. Seorang penulis menyebarkan
ilmu. Seorang pelabur menyediakan modal kepada syarikat. Seorang ibu dan bapa
membentuk generasi. Setiap manusia mempunyai ruang untuk memberikan manfaat
mengikut kemampuan masing-masing.
Apabila kita memahami perkara ini, prinsip hidup kita akan
berubah. Kita tidak lagi bertanya tentang keuntungan untuk diri semata-mata. Kita
mula bertanya tentang keberkatan, manfaat dan tanggungjawab. Kita akan mula
memahami bahawa setiap kelebihan yang Allah SWT berikan kepadanya sebenarnya
membawa amanah. Jika dikurniakan ilmu, ilmu itu perlu dimanfaatkan. Jika dikurniakan
duit, duit itu perlu digunakan dengan baik. Jika dikurniakankan masa, masa itu
perlu diuruskan dengan sebaiknya. Jika dikurniakan pengaruh, pengaruh itu perlu
digunakan untuk kebaikan. Jika dikurniakan kejayaan, kejayaan itu perlu menjadi
sebab orang lain turut mendapat manfaat.
Sebaliknya, apabila seseorang menerima input yang
meletakkan dunia sebagai ukuran mutlak, prinsip hidupnya boleh berubah. Nilai
manusia mungkin diukur berdasarkan duit, jawatan, pengaruh dan kemasyhuran.
Kejayaan mungkin dianggap tercapai apabila seseorang mempunyai lebih daripada
orang lain. Kebahagiaan pula mungkin dicari melalui pemilikan benda yang tidak
pernah cukup. Dalam keadaan seperti ini, manusia boleh memiliki banyak perkara
tetapi masih merasakan kekosongan dalam dirinya. Hal ini bukan bermaksud setiap
kejayaan material itu buruk tetapi apabila dunia menjadi matlamat tertinggi,
manusia berisiko kehilangan matlamat tentang tujuan sebenar kehidupannya.
Islam mengubah perspektif tersebut dengan mengembalikan
manusia kepada hakikat bahawa segala sesuatu adalah milik Allah SWT. Manusia
hanya menerima amanah untuk menguruskan apa yang dikurniakan. Kesihatan ialah
amanah. Keluarga ialah amanah. Duit ialah amanah. Ilmu ialah amanah. Masa ialah
amanah. Bahkan kehidupan itu sendiri adalah amanah. Apabila kesedaran ini masuk
ke dalam akal dan hati, seseorang akan menjadi lebih berhati-hati dalam membuat
keputusan kerana dia tahu bahawa kehidupan ini bukan miliknya secara mutlak.
Atas sebab itu, FY melihat bahawa kita perlu menjaga input
yang masuk ke dalam ke dalam akal fikiran kita. Apa yang kita baca sebelum
tidur mungkin mempengaruhi fikiran kita. Apa yang kita tonton setiap hari
mungkin mempengaruhi nilai yang kita anggap normal. Siapa yang kita jadikan
idola mungkin mempengaruhi cita-cita kita. Siapa yang kita dengar nasihatnya
mungkin mempengaruhi keputusan kita. Persekitaran yang kita pilih pula boleh
menentukan samaada prinsip kita semakin kuat atau semakin lemah. Oleh yang
demikian, menjaga input bukan perkara kecil. Ia sebahagian daripada usaha
menjaga hati, akal dan seluruh kehidupan.
Namun begitu, seorang Muslim tidak seharusnya hidup dalam
ketakutan terhadap ilmu. Islam menggalakkan pencarian ilmu yang bermanfaat. Apa
yang diperlukan ialah satu sistem akal yang menjaga dan memelihara input mana yang boleh masuk dan input mana yang
tidak dibenarkan masuk. Kita boleh belajar daripada pelbagai sumber tetapi
tidak semestinya menerima semua prinsip yang dibawa bersama sumber tersebut.
Kita boleh mempelajari ilmu ekonomi tanpa menerima
materialisme sebagai falsafah hidup. Kita boleh mempelajari teknologi tanpa
menjadikan teknologi sebagai tujuan kehidupan. Kita boleh mempelajari psikologi
tanpa mengabaikan dimensi rohani manusia. Kita boleh mempelajari strategi
perniagaan tanpa meninggalkan amanah dan kejujuran. Ilmu boleh dimanfaatkan,
sementara prinsip hidup tetap berpaksikan Islam.
Di penghujung cerita, persoalan terbesar bukanlah berapa
banyak input yang kita miliki, tetapi apakah input yang kita pilih untuk
dipercayai dan dijadikan prinsip. Manusia boleh memiliki ribuan maklumat tetapi
masih tidak mempunyai arah dan matlamat. Manusia boleh membaca ratusan buku
tetapi masih tidak mengetahui tujuan hidup. Manusia boleh mengikuti ramai tokoh
tetapi masih kehilangan dirinya sendiri. Oleh yang demikian, kita memerlukan
sesuatu yang lebih besar daripada sekadar maklumat. Kita memerlukan petunjuk.
Bagi FY, petunjuk itu membawa manusia kembali kepada Allah
SWT. Apabila Allah SWT menjadi sandaran, kehidupan mempunyai akan punya arah.
Apabila Al-Quran dan Sunnah menjadi penapis, keputusan mempunyai panduan.
Apabila akhirat menjadi destinasi, dunia dapat diletakkan pada tempatnya. Kita
masih bekerja, berniaga, mencari ilmu, membina kekayaan dan mengejar kejayaan
tetapi semuanya dilakukan dengan kesedaran bahawa kita akan kembali kepada
Allah SWT.
Inilah yang FY maksudkan dengan Minda Akhirat. Ia
bukan bermaksud meninggalkan dunia. Ia bermaksud melihat dunia melalui
perspektif akhirat. Dunia digunakan, bukan disembah. Duit dimanfaatkan, bukan
dijadikan matlamat mutlak. Kejayaan dikejar tetapi keberkatan tidak
ditinggalkan. Ilmu dicari tetapi tidak menjadikan kita sombong. Kekayaan
dibina, tetapi manfaat kepada manusia tidak dilupakan. Kehidupan dinikmati
tetapi kematian sentiasa diingati.
Akhirnya, perjalanan manusia boleh difahami melalui satu
rangkaian yang sangat mudah. Input membentuk pemikiran. Pemikiran membentuk
prinsip. Prinsip membentuk keputusan. Keputusan membentuk tindakan. Tindakan
yang diulang membentuk kehidupan. Kehidupan pula menentukan apa yang akan kita
bawa menghadap Allah SWT.
Oleh yang demikian, sebelum kita bertanya mengapa
kehidupan kita menjadi seperti hari ini, mungkin kita perlu bertanya terlebih
dahulu: Apakah yang selama ini kita masukkan ke dalam akal dan hati kita?
Apakah prinsip yang terbentuk daripada input tersebut? Siapakah yang menjadi
rujukan kita? Apakah sistem akal yang kita gunakan ketika membuat keputusan?
Jika jawapannya sentiasa kembali kepada Allah SWT,
Al-Quran, Sunnah, ilmu yang bermanfaat dan usaha memberikan manfaat kepada
manusia, InsyaAllah perjalanan kehidupan kita mempunyai visi dan misi yang
jelas.
Jagalah input yang masuk kerana input
membentuk pemikiran.
Jagalah pemikiran kerana pemikiran akan membentuk
prinsip.
Jagalah prinsip kerana prinsip membentuk
tindakan.
Jagalah tindakan kerana tindakan akan membentuk
kehidupan.
Jagalah kehidupan kerana kehidupan
inilah yang akhirnya akan kita bawa menghadap Allah SWT.
Itulah asas Minda Akhirat.
Wallahu’alam
Sekian
dulu, jom kita sambung penceritaan dalam artikel yang seterusnya dalam blog
ini. Semoga bermanfaat.
Terima
kasih.
Ikhlas,
Haji Faizal Yusup sudah menulis 12 buah buku dalam genre
umum, fiksyen, motivasi, novel dan pelaburan
saham Bursa
Malaysia. Pernah memenangi Dana
Anugerah Penulis melalui novel
Bukan Maksum dan Trilogi
Man Rempit pada tahun 2012 dari Kementerian
Telekomunikasi dan Multimedia. Pernah dijemput untuk menjalankan seminar,
bengkel dan woksyop motivasi di sekolah dan universiti. Dewasa ini menubuhkan
Yayasan Minda
Akhirat dan menjalankan program motivasi Minda Akhirat. Revolusi
Baru Pembangunan Sahsiah Diri.
Beliau juga merupakan seorang Top Performing Remisier di Kenanga
Investment Bank Berhad. Pemenang pelbagai Anugerah Bursa Malaysia. Mantan
Naib Presiden Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia dan pernah menjadi speaker
dalam RoadShow InvestSmart anjuran Suruhanjaya
Sekuriti. Dewasa ini beliau sering dijemput sebagai speaker dalam seminar
saham From Zero to Hero yang diiktiraf Bursa Malaysia.
Beliau
boleh dihubungi di talian 0166667430.
#mindaakhirat
#faizalyusup