Rabu, 7 Oktober 2026

TIGA IDEOLOGI PEMIKIRAN: MELAYU, BARAT DAN ISLAM

TIGA IDEOLOGI PEMIKIRAN: MELAYU, BARAT DAN ISLAM

Salah satu persoalan besar yang perlu difikirkan oleh bangsa Melayu beragama islam ialah persoalan tentang kekeliruan identiti dan pegangan prinsip kehidupan. Siapakah sebenarnya kita? Apakah yang menjadi asas pemikiran kita? Apakah prinsip yang menentukan baik dan buruk, benar dan salah, kejayaan dan kegagalan, kebahagiaan dan penderitaan?

Persoalan ini kelihatan mudah, namun jawapannya menjadi semakin rumit apabila pemikiran seseorang dibentuk oleh pelbagai sumber yang datang daripada agama, adat, budaya, sejarah, pendidikan moden dan pemikiran Barat.

Dalam konteks masyarakat Melayu, persoalan ini menjadi lebih menarik kerana identiti Melayu sendiri mempunyai sejarah yang panjang dan pelbagai lapisan. Istilah “Melayu” tidak mempunyai satu makna yang sentiasa sama sepanjang sejarah.

Para sarjana menunjukkan bahawa makna kemelayuan terbentuk melalui interaksi faktor sejarah, sosial, budaya dan politik. Dalam konteks Malaysia moden pula, Perlembagaan Persekutuan memberikan takrif tertentu terhadap “Melayu”, termasuk unsur agama Islam, bahasa Melayu dan adat Melayu.

Namun begitu, persoalan yang lebih besar bukan sekadar siapa yang dikategorikan sebagai Melayu. Persoalannya ialah apakah sistem pemikiran yang sepatutnya menjadi asas kepada kehidupan seorang Melayu Muslim?

Di sinilah FY melihat terdapat tiga pengaruh besar yang perlu difahami yang membentuk jatidiri seorang berbangsa melayu yang dilahirkan di Malaysia ini iaitu pemikiran Melayu tradisional, pemikiran Barat moden dan pemikiran Islam. Ketiga-tiganya mempunyai sejarah, konsep, nilai dan prinsip yang berbeza. Masalah mula timbul apabila ketiga-tiga unsur ini bercampur aduk dalam akal fikiran seseorang hingga ia mengelirukan pembentukan jati diri mereka sendiri.

MELAYU: IDENTITI, ADAT DAN WARISAN

Kemelayuan mempunyai unsur bahasa, budaya, adat, sejarah, institusi sosial dan pengalaman hidup yang sangat luas. Adat Melayu membentuk cara masyarakat berinteraksi, menghormati orang tua, mengurus keluarga, menjalankan majlis, bermasyarakat dan menjaga hubungan sesama manusia.

Banyak nilai ini mempunyai keserasian dengan Islam seperti menghormati ibu bapa, menjaga maruah, membantu jiran, bermuafakat dan menghargai tetamu.

Namun begitu, adat dan agama bukanlah perkara yang sama. Adat boleh menjadi sesuatu yang baik selagi tidak bercanggah dengan syariat, tetapi adat tidak boleh dijadikan ukuran mutlak untuk menentukan benar dan salah. Sesuatu perkara tidak menjadi benar hanya kerana ia sudah lama diamalkan oleh masyarakat. Begitu juga sesuatu perkara tidak semestinya salah hanya kerana ia bukan sebahagian daripada adat lama.

Islam datang membawa hukum hakam yang lebih tinggi daripada adat. Adat boleh dipelihara apabila selari dengan syariat tetapi apabila adat bercanggah dengan prinsip agama, maka prinsip agama mesti diutamakan dan di letak di atas. Dalam erti kata lain, Melayu memberikan identiti budaya tetapi Islam membentuk hukum hakam, akidah dan kehidupan.

Inilah satu perkara yang perlu difahami dengan jelas. Seorang Melayu boleh mempertahankan bahasa Melayu, menghargai budaya Melayu, mencintai sejarah Melayu dan memelihara adat Melayu tanpa menjadikan adat sebagai sumber hukum agama. Pada masa yang sama, dia boleh menjadi Muslim yang menjadikan Al-Quran dan Sunnah sebagai panduan hidup.

BARAT: ILMU, MODENITI DAN SEKULARISME

Pengaruh Barat pula masuk melalui pendidikan, penjajahan, pentadbiran, ekonomi, undang-undang, sains, teknologi, pemikiran moden dan globalisasi. Banyak perkara yang digunakan oleh masyarakat hari ini mempunyai pengaruh daripada perkembangan Barat. Universiti moden, sistem pentadbiran, teknologi, sistem ekonomi, kaedah pengurusan dan pelbagai disiplin ilmu berkembang melalui proses sejarah yang panjang dan tidak semuanya boleh dilabel secara mudah sebagai baik atau buruk.

Oleh yang demikian, seorang Muslim tidak sepatutnya menolak ilmu hanya kerana ilmu itu datang dari Barat. Ilmu pengetahuan boleh dipelajari dan dimanfaatkan. Teknologi boleh digunakan. Kaedah pengurusan boleh dipelajari. Penemuan sains boleh dimanfaatkan. Persoalannya bukan semata-mata dari mana ilmu itu datang, tetapi apakah prinsip yang datang bersamanya dan bagaimana ilmu tersebut digunakan.

Di sinilah kita perlu membezakan antara ilmu Barat dengan falsafah sekular Barat. Kedua-duanya bukan perkara yang sama. Seseorang boleh mengambil ilmu sains moden tanpa menerima fahaman bahawa kehidupan manusia mesti dipisahkan daripada agama. Seseorang boleh mempelajari ekonomi moden tanpa menjadikan materialisme sebagai falsafah hidup. Seseorang boleh menggunakan teknologi moden tanpa menganggap kemajuan material sebagai ukuran mutlak kejayaan manusia.

Masalah berlaku apabila ilmu dan teknologi yang bersifat alat bertukar menjadi falsafah kehidupan. Manusia mula mengukur kejayaan hanya melalui duit, kuasa, status, produktiviti, populariti dan keseronokan. Kehidupan akhirat pula semakin hilang daripada pertimbangan. Pada ketika itu, yang berubah bukan sekadar cara seseorang bekerja, tetapi cara seseorang memahami tujuan hidup.

ISLAM: AKIDAH, SYARIAH DAN AKHLAK

Islam mempunyai kedudukan yang berbeza. Islam bukan sekadar identiti etnik, bukan sekadar budaya dan bukan sekadar ritual agama. Islam memberikan kerangka menyeluruh tentang hubungan manusia dengan Allah SWT, manusia dengan dirinya, manusia dengan manusia lain dan manusia dengan alam.

Islam bermula dengan akidah. Manusia memahami bahawa Allah SWT ialah Pencipta dan manusia ialah hamba serta khalifah yang memikul amanah. Daripada akidah lahir cara melihat kehidupan. Daripada cara melihat kehidupan lahir prinsip. Daripada prinsip lahir tindakan.

Sebab itulah Islam memberikan jawapan yang berbeza terhadap persoalan kejayaan. Kejayaan tidak hanya diukur melalui apa yang manusia miliki di dunia. Dunia penting, tetapi dunia bukan destinasi terakhir. Kehidupan mempunyai kesinambungan kepada akhirat.

Apabila perspektif ini difahami, banyak perkara berubah. Duit tidak lagi menjadi tujuan mutlak. Jawatan tidak lagi menjadi ukuran nilai manusia. Populariti tidak lagi menjadi matlamat utama. Kekayaan tidak lagi dilihat sebagai hak mutlak tanpa tanggungjawab. Ilmu pula bukan sekadar alat untuk mendapatkan kedudukan, tetapi amanah yang perlu digunakan untuk memberikan manfaat.

DI SINILAH KEKELIRUAN BERLAKU

Kekeliruan bangsa Melayu bukan semestinya kerana mereka tidak mempunyai agama. Sebahagian kekeliruan berlaku kerana terlalu banyak garispanduan yang digunakan pada masa yang sama tanpa disedari.

Dalam soal keluarga, seseorang mungkin menggunakan adat Melayu. Dalam soal ekonomi, dia mungkin menggunakan pemikiran materialistik. Dalam soal pekerjaan, dia mungkin menggunakan prinsip persaingan moden. Dalam soal ibadah, dia menggunakan Islam. Dalam soal kejayaan, dia mengukur dirinya berdasarkan standard dunia. Dalam soal kematian, dia kembali mengingati akhirat.

Akibatnya, kehidupan menjadi seperti sebuah kapal yang mempunyai banyak nakhoda. Setiap nakhoda memberikan arah yang berbeza. Pada akhirnya, seseorang mungkin kelihatan berjaya dari luar tetapi mengalami konflik dalam dirinya kerana prinsip yang digunakan tidak konsisten.

Satu contoh mudah ialah konsep kekayaan. Pemikiran materialistik mungkin melihat kekayaan sebagai sebanyak mungkin memiliki dan mengumpulkan. Adat pula mungkin melihat kekayaan sebagai lambang maruah keluarga. Islam melihat kekayaan sebagai rezeki dan amanah yang perlu diperoleh melalui jalan yang halal serta digunakan dengan cara yang diredai Allah SWT.

Ketiga-tiga perspektif ini boleh menghasilkan tindakan yang berbeza.

Jika seseorang tidak sedar tentang perbezaan tersebut, dia mungkin menganggap semua pemikiran itu sama. Dia mungkin menyebut dirinya Muslim, tetapi dalam membuat keputusan ekonomi, ukuran yang digunakan sepenuhnya bersifat materialistik. Dia mungkin mempertahankan adat tertentu walaupun adat tersebut bertentangan dengan prinsip agama. Dia mungkin mengejar standard kejayaan yang sebenarnya datang daripada budaya yang berbeza daripada nilai Islam.

Kekeliruan inilah yang menyebabkan ada Melayu yang beragama Islam yang makan rasuah, menjadi scammer, amang seksual, merogol, LGBT, mencuri, menyamun dan melakukan pelbagai kemaksiatan lagi walhal ia jelas bertentangan dengan hukum hakam Islam. Melayu tapi bukan Islam kerana seorang Muslim tak akan melanggar perintah Allah SWT.

BUKAN SEMUA YANG BARAT ITU SALAH

Di sinilah kita perlu berhati-hati.

Membina kesedaran Islam tidak bermaksud membenci Barat. Islam tidak mengajar kita menolak manusia berdasarkan bangsa atau tempat asal mereka. Ilmu yang benar boleh diambil daripada mana-mana sumber.

Sains ialah ilmu pengetahuan. Teknologi ialah alat. Pengurusan ialah kaedah. Ekonomi ialah bidang ilmu. Pendidikan ialah proses. Semua itu boleh dipelajari dan dimanfaatkan.

Persoalannya ialah apakah worldview yang kita gunakan ketika memanfaatkan semua perkara tersebut?

Seorang Muslim boleh menggunakan telefon yang dicipta melalui teknologi moden untuk membaca Al-Quran. Dia boleh menggunakan media sosial untuk menyebarkan ilmu. Dia boleh menggunakan sistem pengurusan moden untuk menguruskan perniagaan yang halal. Dia boleh menggunakan ilmu kewangan untuk membina kekayaan dan pada masa yang sama membayar zakat serta bersedekah.

Maka masalahnya bukan pada alat. Masalahnya ialah apabila alat berubah menjadi tuan kepada manusia.

ISLAM SEBAGAI PEGANGAN HIDUP, BUKAN SEKADAR IDENTITI

Pada pandangan FY, inilah perkara yang paling penting untuk difahami oleh bangsa Melayu. Menjadi Melayu bukan sekadar memiliki nama Melayu. Menjadi Muslim pula bukan sekadar memiliki identiti Muslim.

Persoalan yang lebih besar ialah apakah nilai yang mengawal kehidupan kita?

Jika Islam hanya berada dalam masjid tetapi tidak berada dalam cara kita mencari duit, mengurus keluarga, menjalankan perniagaan, membuat keputusan dan melayan manusia, maka Islam belum benar-benar menjadi sistem kehidupan.

Islam perlu masuk ke dalam akal. Islam perlu masuk menjadi prinsip pegangan. Islam perlu masuk ke dalam keputusan. Islam perlu masuk ke dalam tindakan. Islam perlu masuk ke dalam kehidupan secara keseluruhan.

Apabila perkara ini berlaku, barulah seorang Melayu Muslim mempunyai satu pegangan prinsip yang jelas. Dia boleh mengambil manfaat daripada kemajuan dunia tanpa kehilangan identiti akidahnya. Dia boleh menghargai adat tanpa menyamakan adat dengan syariat. Dia boleh memanfaatkan ilmu Barat tanpa menjadikan falsafah Barat sebagai agama baharu dalam kehidupannya.

DARIPADA MELAYU KEPADA MELAYU MUSLIM

FY melihat bahawa persoalan sebenar bukanlah bagaimana untuk menjadi lebih Melayu semata-mata. Persoalan yang lebih besar ialah bagaimana seorang Melayu Muslim dapat memahami kedudukannya sebagai manusia yang diciptakan Allah SWT.

Kemelayuan ialah salah satu lapisan identiti. Kewarganegaraan ialah satu lagi lapisan. Budaya ialah satu lapisan. Profesion ialah satu lapisan. Status sosial juga merupakan satu lapisan.

Namun demikian, bagi seorang Muslim, hubungan dengan Allah SWT merupakan asas yang akan menentukan arah kehidupannya.

Atas sebab itu, kecintaan kepada bangsa tidak semestinya bertentangan dengan Islam. Mencintai bangsa, bahasa dan tanah air boleh menjadi sesuatu yang baik. Namun begitu, kecintaan tersebut perlu diletakkan pada tempatnya. Bangsa bukan Tuhan. Budaya bukan wahyu. Adat bukan sumber mutlak kebenaran.

Apabila berlaku percanggahan antara adat dengan syariat, syariat menjadi pegangan utama. Apabila berlaku percanggahan antara kepentingan material dengan prinsip halal dan haram, prinsip agama akan diutamakan. Apabila berlaku percanggahan antara kehendak ego dengan kebenaran, kebenaran mesti didahulukan.

Inilah yang dimaksudkan dengan mempunyai Minda Akhirat.

MEMBINA SISTEM AKAL YANG JELAS

Oleh yang demikian, bangsa Melayu perlu membina satu sistem akal yang mampu membezakan antara identiti, adat, ilmu, budaya, ideologi dan agama.

Tidak semua perkara perlu ditolak. Tidak semua perkara perlu diterima. Tidak semua perkara perlu dicampurkan. Kita perlu Tangkis perkara yang jelas bercanggah dengan prinsip Islam. Kita perlu Tapis ilmu dan pemikiran yang datang daripada pelbagai sumber. Kita perlu Tukar pemikiran yang kita sedari tidak lagi selari dengan kebenaran. Kita perlu Tambah ilmu pengetahuan, iman, amal dan pemikiran yang membawa manfaat.

Inilah kaitan antara bab ini dengan Sistem Akal 4T dalam bab yang akan datang.

Kekeliruan berlaku apabila manusia menerima terlalu banyak input tetapi tidak mempunyai sistem untuk menguruskannya. Sistem Akal 4T memberikan mekanisme untuk memproses input tersebut. Dengan cara ini, seorang Melayu Muslim boleh hidup dalam dunia moden tanpa kehilangan visi dan misi sebenarnya hidupnya.

MASALAH BUKAN PADA DUNIA TETAPI PADA PRINSIP PEGANGAN

Dunia akan terus berubah. Teknologi akan terus berkembang. Pemikiran manusia akan terus berubah. Budaya akan terus berubah. Ekonomi akan terus berkembang. Pelbagai ideologi akan terus muncul sepanjang zaman.

Jika kita tidak mempunyai prinsip pegangan yang jelas, kita akan berubah bersama-sama dengan semua perubahan tersebut tanpa mengetahui ke mana arah tuju kita sebenarnya.

Namun begitu, jika kita mempunyai pegangan yang kukuh, kita boleh berhadapan dengan perubahan tanpa kehilangan prinsip.

Kita boleh menggunakan teknologi tanpa menjadi hamba teknologi. Kita boleh mencari kekayaan tanpa menjadi hamba duit. Kita boleh mengejar kejayaan tanpa mengharap pujian manusia. Kita boleh mencintai bangsa tanpa menjadikan bangsa sebagai ukuran mutlak kebenaran. Kita boleh menghargai Barat tanpa menerima semua falsafahnya. Kita boleh mempertahankan budaya Melayu tanpa menganggap semua adat sebagai hukum agama. Kita boleh menjadi moden tanpa kehilangan Islam.

PENUTUP

Pada akhirnya, kekeliruan manusia bukan semestinya berpunca daripada terlalu sedikit ilmu. Kadangkala kekeliruan berlaku kerana terlalu banyak input yang masuk tanpa tapisan.

Bangsa Melayu telah melalui sejarah yang panjang. Kemelayuan terbentuk melalui pelbagai proses sejarah dan budaya, sementara Islam menjadi unsur yang sangat penting dalam pembentukan identiti Melayu di rantau ini. Pada masa yang sama, pemikiran moden dan pengaruh Barat turut membentuk institusi, pendidikan dan cara hidup masyarakat hari ini. Para sarjana sendiri menggambarkan hubungan antara identiti Melayu, Islam, nasionalisme dan modeniti sebagai sesuatu yang kompleks serta sentiasa berkembang.

Justeru itu, penyelesaiannya bukan dengan menolak semua perkara yang datang dari luar. Penyelesaiannya ialah mempunyai prinsip pegangan yang jelas.

Bagi seorang Melayu Muslim, adat boleh menjadi warisan. Bahasa boleh menjadi identiti. Ilmu boleh menjadi alat. Teknologi boleh menjadi kemudahan. Kekayaan boleh menjadi amanah. Bangsa boleh menjadi kecintaan. Tanah air boleh menjadi tempat berbakti.

Namun begitu, Allah SWT tetap menjadi Tuhan, Islam menjadi agama, Al-Quran dan Sunnah menjadi panduan, dan akhirat menjadi destinasi.

Apabila kedudukan ini jelas, kekeliruan mula hilang.

Kita tidak lagi perlu memilih antara menjadi Melayu atau menjadi Muslim.

Kita memahami bahawa identiti Melayu boleh dihargai, adat boleh dipelihara dan kemajuan dunia boleh dimanfaatkan, tetapi semuanya perlu diletakkan di bawah prinsip pegangan yang lebih tinggi.

Iaitu Prinsip Islam.

Inilah yang akan membentuk manusia yang bukan sekadar tahu siapa dirinya dari sudut bangsa, tetapi memahami untuk apa dirinya diciptakan.

Melayu memberikan identiti. Ilmu memberikan kemampuan. Dunia memberikan ruang untuk berusaha. Namun Islam memberikan arah dan tujuan. Akhirat merupakan matlamat.

Apabila identiti, ilmu dan kemajuan dunia bergerak dalam arah yang dipandu oleh Islam, seorang Melayu Muslim bukan sahaja mampu mempertahankan dirinya daripada kekeliruan pemikiran, malah mampu menjadi manusia yang memberikan manfaat kepada keluarga, bangsa, negara, Ummah dan seluruh manusia.

Itulah Minda Akhirat.

Wallahu’alam

Sekian dulu, jom kita sambung penceritaan dalam artikel yang seterusnya dalam blog ini. Semoga bermanfaat. 

Terima kasih.

 

Ikhlas,

Haji Faizal Yusup

www.mindaakhirat.com

Haji Faizal Yusup sudah menulis 12 buah buku dalam genre umum, fiksyen, motivasi, novel dan pelaburan saham Bursa Malaysia. Pernah memenangi Dana Anugerah Penulis melalui novel Bukan Maksum dan Trilogi Man Rempit pada tahun 2012 dari Kementerian Telekomunikasi dan Multimedia. Pernah dijemput untuk menjalankan seminar, bengkel dan woksyop motivasi di sekolah dan universiti. Dewasa ini menubuhkan Yayasan Minda Akhirat dan menjalankan program motivasi Minda Akhirat. Revolusi Baru Pembangunan Sahsiah Diri.

www.bicarapelaburan.com

Beliau juga merupakan seorang Top Performing Remisier di Kenanga Investment Bank Berhad. Pemenang pelbagai Anugerah Bursa Malaysia. Mantan Naib Presiden Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia dan pernah menjadi speaker dalam RoadShow InvestSmart anjuran Suruhanjaya Sekuriti. Dewasa ini beliau sering dijemput sebagai speaker dalam seminar saham From Zero to Hero yang diiktiraf Bursa Malaysia. 

Beliau boleh dihubungi di talian 0166667430.

#mindaakhirat

#faizalyusup

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TIGA IDEOLOGI PEMIKIRAN: MELAYU, BARAT DAN ISLAM

TIGA IDEOLOGI PEMIKIRAN: MELAYU, BARAT DAN ISLAM Salah satu persoalan besar yang perlu difikirkan oleh bangsa Melayu beragama islam ialah ...