Memaparkan catatan dengan label Sekular barat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sekular barat. Papar semua catatan

Selasa, 17 Mac 2026

BAB 3 - BANGSA MELAYU YANG BERMINDA DUNIA

Best Places to Visit in Saudi Arabia | Top Cities, Attractions & Travel  Guide

BAB 3

BANGSA MELAYU YANG BERMINDA DUNIA

Al-Quran

“Kehidupan dunia tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan. ”

Surah Ali ‘Imran 3:185

Apabila kita melihat keadaan masyarakat Melayu pada hari ini, satu perkara yang agak jelas dapat diperhatikan. Walaupun kebanyakan orang Melayu dilahirkan sebagai Muslim, cara mereka melihat kehidupan sebenarnya berorientasikan dunia. Kehidupan dipenuhi dengan usaha untuk mencapai kejayaan dunia seperti harta, kerjaya dan kedudukan sosial. Dalam keadaan seperti ini, akhirat sering berada di bahagian belakang dalam kehidupan.

Keadaan ini bukan berlaku kerana orang Melayu menolak Islam. Sebaliknya mereka tetap mengakui keimanan kepada Allah SWT dan percaya kepada hari akhirat. Namun dalam kehidupan seharian, cara berfikir mereka lebih banyak dipengaruhi oleh nilai dunia. Akibatnya dunia menjadi perkara yang lebih banyak memenuhi fikiran dan perhatian.

Dalam masyarakat hari ini, kejayaan sering diukur melalui pencapaian material. Inilah ideologi sekular Barat yang telah begitu lama menular dan membelenggu seorang Melayu Islam di negara ini disebabkan sistem pendidikan sekular di sekolah dan universiti yang telah lama tertanam di negara ini. Ini bukan berlaku di negara ini sahaja tetapi mana-mana negara yang pernah dijajah Barat juga begitu. Malah kebanyakan negara Arab yang berlatar belakang Islam kebelakangan ini juga begitu kerana pengaruh Barat yang meletakkan pemimpin sekular sebagai proksi mereka.

Minda dunia menganggap seseorang itu berjaya apabila memiliki kekayaan, rumah yang besar, kereta yang mewah dan kedudukan yang tinggi dalam kerjaya. Penilaian seperti ini menjadi sangat biasa dalam kehidupan masyarakat. Tanpa disedari, ukuran kejayaan dunia menjadi ukuran utama dalam kehidupan.

Pada masa yang sama, hiburan juga memainkan peranan besar dalam kehidupan masyarakat. Banyak masa digunakan untuk menonton drama, mengikuti media sosial dan menikmati pelbagai bentuk hiburan. Perkara-perkara ini menjadi sebahagian daripada rutin harian ramai orang. Konsert dan hiburan juga telah mula menular di Arab Saudi kebelakangan ini. Di Malaysia hiburan sudah menjadi kelaziman dalam kehidupan seharian. Tanpa disedari, masa amanah kurniaan Allah SWT yang sangat berharga berlalu dengan begitu sahaja.

Apabila dunia menjadi keutamaan dalam kehidupan manusia, nilai moral dan akhlak juga boleh menjadi semakin menipis. Makan rasuah, menipu, memanipulasi demi mendapatkan kekayaan dengan cepat menjadi kebiasaan. Ada yang terlibat dengan arak, dadah dan pelbagai gejala sosial yang merosakkan diri. Semua ini berlaku kerana keinginan dunia telah mengatasi kesedaran tentang akhirat.

Perkara ini bukan semata-mata masalah individu. Ia juga berkait rapat dengan cara manusia melihat kehidupan. Apabila dunia dilihat sebagai tujuan hidup yang utama, manusia akan sanggup melakukan pelbagai perkara untuk mencapainya. Dalam keadaan seperti ini, batas antara yang halal dan haram menjadi semakin kabur malah diketepikan.

Namun hakikatnya, apabila taufik dan hidayah Allah SWT benar-benar hidup dalam hati manusia, keadaan ini akan berubah. Hidayah memberi kesedaran yang kuat tentang hubungan manusia dengan Allah SWT. Ia membuatkan seseorang sentiasa ingat bahawa setiap perbuatan akan dipersoalkan di akhirat kelak. Kesedaran seperti ini menjadi benteng yang sangat kuat dalam menjalani kehidupan.

Apabila hati dipenuhi dengan kesedaran iman, seseorang akan lebih berhati-hati dalam setiap perbuatannya. Dia tidak akan mengambil rasuah, tidak terjerumus kepada arak dan tidak terlibat dengan perkara yang merosakkan dirinya. Bukan kerana dia dipaksa oleh orang lain tetapi kerana hatinya sendiri menolak perkara tersebut kerana rasa takut kepada Allah SWT. Ketakwaan kepada Allah SWT menjadi pelindung kepada dirinya.

Inilah kekuatan sebenar hidayah Allah SWT dalam kehidupan manusia. Hidayah bukan sekadar pengetahuan tentang agama tetapi kesedaran yang hidup dalam hati. Kesedaran ini memandu cara seseorang berfikir, bertindak dan membuat keputusan. Dari situlah kehidupan seseorang berubah secara menyeluruh.

Apabila seseorang mula mendapat hidayah seperti ini, dia akan melihat kehidupan dengan perspektif yang berbeza. Dunia tidak lagi kelihatan begitu besar seperti dahulu. Sebaliknya dunia dilihat sebagai sebahagian daripada perjalanan menuju Allah SWT. Dari situlah seseorang perlahan-lahan keluar daripada minda dunia menuju kepada minda akhirat.

Salah satu cara nak tahu samaada kita berminda dunia atau berminda akhirat mudah sahaja. Cuba tanya diri adakah kita melazimi zikrullah setiap hari dalam kehidupan kita? Atau adakah ingatan kita hanya kepada isu dunia, hiburan atau kita biarkan ianya kosong sahaja?

Sekian dulu…

Kongsikanlah blog ini kepada rakan dan taulan andai anda mendapat manfaat darinya. Hanya Allah SWT yang dapat membalas jasabaik tuan puan itu. Terima kasih.

Ikhlas,

Haji Faizal Yusup
0166667430
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...

www.mindaakhirat.com

PS - Sekiranya anda membaca semua perkongsian dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

MUKADDIMAH - MINDA AKHIRAT 5.0 - MATA HATI - MELIHAT KEHIDUPAN DENGAN CAHAYA ILMU

MINDA AKHIRAT 5.0 - MATA HATI Melihat Kehidupan dengan Cahaya Ilmu MUKADDIMAH ANDA MELAYU, BARAT, ISLAM? Sebagai seorang yang lahir berbangs...