Rabu, 23 September 2026

SISTEM AKAL 4T BAGI MEMBENTUK MINDA AKHIRAT

SISTEM AKAL 4T

Setiap hari manusia menerima begitu banyak input. Ada input yang datang melalui pembacaan, pendengaran, tontonan, pergaulan, media sosial, pengalaman, pekerjaan, keluarga dan persekitaran. Sebahagian daripada input tersebut membawa ilmu dan kebaikan, manakala sebahagian yang lain boleh membawa pemikiran yang salah, nilai yang bercanggah dengan agama dan prinsip kehidupan yang akhirnya merosakkan manusia. Oleh yang demikian, manusia bukan sahaja memerlukan akal untuk berfikir, tetapi memerlukan satu sistem untuk mengawal apa yang masuk ke dalam akal dan bagaimana input tersebut diproses.

Bagi FY, sistem itu boleh dibentuk melalui Sistem Akal 4T, iaitu Tangkis, Tapis, Tukar dan Tambah. Empat perkara ini merupakan satu sistem kawalan akal bagi manusia yang ingin membina Minda Akhirat. Ia bukan sekadar teori pemikiran tetapi satu disiplin kehidupan. Apabila sistem ini diamalkan secara konsisten, seseorang akan menjadi lebih berhati-hati terhadap input, lebih kritikal dalam menilai maklumat, lebih terbuka untuk membetulkan kesilapan pemikiran dan lebih bersungguh-sungguh menambah ilmu juga usaha meningkatkan iman serta amal.

TANGKIS

Tangkis ialah disiplin menjaga pintu masuk akal. Tidak semua perkara perlu kita benarkan masuk ke dalam pemikiran. Ada perkara yang sejak awal lagi jelas bercanggah dengan Al-Quran, Sunnah dan prinsip Islam. Input seperti ini perlu ditangkis. Kita tidak perlu memberikan ruang kepada sesuatu yang jelas membawa manusia kepada kebatilan, kemaksiatan, penipuan, kezaliman atau kehidupan yang bertentangan dengan tujuan penciptaan manusia.

Tangkisan ini bukan bermaksud seorang Muslim perlu menutup fikirannya daripada dunia. Sebaliknya, ia bermaksud kita mempunyai kesedaran bahawa apa yang kita lihat dan dengar boleh mempengaruhi hati dan akal. Jika seseorang setiap hari memasukkan kandungan yang melalaikan, pemikiran yang sekular, budaya yang mengagungkan maksiat atau idea yang merendahkan agama, lama-kelamaan perkara tersebut boleh kelihatan normal. Apa yang pada awalnya dianggap salah boleh menjadi satu kelaziman. Apa yang pada awalnya ditolak akhirnya diterima masuk.

Oleh yang demikian, Tangkis ialah benteng pertama. Ia merupakan keberanian untuk berkata “tidak” kepada input yang jelas tidak sepatutnya menjadi sebahagian daripada sistem pemikiran kita. Kita tidak perlu menerima sesuatu hanya kerana ramai orang menerimanya. Kita tidak perlu mempercayai sesuatu hanya kerana ia popular. Kita tidak perlu menjadikan seseorang sebagai rujukan hanya kerana dia terkenal dan berpengaruh. Seorang insan yang mempunyai Minda Akhirat mempunyai keberanian untuk mempertahankan prinsip apabila berhadapan dengan input yang bercanggah dengan kebenaran.

Tangkis juga memerlukan kita menjaga siapa yang kita jadikan sumber pengaruh. Manusia mudah terpengaruh dengan orang yang sering didengar dan dilihat. Justeru itu, memilih sumber ilmu merupakan sebahagian daripada disiplin menjaga akal. Kita perlu sentiasa bertanya, apakah nilai yang dibawa oleh sumber tersebut? Apakah prinsip yang sedang diajarkan? Ke manakah pemikiran itu membawa kita? Adakah ia mendekatkan kita kepada Allah SWT atau menjadikan dunia yang sementara ini sebagai matlamat mutlak?

TAPIS

Selepas menangkis perkara yang jelas salah, disiplin kedua dalam Sistem Akal ialah Tapis. Tidak semua input yang masuk boleh terus diterima sebagai kebenaran. Ada maklumat yang benar. Ada maklumat yang salah. Ada yang bercampur antara fakta dan pendapat. Ada yang mempunyai unsur kebenaran tetapi disampaikan bersama prinsip yang tidak selari dengan Islam. Ada pula perkara yang kita sendiri belum mempunyai ilmu yang mencukupi untuk menentukannya.

Tapis ialah disiplin berfikir.

Maklumat bukan terus menjadi ilmu. Ilmu pula bukan semuanya menjadi prinsip. Sesuatu yang kita dengar perlu dinilai sebelum dipercayai. Sesuatu yang kita baca perlu difahami sebelum diamalkan. Sesuatu pandangan perlu diperiksa sebelum dijadikan pegangan. Inilah fungsi Tapis dalam Sistem Akal 4T.

Sebagai contoh, seseorang mungkin membaca tentang kejayaan seorang tokoh perniagaan yang mengumpulkan kekayaan melalui strategi tertentu. Kita boleh mengambil ilmu pengurusan, disiplin, keberanian dan strategi yang bermanfaat daripada pengalaman tersebut. Namun begitu, kita tidak semestinya perlu menerima semua prinsip hidup tokoh itu. Jika terdapat unsur yang bercanggah dengan prinsip Islam, perkara tersebut perlu ditapis. Kita mengambil ilmu yang bermanfaat dan meninggalkan prinsip yang tidak sesuai.

Inilah pentingnya memahami bahawa Islam tidak mengajar umatnya menjadi anti ilmu. Sebaliknya, seorang Muslim perlu menjadi manusia yang mampu memproses ilmu dengan neraca yang betul. Kita boleh belajar daripada pelbagai sumber, tetapi Al-Quran dan Sunnah menjadi panduan dalam menentukan prinsip kehidupan. Tapis bermaksud kita tidak menelan segala-galanya secara bulat-bulat.

TUKAR

Selepas menapis, kita sampai kepada disiplin ketiga iaitu Tukar. Inilah bahagian yang sering menjadi paling sukar kerana manusia mempunyai ego dan kecenderungan untuk mempertahankan apa yang sudah lama dipercayainya.

Tukar bermaksud kesediaan untuk meninggalkan pemikiran yang salah dan menggantikannya dengan pemikiran yang lebih benar.

Kadangkala kita sudah mengetahui bahawa sesuatu prinsip itu salah tetapi kita masih berpegang kepadanya kerana ia telah lama berada bertapak dalam diri kita. Kita mungkin telah membesar dengan pemikiran tersebut. Kita mungkin telah diajar mengenainya. Kita mungkin pernah menggunakannya untuk membuat keputusan. Malah, mungkin kita pernah mempertahankannya di hadapan orang lain. Apabila kita menemui kebenaran yang menunjukkan bahawa pemikiran tersebut perlu diperbetulkan, ego yang ada dalam diri boleh menyebabkan kita sukar berubah.

Di sinilah Tukar menjadi penting.

Seorang yang mempunyai Minda Akhirat tidak terlalu sayang kepada pemikiran lamanya sehingga sanggup mempertahankan kesalahan. Apabila kebenaran datang, dia bersedia mengubah pandangan. Apabila ilmu baharu menunjukkan kesilapan, dia bersedia memperbetulkannya. Apabila dia menyedari bahawa sesuatu prinsip kehidupannya tidak selari dengan Islam, dia bersedia meninggalkannya.

Tukar sebenarnya ialah disiplin merendahkan ego di hadapan kebenaran.

Kita mungkin dahulu beranggapan bahawa kejayaan hanya bermaksud mempunyai banyak duit dan harta. Selepas memahami Islam, kita akan mengubah definisi tersebut. Kejayaan bukan sekadar memiliki tetapi juga memberi manfaat. Kita mungkin dahulu menganggap masa lapang sebagai peluang untuk hiburan semata-mata. Selepas mempunyai Minda Akhirat, kita mula melihat masa sebagai amanah. Kita mungkin dahulu menganggap kekayaan sebagai hak mutlak diri sendiri. Selepas memahami konsep amanah, kita akan dapat melihat bahawasanya kekayaan sebagai sesuatu yang akan dipersoalkan oleh Allah SWT.

Inilah Tukar.

Bukan sekadar menukar pendapat tetapi menukar paradigma kehidupan.

TAMBAH

Selepas menangkis, menapis dan menukar, kita sampai kepada T yang keempat iaitu Tambah.

Tangkis menjaga apa yang tidak patut masuk.

Tapis menentukan apa yang patut diterima.

Tukar membetulkan apa yang perlu diperbaiki.

T​​ambah pula memastikan akal dan hati terus berkembang.

 

Manusia tidak boleh hanya hidup dengan membuang perkara yang salah. Kita juga perlu memasukkan perkara yang benar. Jika kita membuang pemikiran negatif tetapi tidak menggantikannya dengan ilmu yang benar, ruang kosong itu mungkin akan diisi semula dengan input yang sama. Oleh yang demikian, disiplin Tambah ini sangat penting.

Kita perlu menambah ilmu. Menambah kefahaman. Menambah pengalaman. Menambah amal. Menambah zikrullah. Menambah hubungan dengan Al-Quran. Menambah pengetahuan tentang Sunnah. Menambah disiplin. Menambah manfaat kepada manusia. Menambah kesedaran tentang akhirat.

Inilah proses pertumbuhan dan perkembangan seseorang manusia.

Seseorang yang berhenti menambah ilmu akan mudah menjadi ketinggalan. Seseorang yang berhenti menambah amal akan mudah menjadi lemah. Seseorang yang berhenti memperbaiki diri akan mudah kembali kepada tabiat lama. Oleh yang demikian, Tambah perlu menjadi proses yang berterusan sepanjang hayat.

FY melihat bahawa manusia yang ingin membina Minda Akhirat perlu mempunyai rutin untuk menambah input yang baik. Membaca Al-Quran, mempelajari ilmu agama, membaca buku yang bermanfaat, menghadiri majlis ilmu, mendengar kuliah, berdiskusi dengan orang berilmu, mempelajari pengalaman manusia lain dan melakukan muhasabah semuanya boleh menjadi sebahagian daripada proses Tambah.

Namun begitu, Tambah bukan sekadar menambah pengetahuan. Ilmu yang tidak diterjemahkan kepada amal belum mencapai tujuan akhirnya. Kita perlu menambah amal berdasarkan ilmu yang dipelajari. Kita perlu menambah manfaat berdasarkan kemampuan yang dimiliki. Kita perlu menambah kualiti diri supaya setiap tahun kita menjadi manusia yang lebih baik daripada tahun sebelumnya.

4T SEBAGAI SATU SISTEM

4T ini tidak boleh dilihat secara berasingan. Ia merupakan satu sistem yang saling melengkapi.

Jika hanya Tangkis tanpa Tapis, seseorang mungkin menjadi terlalu tertutup dan menolak perkara yang sebenarnya bermanfaat. Jika hanya Tapis tanpa Tukar, seseorang mungkin mengetahui ia satu kesalahan tetapi terus berpegang kepadanya. Jika hanya Tukar tanpa Tambah, seseorang mungkin meninggalkan prinsip lama tetapi tidak mempunyai ilmu yang mencukupi untuk membina prinsip baharu. Jika hanya Tambah tanpa Tangkis dan Tapis, seseorang mungkin mengumpulkan terlalu banyak maklumat sehingga fikirannya semakin bercampur aduk antara input Islam dan yang sekular.

Oleh yang demikian, 4T perlu bergerak bersama.

TANGKIS kebatilan.

TAPIS maklumat yang tak benar.

TUKAR pemikiran yang salah yang telah sedia ada dan

TAMBAH kebenaran, ilmu, pengetahuan, iman dan amal.

 

Sekiranya empat disiplin ini berlaku secara berterusan, sistem akal seseorang akan berubah. Kita tidak lagi menjadi manusia yang menerima segala-galanya secara pasif tanpa disedarinya. InsyaAllah kita akan menjadi manusia yang sedar bahawa setiap input mempunyai potensi untuk membentuk diri ke arah yang jauh lebih baik.

DARIPADA INPUT KEPADA KEHIDUPAN

FY melihat satu rangkaian yang sangat penting dalam konsep ini.

Input 4T Pemikiran Prinsip Keputusan Tindakan Kebiasaan Kehidupan.

Input yang masuk akan diproses melalui Sistem Akal 4T. Hasilnya membentuk pemikiran. Pemikiran membentuk prinsip. Prinsip mempengaruhi keputusan. Keputusan menghasilkan tindakan. Tindakan yang diulang menjadi kebiasaan. Kebiasaan akhirnya membentuk kehidupan secara keseluruhan.

Sekali lagi sebab itulah kita perlu berhati-hati dengan setiap input.

Apa yang kelihatan kecil pada hari ini mungkin menjadi prinsip diri pada masa hadapan. Apa yang hanya kita tonton beberapa minit mungkin menjadi sesuatu yang kita anggap normal selepas bertahun-tahun. Apa yang pada awalnya hanya satu idea mungkin akhirnya menjadi kepercayaan. Apa yang menjadi kepercayaan akhirnya boleh menentukan keputusan besar dalam kehidupan.

Inilah sebabnya Minda Akhirat bermula daripada akal.

Kita perlu menjaga pintu masuk akal fikiran sebelum kita cuba memperbaiki kehidupan. Kita perlu memperbaiki pemikiran sebelum kita boleh melakukan perubahan tindakan. Kita perlu memperbetulkan prinsip sebelum kita dapat membuat keputusan yang benar. InsyaAllah.

SISTEM AKAL 4T DAN MINDA AKHIRAT

Minda Akhirat bukan sekadar mengingati mati. Minda Akhirat ialah cara melihat kehidupan berdasarkan kesedaran bahawa kehidupan dunia mempunyai kesinambungan kepada kehidupan akhirat.

Apabila seseorang mempunyai kesedaran ini, sistem akalnya juga berubah.

Dia menangkis perkara yang boleh menjauhkan dirinya daripada Allah SWT. Dia menapis setiap input sebelum menjadikannya prinsip pegangan. Dia menukar pemikiran sekular duniawi yang bercanggah dengan kebenaran kepada pemikiran yang lebih selari dengan Islam. Dia menambah ilmu pengetahuan, iman, amal dan manfaat supaya kehidupannya semakin dekat kepada tujuan penciptaannya.

Akhirnya, 4T bukan sekadar sistem untuk menjadi manusia yang lebih bijak. Ia ialah sistem untuk menjadi manusia yang lebih sedar tentang tujuan kehidupan. Kemana arah tujunya.

Insan yang bijak mungkin tahu bagaimana mendapatkan lebih banyak duit. Insan yang berminda akhirat akan bertanya bagaimana duit itu diperoleh, ke mana ia dibelanjakan dan apakah manfaatnya. Insan yang bijak akan tahu rahsia bagaimana untuk mencapai kejayaan. Insan yang dikurniakan dengan Minda Akhirat akan bertanya apakah kejayaan itu akan membawa dirinya lebih dekat kepada Allah SWT. Insan yang bijak akan tahu bagaimana untuk membina pengaruh. Insan yang berminda Akhirat akan bertanya bagaimanakah pengaruh akan digunakan untuk membawa manfaat atau sebaliknya.

Di situlah letaknya perbezaan antara sekadar mempunyai akal dengan menggunakan akal sebagai amanah daripada Allah SWT.

PENUTUP

Kesimpulannya setiap manusia perlu bertanya kepada dirinya sendiri: Apakah yang selama ini telah masuk ke dalam akal fikiranku? Apakah yang telah aku terima tanpa tapisan? Apakah pemikiran lama yang perlu aku tukar? Apakah ilmu pengetuan, iman dan amal yang perlu aku baiki atau tambah?

Empat soalan ini boleh menjadi titik permulaan kepada perubahan kehidupan.

Apa yang perlu aku Tangkis? Apa yang perlu aku Tapis? Apa yang perlu aku Tukar dan apa yang perlu aku Tambah?

Apabila soalan-soalan ini mula menjadi sebahagian daripada muhasabah harian, kita sebenarnya sedang membina satu sistem pertahanan untuk akal dan hati. Kita sedang memilih input dengan lebih berhati-hati, menilai ilmu dengan lebih matang, meninggalkan pemikiran yang salah dan mengisi kehidupan dengan perkara yang lebih bermanfaat.

Inilah Sistem Akal 4T.

Tangkis kebatilan.

Tapis maklumat.

Tukar pemikiran.

Tambah kebenaran.

Apabila akal berubah, pemikiran berubah. Apabila pemikiran berubah, prinsip berubah. Apabila prinsip berubah, tindakan berubah dan apabila tindakan berubah, InsyaAllah kehidupan juga akan berubah.

Apabila kehidupan berubah kerana Allah SWT, kita bukan sekadar sedang membina kehidupan dunia tetapi hakikatnya kita sedang mempersiapkan diri bagi meneruskan perjalanan menuju kehidupan akhirat.

Itulah hakikat sebenar Sistem Akal 4T dalam membina insan yang berminda akhirat. InsyaAllah.

Wallahu’alam

Sekian dulu, jom kita sambung penceritaan dalam artikel yang seterusnya dalam blog ini. Semoga bermanfaat. 

Terima kasih.

 

Ikhlas,

Haji Faizal Yusup

www.mindaakhirat.com

Haji Faizal Yusup sudah menulis 12 buah buku dalam genre umum, fiksyen, motivasi, novel dan pelaburan saham Bursa Malaysia. Pernah memenangi Dana Anugerah Penulis melalui novel Bukan Maksum dan Trilogi Man Rempit pada tahun 2012 dari Kementerian Telekomunikasi dan Multimedia. Pernah dijemput untuk menjalankan seminar, bengkel dan woksyop motivasi di sekolah dan universiti. Dewasa ini menubuhkan Yayasan Minda Akhirat dan menjalankan program motivasi Minda Akhirat. Revolusi Baru Pembangunan Sahsiah Diri.

www.bicarapelaburan.com

Beliau juga merupakan seorang Top Performing Remisier di Kenanga Investment Bank Berhad. Pemenang pelbagai Anugerah Bursa Malaysia. Mantan Naib Presiden Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia dan pernah menjadi speaker dalam RoadShow InvestSmart anjuran Suruhanjaya Sekuriti. Dewasa ini beliau sering dijemput sebagai speaker dalam seminar saham From Zero to Hero yang diiktiraf Bursa Malaysia. 

Beliau boleh dihubungi di talian 0166667430.

#mindaakhirat

#faizalyusup 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SISTEM OPERASI AKAL DAN MINDA AKHIRAT

SISTEM OPERASI AKAL DAN MINDA AKHIRAT Setiap manusia mempunyai akal untuk berfikir, hati untuk merasa dan kehidupan untuk membuat pilihan....