BAB 3
BANGSA MELAYU YANG BERMINDA DUNIA
“Kehidupan dunia
tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan. ”
Surah Ali ‘Imran
3:185
Apabila kita melihat keadaan masyarakat Melayu pada hari ini,
satu perkara yang agak jelas dapat diperhatikan. Walaupun kebanyakan orang
Melayu dilahirkan sebagai Muslim, cara mereka melihat kehidupan sebenarnya berorientasikan dunia. Kehidupan dipenuhi dengan usaha untuk mencapai
kejayaan dunia seperti harta, kerjaya dan kedudukan sosial. Dalam keadaan
seperti ini, akhirat sering berada di bahagian belakang dalam kehidupan.
Keadaan ini bukan berlaku kerana orang Melayu menolak Islam. Sebaliknya
mereka tetap mengakui keimanan kepada Allah SWT dan percaya kepada hari akhirat.
Namun dalam kehidupan seharian, cara berfikir mereka lebih banyak dipengaruhi
oleh nilai dunia. Akibatnya dunia menjadi perkara yang lebih banyak memenuhi
fikiran dan perhatian.
Dalam masyarakat hari ini, kejayaan sering diukur melalui pencapaian material. Inilah ideologi sekular Barat yang telah begitu lama menular dan membelenggu seorang Melayu Islam di negara ini disebabkan sistem pendidikan sekular di sekolah dan universiti yang telah lama tertanam di negara ini. Ini bukan berlaku di negara ini sahaja tetapi mana-mana negara yang pernah dijajah Barat juga begitu. Malah kebanyakan negara Arab yang berlatar belakang Islam kebelakangan ini juga begitu kerana pengaruh Barat yang meletakkan pemimpin sekular sebagai proksi mereka.
Minda dunia menganggap seseorang itu berjaya apabila memiliki kekayaan, rumah yang besar, kereta yang mewah dan kedudukan yang tinggi dalam kerjaya. Penilaian seperti ini menjadi sangat biasa dalam kehidupan masyarakat. Tanpa disedari, ukuran kejayaan dunia menjadi ukuran utama dalam kehidupan.
Pada masa yang sama, hiburan juga memainkan peranan besar
dalam kehidupan masyarakat. Banyak masa digunakan untuk menonton drama,
mengikuti media sosial dan menikmati pelbagai bentuk hiburan. Perkara-perkara
ini menjadi sebahagian daripada rutin harian ramai orang. Konsert dan hiburan juga telah mula menular di Arab Saudi kebelakangan ini. Di Malaysia hiburan sudah menjadi kelaziman dalam kehidupan seharian. Tanpa disedari, masa amanah
kurniaan Allah SWT yang sangat berharga berlalu dengan begitu sahaja.
Apabila dunia menjadi keutamaan dalam kehidupan manusia,
nilai moral dan akhlak juga boleh menjadi semakin menipis. Makan rasuah,
menipu, memanipulasi demi mendapatkan kekayaan dengan cepat menjadi kebiasaan. Ada yang terlibat
dengan arak, dadah dan pelbagai gejala sosial yang merosakkan diri. Semua ini
berlaku kerana keinginan dunia telah mengatasi kesedaran tentang akhirat.
Perkara ini bukan semata-mata masalah individu. Ia juga
berkait rapat dengan cara manusia melihat kehidupan. Apabila dunia dilihat
sebagai tujuan hidup yang utama, manusia akan sanggup melakukan pelbagai
perkara untuk mencapainya. Dalam keadaan seperti ini, batas antara yang halal
dan haram menjadi semakin kabur malah diketepikan.
Namun hakikatnya, apabila taufik dan hidayah Allah SWT
benar-benar hidup dalam hati manusia, keadaan ini akan berubah. Hidayah memberi
kesedaran yang kuat tentang hubungan manusia dengan Allah SWT. Ia membuatkan
seseorang sentiasa ingat bahawa setiap perbuatan akan dipersoalkan di akhirat
kelak. Kesedaran seperti ini menjadi benteng yang sangat kuat dalam menjalani kehidupan.
Apabila hati dipenuhi dengan kesedaran iman, seseorang akan
lebih berhati-hati dalam setiap perbuatannya. Dia tidak akan mengambil rasuah,
tidak terjerumus kepada arak dan tidak terlibat dengan perkara yang
merosakkan dirinya. Bukan kerana dia dipaksa oleh orang lain tetapi kerana
hatinya sendiri menolak perkara tersebut kerana rasa takut kepada Allah SWT. Ketakwaan kepada Allah SWT menjadi pelindung kepada
dirinya.
Inilah kekuatan sebenar hidayah Allah SWT dalam kehidupan
manusia. Hidayah bukan sekadar pengetahuan tentang agama tetapi kesedaran yang
hidup dalam hati. Kesedaran ini memandu cara seseorang berfikir, bertindak dan
membuat keputusan. Dari situlah kehidupan seseorang berubah secara menyeluruh.
Apabila seseorang mula mendapat hidayah seperti ini, dia akan
melihat kehidupan dengan perspektif yang berbeza. Dunia tidak lagi kelihatan
begitu besar seperti dahulu. Sebaliknya dunia dilihat sebagai sebahagian
daripada perjalanan menuju Allah SWT. Dari situlah seseorang perlahan-lahan
keluar daripada minda dunia menuju kepada minda akhirat.
Salah satu cara nak tahu samaada kita berminda dunia atau berminda akhirat mudah sahaja. Cuba tanya diri adakah kita melazimi zikrullah setiap hari dalam kehidupan kita? Atau adakah ingatan kita hanya kepada isu dunia, hiburan atau kita biarkan ianya kosong sahaja?
Sekian dulu…
0166667430
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...