BAB
10
APABILA
DUIT MENJADI MATLAMAT HIDUP
“Kehidupan dunia
tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan. ”
Surah Ali ‘Imran
3:185
Dalam kehidupan
masyarakat hari ini, saya sering melihat satu perkara yang sangat jelas. Ramai
manusia mengejar duit dengan bersungguh-sungguh. Seolah-olah seluruh kehidupan
mereka berputar di sekitar usaha untuk mendapatkan lebih banyak duit. Dalam
keadaan seperti ini, duit perlahan-lahan menjadi paksi kehidupan manusia.
Sebenarnya mencari
rezeki bukanlah satu perkara yang salah. Islam sendiri mengajar umatnya supaya
berusaha mencari rezeki yang halal. Bekerja dan mencari nafkah adalah satu
tanggungjawab dalam kehidupan. Malah usaha mencari rezeki juga boleh menjadi
satu bentuk ibadah jika dilakukan dengan niat yang betul.
Namun masalah mula
timbul apabila duit berubah daripada alat kepada matlamat hidup. Pada ketika
itu manusia tidak lagi melihat duit sebagai keperluan kehidupan. Sebaliknya
duit menjadi ukuran utama kejayaan hidup. Semakin banyak duit yang dimiliki,
semakin dia dianggap sebagai seorang yang berjaya.
Apabila duit
menjadi matlamat hidup, banyak perkara lain mula diketepikan. Prinsip hidup
perlahan-lahan dilonggarkan demi keuntungan dunia. Normalisasi dosa akan
berlaku. Matlamat menghalalkan cara. Kejujuran dan amanah tidak lagi dijaga
dengan sebaiknya. Dalam keadaan seperti ini, manusia mudah terjerumus kepada
perbuatan yang salah.
Tidak hairanlah
jika kita melihat pelbagai gejala berlaku dalam masyarakat dewasa ini. Ada yang
sanggup menipu dalam urusan perniagaan. Ada yang mengambil hak orang lain tanpa
rasa bersalah. Ada juga yang terlibat dengan rasuah, penipuan dan perjudian
semata-mata untuk mendapatkan keuntungan.
Ironinya,
perkara-perkara seperti ini kadang-kadang dilakukan oleh orang yang masih
mengaku dirinya sebagai Muslim. Mereka tahu bahawa perbuatan tersebut salah di
sisi agama. Namun apabila keinginan kepada dunia menjadi terlalu kuat,
pengetahuan itu tidak lagi mampu menghalang mereka. Dari sinilah kita dapat
melihat bagaimana dunia boleh menguasai hati manusia.
Apabila seseorang
hidup dengan cara berfikir seperti ini, kehidupannya akan sentiasa dipenuhi
dengan tekanan. Dia sentiasa merasa perlu mendapatkan lebih banyak daripada apa
yang dimilikinya. Kejayaan orang lain juga sering dilihat sebagai satu
persaingan. Hatinya jarang sekali merasa cukup dengan apa yang ada.
Dari segi pengendalian pula, mereka menjadi sangat kedekut
walaupun memiliki harta yang mencukupi. Mereka terlalu sayang untuk
membelanjakannya pada perkara yang baik seperti membantu orang lain atau
bersedekah. Duit seolah-olah menjadi sesuatu yang terlalu berharga untuk
dilepaskan. Sedangkan dalam Islam, duit yang tidak digunakan pada jalan
kebaikan tidak membawa manfaat kepada pemiliknya.
Ada juga manusia yang suka meminta-minta walaupun sebenarnya
mampu berusaha sendiri. Mereka lebih selesa bergantung kepada bantuan orang
lain daripada mencari rezeki dengan usaha sendiri. Sikap seperti ini tidak
selari dengan ajaran Islam yang menggalakkan seseorang bekerja dan menjaga
maruah dirinya. Seorang Muslim sepatutnya berusaha dengan cara yang halal.
Selain itu terdapat juga manusia yang tidak mengambil berat
tentang tanggungjawab apabila berhutang. Mereka meminjam wang daripada orang
lain tetapi tidak membayarnya kembali. Hutang dianggap perkara kecil sedangkan
ia merupakan amanah yang sangat berat dalam Islam. Sikap seperti ini hakikatnya
membawa kepada kezaliman terhadap orang lain.
Pada masa yang samaada pula manusia yang membelanjakan harta
mereka pada perkara yang tidak memberi manfaat kepada kehidupan akhirat. Sebahagian
harta digunakan untuk hiburan dan kemaksiatan yang melalaikan. Ia dibelanjakan
pada perkara yang makruh dan haram. Harta yang sepatutnya menjadi amanah
akhirnya menjadi sebab kepada kerosakan dalam kehidupan.
Namun apabila
seseorang melihat kehidupan melalui minda akhirat, cara dia melihat duit akan
berubah. Duit tidak lagi menjadi tujuan hidupnya. Sebaliknya duit dilihat
sebagai amanah yang perlu diuruskan dengan baik. Rezeki digunakan sebagai alat
untuk melakukan kebaikan dan membantu orang lain.
Apabila seseorang
memahami perkara ini, kehidupannya akan menjadi lebih seimbang. Dia tetap
bekerja dan mencari rezeki seperti manusia lain. Namun hatinya tidak lagi
terikat kepada dunia. Dari situlah seseorang mula melangkah keluar daripada
minda dunia menuju kepada minda akhirat.
Rasulullah SAW
bersabda:
“Bukanlah kekayaan
itu dengan banyaknya hartatetapi kekayaan yang sebenar ialah kekayaan jiwa. ”
Riwayat al-Bukhari
dan Muslim
No comments:
Post a Comment