BAB 7
PENCARIAN HIDAYAH TIDAK BERLAKU
Dalam kehidupan manusia, pencarian biasanya bermula apabila
seseorang merasakan bahawa dia belum memiliki sesuatu. Apabila seseorang sedar
bahawa ada perkara yang perlu dicari, dia akan berusaha untuk mendapatkannya. Namun
keadaan menjadi berbeza apabila seseorang merasakan bahawa dia sudah memiliki
perkara tersebut. Dalam keadaan seperti ini, dorongan untuk mencari akan
menjadi sangat lemah malah tiada. Analoginya umpama orang yang belum ada rumah
akan berusaha mencari pendapatan untuk membeli rumah tapi orang yang dah ada
rumah mungkin tak lagi mencari rumah kerana merasakan tak ada keperluan untuk
berbuat demikian.
Perkara yang sama juga boleh berlaku dalam kehidupan beragama.
Apabila seseorang merasakan bahawa dia sudah ada hidayah kerana dilahirkan
Islam atau merasakan diri telah mempunyai iman yang mencukupi, dia tidak lagi
merasa ada keperluan untuk mencari kefahaman yang lebih mendalam. Dia yakin
bahawa dirinya sudah berada dalam keadaan yang baik. Keyakinan ini membuatkan
dia berhenti atau langsung tidak mencari.
Ada juga yang merasakan bahawa kerana mereka telah dilahirkan
sebagai Muslim, maka mereka sudah pun mempunyai hidayah. Mereka percaya bahawa
kedudukan mereka dalam agama sudah mencukupi. Oleh sebab itu mereka tidak
merasa keperluan untuk mendalami agama dengan lebih serius. Kehidupan berjalan
seperti biasa tanpa persoalan.
Apabila seseorang merasakan bahawa dirinya sudah cukup
beragama, dorongan untuk menuntut ilmu yang menyedarkan hati akan menjadi
semakin lemah. Ilmu agama mungkin masih dipelajari secara umumtetapi pencarian
yang benar-benar mendalam jarang berlaku. Hati tidak merasa keperluan untuk
berubah. Dari situlah kehidupan berjalan dalam arah yang sama seperti
sebelumnya.
Keadaan ini sebenarnya sangat halus dalam kehidupan manusia. Seseorang
mungkin tidak menyedari bahawa dia telah berhenti daripada mencari. Dia
merasakan bahawa apa yang dimilikinya sudah mencukupi. Tanpa disedari, dia
terus hidup dalam keadaan yang sama selama bertahun-tahun.
Apabila pencarian tidak berlaku, kesedaran dalam hati juga
sukar untuk berkembang. Ilmu yang benar-benar menyentuh hati jarang sekali
ditemui. Kehidupan terus dipenuhi dengan rutin harian dan urusan dunia. Dari
situlah seseorang perlahan-lahan berada dalam apa yang boleh dipanggil sebagai
zon selesa.
Zon selesa ini membuatkan seseorang merasa bahawa
kehidupannya sudah berada dalam keadaan yang baik. Dia tidak merasakan bahawa
ada sesuatu yang perlu diubah dalam dirinya. Dunia terus menjadi perkara yang
paling banyak memenuhi fikirannya. Akhirat pula jarang sekali menjadi paksi
renungan dalam kehidupan.
Apabila seseorang mula terbuka mata hatinya dan menyedari keadaan ini, barulah pencarian sebenar boleh bermula. Dia mula memahami bahawa iman perlu sentiasa diperkukuhkan. Dia juga mula menyedari bahawa hidayah perlu sentiasa dipelihara. Dari sinilah seseorang mula keluar daripada zon selesa minda dunia menuju kepada minda akhirat.
No comments:
Post a Comment