Isnin, 30 Mac 2026

BAB 2 - KITA TAK TAHU YANG KITA TAK TAHU

MINDA AKHIRAT 5.0 - MATA HATI

Melihat Kehidupan dengan Cahaya Ilmu

BAB 2

 Maka Maha Tinggi Allah Raja Yang sebenar-benarnya, dan janganlah kamu tergesa-gesa membaca Al qur’an sebelum disempurnakan mewahyukannya kepadamu, dan katakanlah: “Ya Tuhanku, tambahkanlah kepadaku ilmu pengetahuan”.

(Qs. Thaha [2]: 112)

 

Sebagai permulaan dalam aspek pencarian ilmu biar saya huraikan mengikut susunan berikut ini;

 

Kita Tak Tahu Yang Kita Tak Tahu

Kita Tak Tahu Yang Kita Tahu

Kita Tahu Yang Kita Tak Tahu

Kita Tahu Yang Kita Tahu

 

KITA TAK TAHU YANG KITA TAK TAHU

Dalam perjalanan mencari ilmu pengetahuan, manusia bermula dari satu keadaan yang paling asas, iaitu tidak tahu dan pada masa yang sama, tidak sedar bahawa diri tidak tahu. Beginilah permulaan kehidupan sejak kita lahir. Tiada bayi yang lahir yang terus pandai berkata-kata. Kita membesar dan belajar dari satu perkara kepada ke satu perkara yang lain. Setiap orang mengumpul ilmu pengetahuan yang berbeza menjelang dewasa.

Bila dewasa setelah bekerja dan berumahtangga seseorang hidup seperti biasa, berfikir seperti biasa, membuat keputusan seperti biasa, tanpa pernah merasakan bahawa ada kekurangan dalam pengetahuannya. Kadang-kadang pencarian ilmu pengetahuannya secara berstruktur dan sistematik selepas SPM. Ia terhenti setakat itu.

Pada tahap ini, tiada dorongan untuk mencari ilmu kerana tiada kesedaran tentang keperluan tersebut. Seseorang tidak akan mencari sesuatu yang dia tidak tahu bahawa ia wujud. Dunia yang dilihat terasa lengkap, cara berfikir dirasakan betul dan pandangan sendiri dianggap mencukupi. Kehidupan berjalan tanpa persoalan yang mendalam.

Sebagai contoh, seorang yang bekerja bertahun-tahun mungkin merasakan dirinya sudah cukup memahami tentang kewangan. Dia menyimpan sedikit, berbelanja seperti biasa dan merasakan semuanya terkawal. Namun demikian, dia tidak pernah tahu bahawa wujudnya ilmu seperti pengurusan aset, pelaburan yang patuh syariah atau strategi membina kekayaan jangka panjang. Bukan kerana dia menolak tetapi kerana dia langsung tidak tahu bahawa ilmu itu ada untuk dipelajari.

Contoh lain, dalam dunia kesihatan, ramai yang merasakan diri sihat hanya kerana tidak sakit. Mereka makan seperti biasa, kurang bersenam dan menganggap itu perkara normal. Hakikatnya, mereka tidak tahu tentang ilmu pemakanan sebenar, tentang kesan jangka panjang gaya hidup atau tentang bagaimana tubuh sebenarnya berfungsi. Mereka bukan sengaja mengabaikan tetapi kerana mereka tidak sedar bahawa ada perkara yang mereka tidak tahu.

Titik yang paling halus ialah dalam soal hidayah. Bukan semua orang yang tidak tahu itu menolak tetapi ramai yang tidak tahu kerana belum sampai kepadanya cahaya kefahaman. Hidayah itu bukan sekadar ilmu tetapi satu bukaan hati untuk melihat apa yang selama ini tidak dilihat. Ramai yang menyangka yang dia dah punya hidayah sedangkan hakikatnya dia sendiri tak tahu apa itu hidayah dan bagaimana bentuknya bagi seseorang yang sudah mendapat hidayah.

Namun demikian, inilah tahap yang paling berbahaya dalam pencarian ilmu. Bukan kerana tidak tahu tetapi kerana tidak sedar bahawa diri itu tidak tahu. Kejahilan yang disedari masih boleh diperbaiki tetapi kejahilan yang tidak disedari akan terus kekal tanpa sebarang perubahan.

Dalam keadaan ini, seseorang cenderung untuk menolak perkara baru, bukan kerana dia menilai dan tidak bersetuju tetapi kerana dia tidak melihat keperluan untuk menilai pun. Sebagai contoh, apabila diperkenalkan dengan konsep baru seperti pelaburan saham atau perancangan kewangan, dia mungkin berkata,

“Tak perlu semua itu, aku dah ok. ” Sedangkan hakikatnya, dia tidak pernah benar-benar memahami perkara tersebut.

Lebih halus lagi, tahap ini sering disertai dengan rasa selesa. Berada dalam comfort zone. Tiada tekanan untuk belajar, tiada beban untuk memahami dan tiada keinginan untuk berubah. Kehidupan terasa mudah kerana tidak banyak perkara yang difikirkan secara mendalam. Namun keselesaan ini sebenarnya adalah satu ilusi yang menutup pintu kepada perkembangan ilmu.

Dalam dunia hari ini, keadaan ini boleh menjadi lebih parah apabila seseorang hanya berada dalam lingkungan yang sama - membaca perkara yang sama, mendengar pandangan yang sama dan bergaul dengan kelompok yang sama. Contohnya, seseorang yang hanya mendapatkan maklumat daripada media sosial yang sama akan terus melihat dunia dari sudut yang sempit, tanpa pernah menyedari bahawa ada perspektif lain yang lebih luas.

Hakikatnya, pada tahap ini, seseorang bukan berada di penghujung ilmu tetapi masih di titik permulaan yang belum disedari. Dia belum benar-benar masuk ke dalam perjalanan ilmu, kerana langkah pertama dalam pencarian ilmu ialah kesedaran bahawa masih banyak yang tidak diketahui.

Akhirnya, perubahan hanya akan berlaku apabila datang satu detik yang menggoncang keselesaan tersebut. Mungkin apabila kewangan mula bermasalah, barulah dia sedar selama ini dia tidak faham tentang duit. Mungkin apabila kesihatan mula merosot, barulah dia sedar selama ini dia tidak tahu menjaga badan. Pada saat itu, barulah muncul satu kesedaran yang sangat penting - bahawa selama ini, dia tidak tahu dan dia juga tidak sedar bahawa dia tidak tahu.

Tak mengapalah. Dalam perkongsian Minda Akhirat ini kami cuba untuk menyampaikan ilmu-ilmu berkenaan pencarian ilmu dan hidayah setakat yang kami tahu dengan harapan ia dapat membuka minda dan hati agar anda dapat meningkatkan ilmu dan pengetahuan dalam aspek ini. Anda cuma perlu membaca perkongsian-perkongsian yang ada di sini. 

Sekian dulu…

Kongsikanlah blog ini kepada rakan dan taulan andai anda mendapat manfaat darinya. Hanya Allah SWT yang dapat membalas jasabaik tuan puan itu. Terima kasih.

Ikhlas,

Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...

www.mindaakhirat.com

PS - Sekiranya anda membaca semua perkongsian dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

#mindaakhirat
#hjfaizalyusup

#revolusibarupembangunandiri   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

MUKADDIMAH - MINDA AKHIRAT 5.0 - MATA HATI - MELIHAT KEHIDUPAN DENGAN CAHAYA ILMU

MINDA AKHIRAT 5.0 - MATA HATI Melihat Kehidupan dengan Cahaya Ilmu MUKADDIMAH ANDA MELAYU, BARAT, ISLAM? Sebagai seorang yang lahir berbangs...