MINDA AKHIRAT 5.0 - MATA HATI
Melihat Kehidupan dengan Cahaya Ilmu
BAB 15
MATA
KASAR, MATA AKAL DAN MATA HATI
Dalam kehidupan ini,
cara manusia melihat sesuatu menentukan bagaimana dia memahami dan membuat
keputusan. Orang yang berminda dunia biasanya melihat dengan dua jenis
pandangan sahaja - mata kasar dan mata akal. Mata kasar melihat apa yang zahir,
apa yang nampak di depan mata. Mata akal pula mentafsir berdasarkan logik, pengalaman
dan maklumat yang ada. Gabungan kedua-dua ini menjadikan seseorang mampu
berfungsi dalam dunia, membuat keputusan dan menilai sesuatu secara rasional.
Namun demikian, pandangan
ini masih terhad. Apa yang kelihatan tidak semestinya benar dan apa yang logik
tidak semestinya tepat. Ramai orang tertipu bukan kerana mereka tidak melihat
tetapi kerana mereka hanya melihat pada lapisan luaran. Mereka menilai
berdasarkan apa yang cepat difahami, bukan apa yang benar-benar berlaku di
sebalik sesuatu perkara.
Dengan dua mata ini,
manusia mampu hidup, bekerja dan membuat keputusan dalam dunia. Mereka nampak
peluang, nampak risiko dan nampak apa yang boleh memberi keuntungan. Namun
demikian, pandangan ini masih terhad kepada apa yang bersifat dunia semata-mata.
Berbeza dengan
insan yang berminda akhirat. Dia bukan sahaja melihat dengan mata kasar dan
mata akal tetapi juga dengan mata hati. Mata hati ini terbentuk apabila
ilmu hidup dalam diri dan hati berada dalam keadaan yang bersih. Ia memberi
satu dimensi tambahan dalam melihat - dimensi yang tidak bergantung kepada
zahir semata-mata.
Sebagai contoh, apabila
seseorang melihat sebatang pokok, pandangan manusia boleh berbeza bergantung
kepada “mata” yang digunakan. Mata kasar hanya melihat bentuknya - batang, buah,
daun dan dahan. Ia melihat pokok sebagai objek fizikal yang wujud di hadapan
mata. Mata akal pula melihat lebih daripada itu. Ia menilai pokok sebagai
sumber - sumber kayu, sumber buah, sumber keuntungan. Ia memikirkan bagaimana
pokok itu boleh dimanfaatkan, bagaimana ia boleh memberikan nilai dari sudut
ekonomi dan kegunaan.
Namun demikian, mata
hati melihat sesuatu yang lebih dalam daripada itu. Mata hati melihat pokok
sebagai makhluk Allah SWT yang sedang berkhidmat. Ia memberi teduhan tanpa
meminta balasan, menghasilkan oksigen tanpa disuruh dan menjadi sumber
kehidupan kepada makhluk lain. Ia tunduk kepada aturan Allah SWT tanpa pernah
ingkar. Pada pandangan mata hati, pokok itu bukan sekadar objek atau sumber
tetapi satu tanda kebesaran Allah SWT yang hidup di hadapan kita.
Sebagai contoh lain,
apabila melihat duit. Mata kasar melihat angka dan bentuk. Mata akal melihat
nilai dan kuasa - apa yang boleh dibeli, bagaimana ia boleh dikembangkan. Namun
mata hati melihat duit sebagai amanah. Ia melihat bagaimana duit itu diperoleh,
ke mana ia dibelanjakan dan apakah kesannya kepada kehidupan di dunia dan
selepasnya.
Dalam melihat
manusia pula, mata kasar melihat rupa dan status. Mata akal menilai berdasarkan
pencapaian, kekayaan dan kedudukan. Namun mata hati melihat lebih dalam -
melihat akhlak, melihat keikhlasan dan melihat nilai sebenar seseorang di sisi
Allah SWT.
Sebagai contoh, dalam
dunia, sesuatu perkara mungkin nampak menguntungkan dari sudut luaran. Logiknya
juga menyokong bahawa ia adalah peluang yang baik. Namun bagi insan yang
menggunakan mata hati, dia akan berhenti seketika. Dia akan menilai dengan
lebih teliti - adakah ini benar-benar baik atau hanya kelihatan baik?
Begitu juga dalam
ujian kehidupan. Bagi mata kasar, ujian adalah kesusahan. Bagi mata akal, ujian
mungkin dilihat sebagai cabaran yang perlu diatasi. Namun bagi mata hati, ujian
dilihat sebagai didikan, sebagai proses pembentukan diri dan sebagai sesuatu
yang membawa kepada kebaikan yang lebih besar.
Di sinilah bezanya
pandangan manusia. Apa yang dilihat mungkin sama tetapi makna yang difahami
sangat berbeza. Mata kasar melihat rupa, mata akal melihat fungsi tetapi mata
hati melihat hakikat. Apabila seseorang mula melihat dengan mata hati, dunia
tidak lagi sekadar tempat untuk digunakan tetapi menjadi sesuatu yang penuh
dengan makna dan pengajaran.
Apabila melihat
dengan mata hati, seseorang mampu menilai sesuatu dengan lebih dalam. Dia tidak
hanya melihat hasil tetapi melihat proses. Dia tidak hanya melihat keuntungan
tetapi melihat kesan. Dia tidak hanya melihat keadaan sekarang tetapi melihat
apakah implikasinya di akhirat kelak.
Inilah perbezaan
yang sangat halus tetapi sangat besar kesannya. Orang yang hanya melihat dengan
mata kasar dan akal mungkin membuat keputusan yang cepat dan nampak betul
tetapi tidak semestinya tepat dalam jangka panjang. Orang yang melihat dengan
mata hati pula mungkin kelihatan lebih berhati-hati tetapi keputusannya lebih
bermatlamat dan lebih mendalam.
Namun demikian, mata
hati bukan sesuatu yang datang dengan sendirinya. Ia terbina melalui ilmu yang
diamalkan, hati yang dibersihkan dan kesedaran yang berterusan. Tanpa itu, manusia
akan terus melihat tetapi tidak benar-benar memahami.
Akhirnya, dalam
kehidupan ini, bukan semua yang nampak itu benar dan bukan semua yang difikir
itu tepat. Sebab itu, mereka yang mampu melihat dengan semua “mata” - mata
kasar, mata akal dan mata hati - adalah mereka yang lebih hampir kepada
kefahaman yang sebenar dalam kehidupan.
Sekian dulu…
0166667430
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan