MINDA AKHIRAT 5.0 - MATA HATI
Melihat Kehidupan dengan Cahaya Ilmu
BAB 6
KEPENTINGAN MENIMBA ILMU DALAM MEMBINA KEHIDUPAN
Dalam kehidupan ini, manusia tidak mampu hidup dengan sekadar
bergantung kepada pengalaman semata-mata. Tanpa ilmu, manusia akan berjalan
dalam keadaan gelap, membuat keputusan tanpa panduan dan akhirnya mudah
tersasar daripada jalan yang benar. Namun demikian, kebanyakan orang tidak
menyedari bahawa ilmu bukan sekadar alat untuk berjaya di dunia tetapi
merupakan kunci utama untuk membina kehidupan yang diredai oleh Allah SWT. Ia adalah RAHSIA kejayaan di dunia dan di akhirat.
Ilmu adalah asas kepada setiap tindakan. Apa yang difikirkan,
apa yang diputuskan dan apa yang dilakukan semuanya berpunca daripada apa yang
diketahui. Jika ilmu yang dimiliki itu benar, maka tindakan akan menjadi benar.
Namun jika ilmu itu salah atau tidak mencukupi, maka tindakan juga akan
terdedah kepada kesilapan.
Dalam realiti masyarakat hari ini, ramai yang berhenti mencari ilmu selepas selesai pembelajaran formal, ramai yang bertindak tanpa
ilmu. Dalam urusan kewangan, ada yang melabur tanpa memahami asas, akhirnya
terjebak dalam penipuan atau perkara yang meragukan. Dalam kehidupan beragama,
ada yang beramal tanpa kefahaman lalu melakukan sesuatu yang tidak menepati
tuntutan sebenar. Semua ini berlaku kerana kekurangan ilmu yang benar.
Namun demikian, hakikat yang perlu difahami ialah kejayaan
samaada di dunia mahupun di akhirat tidak akan tercapai tanpa ilmu. Jika
seseorang ingin berjaya di dunia, dia memerlukan ilmu untuk memahami bidang
yang diceburi, membuat keputusan yang tepat dan mengurus kehidupan dengan baik.
Begitu juga jika seseorang ingin berjaya di akhirat, dia memerlukan ilmu untuk
mengenal Allah SWT, memahami perintah dan laranganNya serta memastikan setiap
amal yang dilakukan adalah betul dan diterima.
Seorang yang berminda dunia mungkin mengejar ilmu hanya untuk
keuntungan dunia semata-mata. Namun demikian, seorang yang berminda akhirat
akan melihat ilmu sebagai jalan untuk mencapai kejayaan yang lebih besar, iaitu
keselamatan di akhirat. Dia tidak memisahkan antara ilmu dunia dan ilmu
akhirat, tetapi menggabungkan kedua-duanya dalam satu arah yang sama, iaitu
menuju reda Allah SWT.
Selain itu, ilmu juga menjadi cahaya yang menerangi hati.
Hati yang dipenuhi dengan ilmu akan menjadi lebih tenang, lebih yakin dan lebih
kuat dalam menghadapi cabaran kehidupan. Sebaliknya, hati yang kosong daripada
ilmu mudah dipengaruhi oleh emosi, tekanan dan pandangan manusia.
Dalam kehidupan seharian, kepentingan ilmu dapat dilihat
dalam pelbagai aspek. Dalam membuat keputusan, ilmu membantu kita menilai
dengan lebih tepat. Dalam berinteraksi dengan manusia, ilmu membantu kita
bertindak dengan lebih hikmah. Dalam menghadapi ujian, ilmu membantu kita
memahami bahawa setiap ketentuan mempunyai hikmah yang tersendiri.
Menimba ilmu juga merupakan satu proses yang berterusan. Ia
tidak berhenti pada satu tahap atau satu usia. Selagi seseorang itu hidup,
selagi itulah dia perlu belajar. Dunia sentiasa berubah, cabaran sentiasa
datang dalam bentuk yang berbeza dan tanpa ilmu yang mencukupi, seseorang akan
ketinggalan, mudah ditindas, mudah diperdaya dan mudah terpengaruh.
Namun demikian, ilmu yang dicari mestilah ilmu yang benar dan
membawa kepada kebaikan. Tidak semua ilmu memberi manfaat. Oleh itu, seorang
yang berminda akhirat akan memastikan bahawa ilmu yang dipelajari selari dengan
Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.
Akhirnya, kepentingan menimba ilmu bukan sekadar untuk
menjadikan seseorang itu pandai dan bijak tetapi untuk menjadikan dirinya lebih
dekat dengan Allah SWT. Ilmu yang benar akan membentuk akhlak, memperbaiki
tindakan dan membimbing kehidupan ke arah yang lebih baik.
Daripada ilmu, lahirlah kefahaman. Daripada kefahaman,
lahirlah amalan dan daripada amalan, lahirlah kehidupan yang diredai oleh Allah
SWT.
Sekian dulu…
0166667430
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan