MINDA AKHIRAT 5.0 - MATA HATI
Melihat Kehidupan dengan Cahaya Ilmu
BAB
ILMU YAKIN - DARI TAHU KE YAKIN
Dalam perjalanan ilmu, mengetahui sahaja tidak mencukupi. Ramai
orang tahu sesuatu perkara tetapi tidak semua benar-benar yakin. Di sinilah
datangnya konsep ilmu yakin - iaitu ilmu yang berkembang daripada sekadar
pengetahuan kepada keyakinan yang kukuh dalam diri.
Ilmu yakin bukan satu tahap yang terus dicapai tetapi melalui
beberapa peringkat. Pada peringkat awal, seseorang mengetahui sesuatu melalui
maklumat dan pembelajaran. Ini dikenali sebagai ilmu yakin - dia tahu tetapi
pengetahuan itu masih berada di akal.
Sebagai contoh, seseorang tahu bahawa api itu panas. Dia
tidak perlu menyentuh api untuk mengetahui perkara itu. Cukup dengan melihat
atau diberitahu, dia sudah memahami. Namun demikian, pengetahuan ini masih
berada pada tahap awal.
Peringkat seterusnya ialah apabila seseorang melihat sendiri.
Ini dikenali sebagai ainul yakin. Pada tahap ini, apa yang diketahui menjadi
lebih jelas kerana dia melihat dengan mata sendiri. Keyakinannya bertambah
kerana pengetahuan itu tidak lagi hanya berdasarkan maklumat tetapi berdasarkan
pengalaman visual.
Namun tahap yang paling tinggi ialah apabila seseorang
mengalami sendiri. Ini dikenali sebagai haqqul yakin. Pada tahap ini, pengetahuan
itu menjadi sebahagian daripada dirinya. Dia bukan sahaja tahu dan melihat
tetapi merasai. Keyakinannya menjadi sangat kuat kerana ia disokong oleh
pengalaman sebenar.
Dalam kehidupan, ramai orang berada pada tahap tahu tetapi
tidak sampai ke tahap yakin. Mereka tahu tentang banyak perkara - tentang
kehidupan, tentang kebaikan, tentang akibat sesuatu tindakan - tetapi
pengetahuan itu tidak cukup kuat untuk mengubah diri.
Ini kerana ilmu tersebut belum sampai ke tahap yakin yang
sebenar. Ia masih berada di permukaan, belum meresap ke dalam hati. Apabila
sesuatu ilmu tidak mencapai tahap yakin, ia mudah goyah apabila berhadapan
dengan cabaran atau godaan.
Sebagai contoh, seseorang mungkin tahu bahawa sesuatu perkara
itu membawa kesan yang buruk. Namun apabila berhadapan dengan situasi sebenar, dia
tetap melakukannya. Ini menunjukkan bahawa pengetahuan itu belum menjadi
keyakinan.
Sebagai contoh lain seseorang mungkin mengatakan yang negara
Switzerland cantik seperti gambar dalam poskad dengan cuaca yang sejuk, udara
yang segar dan nyaman tapi bukanlah berbeza antara orang yang dah melawat
negara itu dengan orang yang belum? Hanya orang yang dah pergi ke sana yang
akan tahu hakikat sebenarnya.
Begitu juga dalam aspek petunjuk dan hidayah minda akhirat. Mereka
yang belum sampai pastinya tak tahu dan kurang yakin. Mereka mungkin boleh
bercerita dari apa yang mereka baca dan dengar tetapi hakikatnya insan yang
sudah mendapat hidayah dan memasuki zon minda akhirat pasti mempunyai ketajaman
mata hati serta keyakinan yang lebih tinggi. Analoginya sama sahaja dengan
kisah pergi ke Switzerland tadi. Dalam dunia hari ini kebanyakan kita
bertungkus lumus berusaha untuk ke Switzerland tetapi tak ramai yang menjalankan
usaha yang sama dalam pencarian petunjuk dan hidayah Allah SWT.
Oleh itu, apabila ilmu mencapai tahap yakin, perubahan akan
berlaku secara semulajadi. Seseorang tidak lagi perlu dipaksa untuk bertindak. Apa
yang diyakini akan memandu tindakannya dengan jelas. Dia tidak lagi ragu-ragu
kerana keyakinannya telah utuh.
Dalam perjalanan ini, pengalaman memainkan peranan yang
penting. Apa yang dipelajari perlu dilalui, dirasai dan dhayati dalam kehidupan
sebenar. Dari situ, ilmu akan bergerak daripada sekadar tahu kepada benar-benar
yakin.
Akhirnya, ilmu yakin adalah satu perjalanan - daripada
mengetahui kepada melihat dan daripada melihat kepada merasai. Pada tahap ini, ilmu
bukan lagi sekadar maklumat tetapi menjadi kekuatan dalam diri.
Dalam kehidupan ini, ramai orang tahu tetapi hanya sedikit
yang benar-benar yakin dan apabila seseorang sampai kepada yakin, apa yang dia
tahu tidak lagi mudah goyah, kerana ia telah menjadi sebahagian daripada
kehidupannya.
Sekian dulu…
0166667430
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan