Selasa, 17 Mac 2026

BAB PENUTUP - JALAN PULANG KEPADA ALLAH SWT

When Darkness Comes - Part 1: The Light — Stylin' Granny Mama

BAB PENUTUP

MINDA AKHIRAT: JALAN PULANG KEPADA ALLAH SWT

Al-Quran

“Alangkah baiknya jika dahulu aku menyediakan bekalan untuk hidupku ini. ”

Surah Al-Fajr 89:24

Kita sudah sampai ke bab penutup perkongsian kali ini. Semoga sesiapa sahaja yang dijodohkan dengan tulisan ini akan mula merenung tentang kehidupan sendiri. Pintu hidayah sentiasa terbuka kepada mereka yang mencari kebenaran dengan hati yang ikhlas dan perjalanan menuju Allah SWT sentiasa bermula dengan satu langkah kecil dalam hati. InsyaAllah dari situlah bermula perjalanan menuju kehidupan yang dipandu oleh minda akhirat.

Saya bukan seorang ustaz, bukan seorang yang banyak ilmu, saya hanyalah hamba Allah SWT yang sudah singgah di mukabumi ini selama lebih 55 tahun dan semua yang saya kongsikan ini adalah berdasarkan pengalaman dan penelitian saya dalam menjalani kehidupan. Pengalaman perubahan mata hati saya dari memandang dalam zon dunia kepada zon minda akhirat saya kongsikan dengan harapan ia bakal membawa kebaikan. Ia bukanlah bermaksud saya sudah ada ilmu yang sempurna dan sebagainya. Hakikatnya saya juga dalam perjalanan sama seperti anda semua. Masih dalam pencarian. Saya tulis sekadar apa yang saya tahu dan alami. Hakikatnya masih banyak yang saya tak tahu. Jadi janganlah menghukum saya atas perkara yang saya salah dan tak tahu itu.

Anggaplah saya seakan seorang posmen yang menyampaikan surat. Posmen tak penting tetapi isi kandungan surat itu yang penting.

Apapun kalau anda tanya perjalanan saya sendiri, ia bermula dengan melazimi zikir pada umur saya 27 tahun, dorongan Allah SWT itu berkemungkinan membersihkan hati sebagai persiapan untuk ilmu masuk ke dalamnya. Kemudian saya mula menulis dan menerbitkan buku motivasi pada umur 31 tahun. Penulisan ini mungkin membawa kepada ilmu yang lebih banyak. Pada umur 35 tahun saya menunaikan umrah dan memohon agar Allah SWT kurniakan dengan petunjuk dan hidayahNya dan pada pertengahan umur 36 pandangan minda saya mula berubah dari minda dunia kepada minda akhirat bila saya membaca buku dan artikel mengenai pengisian keimanan dan keislaman. Ia berkembang dari situ.

Seterusnya pada umur 48 tahun saya dijemput Allah SWT untuk menunaikan fardhu Haji di Mekah, kali ini saya memohon agar Alah SWT kurniakan dengan ilmu teori mencari hidayah supaya saya boleh menyampaikannya kepada orang lain. Bila saya fikirkan kembali doa ini adalah sesuatu yang bermungkinan besar tidak diminta oleh orang lain. Apa yang terjadi ialah pada umur 51 tahun yakni pada tahun 2021, Allah SWT makbulkan doa ini dan dari sinilah saya mula menulis perkongsian Minda Akhirat yang pertama. Apa yang anda baca ini adalah kompilasi perkongsian saya yang ke 4. InsyaAllah kalau ada nyawa dan kesempatan ada banyak lagi yang akan saya kongsikan. Sudilah ikuti perkongsian-perkongsian ini andai ia membawa manfaat dan kefahaman dalam hati anda.

Apapun terima kasih kerana sudi membaca. Semoga tulisan-tulisan bisu ini membawa manfaat kepada sesiapa sahaja yang dijodohkan dengannya. Semoga kita semua dikurniakan dengan taufik, petunjuk dan hidayah dari Allah SWT dan dikurniakan kejayaan di dunia dan di akhirat. Amiinn. InsyaAllah.

Sudilah kiranya memanjangkan perkongsian-perkongsian di sini kepada sesiapa sahaja. Semoga mereka juga mendapat manfaat darinya. Hanya Allah SWT sahaja yang dapat membalas jasabaik tuan puan itu.

Semoga ia juga menjadi amalan baik yang diredai Allah SWT sebagai bekalan buat diri saya sendiri di akhirat kelak. Sesungguhnya yang baik adalah dari Allah SWT dan yang tak baik adalah dari kelemahan diri saya sendiri. Oleh itu kemaafan jualah yang saya pinta.

Semoga kita bertemu lagi dalam perkongsian yang lain pula. InsyaAllah. Sekian. 

Wallahu’alam.


Ikhlas,

Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...

www.mindaakhirat.com

PS - Sekiranya anda membaca semua perkongsian dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

BICARA TENTANG KIFARAH

PERIHAL KIFARAH Kifarah adalah satu konsep yang sangat halus tetapi mendalam dalam kehidupan seorang Muslim. Ia bukan sekadar hukuman tet...