Thursday, August 5, 2021

BAB 66 - MINDA AKHIRAT MENCARI HIDAYAH - KASIHAN INSAN BERMINDA AKHIRAT DI DUNIA

KASIHAN INSAN BERMINDA AKHIRAT DI DUNIA...

Dugaan demi dugaan harus ditempuhi sepanjang kehidupan. Kebanyakan manusia mahu dihargai tetapi tidak menghargai, mahu dipandang tetapi tidak mahu memandang, mahu dihormati tetapi tidak mahu menghormati. 

Bila difikirkan maka saya kasihan pada insan yang berminda akhirat. Iaitu mereka yang patuh dan faham akan prinsip Islam ini. Ini kerana mereka merupakan insan-insan yang sukakan kedamaian, suka membantu, prihatin dan berakhlak mulia. Mereka berada dalam keadaan tenang dan bukan dari golongan yang suka beremosi, dramatik dan penuh dengan kemarahan dan rasa tak puas hati.

Cuba perhatikan senario di bawah ini ;

  • Sedang orang berminda dunia berdendam dan tak dapat memaafkan, insan berminda akhirat tidak akan berdendam dan memaafkan walaupun diri mereka diperlakukan dengan buruk. Ini kerana mereka sedar yang Allah Maha Pengampun dan Nabi SAW juga mengampunkan umat. Mereka tak punya hak untuk tidak memaafkan.
  • Sedang orang berminda dunia memasukkan kebencian dalam diri dan rasa tak puas hati lantas mencari peluang untuk bergaduh dan berperang, insan berminda akhirat menghindari perbalahan hanya kerana mereka mahu memelihara silaturrahim dan tak mahu memutuskannya.
  • Sedang orang berminda dunia sentiasa tak puas hati dengan pelbagai dugaan kehidupan, insan berminda akhirat reda walau apapun juga keadaannya kerana tahu dan yakin yang semuanya datang dari Allah Taala. 
  • Sedang orang berminda dunia membalas dengan penuh kekejaman, insan berminda akhirat hanya boleh balas dalam lingkungan yang dibenarkan dan setimpal dengan apa yang diperlakukan, tidak lebih dari itu dan selebihnya diserahkan pada Allah Taala.
  • Sedang orang berminda dunia mengejar harta, nama, pangkat, gelaran dan sebagainya insan berminda akhirat hanya mengejar keredaan Allah Taala.
  • Sedang orang berminda dunia menipu dan mengelirukan, insan berminda akhirat bercakap benar dan berhemah.
  • Sedang orang berminda dunia mengelak mengambil tanggungjawab, insan berminda akhirat yang akan mengambilnya.
  • Sedang orang berminda dunia kedekut dengan hartanya, insan berminda akhirat pemurah sifatnya.
  • Sedang orang berminda dunia tidak mempedulikan kedua orang tuanya, insan berminda akhirat akan memelihara ibubapanya bagai menatang minyak yang penuh.
  • Sedang orang berminda dunia mementingkan diri sendiri, menyusahkan orang lain, insan berminda akhirat pula menyenangkan dan membawa manfaat.
  • Dan banyak lagi...

Jadi dalam hal ini kalau berkawan, insan berminda akhirat yang akan selalu belanja makan tanpa mengungkit perbelanjaannya itu tak seperti orang berminda dunia. Kalau dalam pekerjaan insan berminda akhirat akan selalu mengambil tugas dan tanggungjawab dan bekerja lebih masa dengan ikhlas tanpa meminta ganjaran sedangkan orang berminda dunia akan mengular dan mencuri masa kerja dan sebagainya.

Kita dapat lihat dewasa ini, para pemimpin yang berminda dunia yang khianat, makan rasuah dan menindas rakyatnya. Para ahli korporat yang menipu untuk kepentingan diri sendiri dan menindas para pekerjanya kemudian ia turun ke bawah ke semua peringkat dan golongan. Kisah mengambil harta pusaka yang bukan hak tanpa mengikut hukum faraid dan sebagainya berleluasa di sana sini. Tanah sekangkang kera menjadi pertikaian dan perbalahan dalam keluarga. Yang bakal mengalah adalah mereka-mereka yang berminda akhirat. 

Orang berminda dunia ini sentiasa kelihatan seperti sentiasa serba tak cukup dan tidak puas, tamak, pentingkan diri dan sebagainya sedangkan insan berminda akhirat akan sentiasa cukup dan bersyukur dengan apa yang ada. Insan berminda akhirat menjalankan usaha dakwah kerana ingin mengajak orang berminda dunia kembali ke jalan Allah Taala, ingin menyelamatkan namun ini tidak difahami oleh orang berminda dunia. Ini kerana mata hati mereka tertutup, hitam dan gelap.

Sebenarnya sukar untuk menjadi seorang insan berminda akhirat yang faham akan hukum hakam dan mengikut sunnah Nabi SAW ini. Insan yang mendapat kefahaman dalam beragama. Insan yang mengikut hukum hakam dan syariat. Mereka amat berhati-hati dalam penggunaan emosi kerana tahu emosi hanya boleh digunakan di tempat yang hak dan yang dibenarkan. Dan hakikatnya melakukannya adalah sesuatu yang sukar.

Insan berminda akhirat hanya beremosi ;

Bila Allah dihina
Bila Islam dipersendakan
Bila Nabi SAW dipermainkan
Demi menjaga kehormatan keluarganya
Bila melihat kemaksiatan
Bila melihat keimanan manusia yang semakin meruncing.

Marah dalam rangkuman yang tertentu dan dibenarkan.
 
Namun demikian orang berminda dunia marah dan bengang kerana semua perkara. Marah yang tiada berpenghujung, tiada had. Marah disebabkan makhluk dan kejadian.

Orang berminda dunia pula beremosi dan marah ;

Sebab makanan lambat sampai 
Sebab hari hujan
Sebab kekasih lambat sampai
Sebab kena marah
Sebab jalan jem
Sebab kereta rosak
Sebab tak jawab panggilan telefon
Dan berjuta sebab yang lainnya.

Sebenarnya perselisihan dan pertembungan sering berlaku antara orang berminda dunia dan insan berminda akhirat ini. Ini kerana orang berminda dunia tidak dapat memahami insan berminda akhirat sedangkan insan berminda akhirat faham akan tindak tanduk orang orang berminda dunia kerana satu ketika dahulu insan berminda akhirat juga merupakan orang berminda dunia sebelum dia insaf, berusaha mencari petunjuk, taufiq dan hidayah lantas akhirnya dibuka pintu hatinya oleh Allah Taala.

Malangnya di dunia ini di zaman moden ini terdapat lebih banyak orang berminda dunia dari insan berminda akhirat. Jadi jumlah majoriti ini memperlihatkan seakan mereka berada dalam kebenaran. Hakikatnya mereka hanya melakukan kerosakan dan maksiat. Lihatlah rancangan televisyen, youtube, instagram, tik tok dan sebagainya yang ada di negara ini contohnya, majoritinya rancangan hiburan dan bersifat duniawi.  

Apapun, ingatlah secara puratanya setiap kita akan singgah di muka bumi ini selama 70 tahun atau 25,000 hari sebelum MATI dan meninggalkan semua yang kita usahakan sepanjang kehidupan kemudian digantikan dengan generasi yang baru yang akan diduga dengan perkara yang sama. Sedarilah orang yang paling bijak ialah orang yang sepanjang kehidupannya membuat persiapan untuk menuju kematian.

Faizal Yusup Al Haj
0166667430
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...

www.mindaakhirat.com

PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;


atau di Youtube, Like dan subscribe yer. Layari ;


atau di Tik Tok, layari ;


No comments:

Post a Comment

PENGENALAN BLOG MINDA AKHIRAT MENCARI HIDAYAH

Bismillahirrahmanirrahim... Assalamualaikum wbt. Salam sejahtera. Selamat datang ke blog Minda Akhirat. Terima kasih kerana sudi singgah ke ...