Tuesday, August 17, 2021

BAB 45 - MINDA AKHIRAT MENCARI HIDAYAH - PENGISIAN KEIMANAN DAN KEISLAMAN



PENGISIAN KEIMANAN / KEISLAMAN

Di dalam kehidupan, setiap hari kita akan bertemu dengan pelbagai pengisian dalam pelbagai bentuk namun bila difikirkan kita akan nampak yang pengisian tersebut juga mempunyai nilai yang tertentu. Sebenarnya pengisian ini juga boleh membawa kepada kebaikan dan pada masa yang sama boleh membawa keburukan dengan kehendak Allah Taala. Dalam dunia hari ini lebih mudah untuk kita bertemu dengan orang yang membawa kita ke arah kesesatan dari bertemu dengan orang yang membawa kita ke arah selamat. Masalahnya cerita-cerita dunia ini lebih seronok didengar, maka ramailah peminat yang bakal berkerumun bila cerita-cerita ini diperdengarkan.

Ini kerana dalam satu-satu pengisian yang kita dengar di dalamnya akan ada beberapa elemen yang terdiri daripada elemen yang baik mahupun tidak. Antara elemen ini ialah lucu, lucah, kontroversi, mengadu dumba, fitnah, maklumat, fakta dan sebagainya tetapi selalunya elemen ilmulah yang paling kurang peratusannya dalam satu-satu pengisian. Ini nyata kerana majlis-majlis ilmu selalu diketepikan tetapi majlis yang bersifat hiburan menjadi tumpuan. 

Adakala pula kita dapat lihat orang datang beramai-ramai berkumpul mendengar ceramah yang kononnya ceramah ugama tetapi bila diteliti ia lebih kepada ceramah politik, pengisiannya lebih kepada elemen fitnah-memfitnah, laga-melaga, bersyak-wasangka buruk, lucu dan lucah. Kisah pemimpin bodoh, makan rasuah, berkhalwat, salahguna kuasa dan sebagainya begitu jelas kedengaran. Namun mana saksinya? Mana buktinya? Si penceramah ada bersama pemimpin  tersebut bersama 4 orang saksi ke bila rasuah itu berlaku? Namun cerita sebeginilah yang begitu menarik dan menyebabkan ramai berkumpul kerana bagi saya syaitan ada diantaranya.

Selain itu kita juga selalu mendengar orang bercerita tentang perhubungan, masakan, produk berjenama, kisah membeli belah, isu semasa, rancangan TV atau wayang yang baru ditonton, perihal politik, perihal sukan dan sebagainya. Ada pula yang bercerita dan berhujah dengan panjang lebar mengenai sejarah, bahasa, muzik dan sebagainya. Satu hari pun tak habis membincangkan mengenainya. Berbincang untuk menunjukkan siapa yang lebih pandai, lebih berpengetahuan tentang topik yang dibicarakan.

Hanya ada dua nilai dalam satu-satu pengisian dari pandangan sekular iaitu pengisian yang baik dan pengisian yang buruk. Dalam Islam pula pengisian ini tertakluk kepada hukum yang lima. Wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Ini akan saya huraikan kemudian.

Apapun yang mana diantara isu ini merupakan kategori maklumat dan mana satu yang berisi ilmu atau yang penting sekali yang manakah diantaranya yang mempunyai pengisian yang boleh meningkatkan iman?

Dalam semua pengisian ini saya berpendapat pengisian yang bersifat keimanan adalah yang terbaik. Apakah pula pengisian keimanan itu? Saya percaya pengisian yang boleh meningkatkan iman adalah pengisian yang berada dalam rangkuman Rukun Iman. Maka dalam sesebuah pengisian sebaiknya kita bercerita atau mendengar pengisian tentang hehebatan Allah, cerita-cerita para Nabi dan Malaikat, cerita-cerita dalam Al Quran, cerita akhirat dan susunan takdir Allah Taala dalam rangkuman Qada’ dan Kadar. Pengisian sebegini terletak dalam rangkuman dakwah iaitu Fardhu Kifayah. Fardhu disini bermakna ia terletak dalam rangkuman hukum wajib. Ini bermakna masa yang dikurniakan Allah itu adalah lebih baik kita gunakan dengan pengisian yang bersifat Fardhu Kifayah daripada kita menggunakannya dengan bercerita tentang pengisian-pengisian yang makruh dan haram sifatnya.
 
Pengisian hati adalah pengisian pertama yang perlu kita lakukan dalam hal dakwah sepertimana yang dijalankan Rasulullah selama 13 tahun diawal kerasulan baginda. Nabi bercerita berkenaan keesaan Allah, kisah dirinya yang dilantik menjadi Rasulullah SAW, kisah para Nabi yang terdahulu, kisah malaikat dan kisah-kisah yang ghaib yang lainya sepertimana yang diwahyukan Allah padanya. Kisah yang berada dalam rangkuman Rukun Iman. Ini kerana ia kemudiannya dengan izin Allah akan meningkatkan iman, memberikan hidayah dan seterusnya menggerakkan jasmani untuk melakukan ibadah yang berada dalam rangkuman Rukun Islam pula. 

Menjalankan apa yang ada dalam Rukun Islam menjadi mudah bila Rukun Iman sudah terbentuk di dalam hati. Sebab itu bila Nabi SAW diturunkan dengan wahyu-wahyu yang memerintahkan manusia untuk bersolat, berpuasa dan mengeluarkan zakat, para sahabat Nabi terus sahaja mengikutnya tanpa soal. 

Pengisian Rukun Iman ia pengisian hati sedangkan pengisian Rukun Islam pula ia pengisian zahir. Ini kerana semua pengisian Rukun Islam ini perlukan tindakan. Mengucap dua kalimah syahadah, Solat, Puasa, Zakat dan mengerjakan Haji. Inilah perbezaannya.

Namun demikian kalau dilihat sejak kecil di Malaysia ini kita lebih ditekankan dengan pengisian Rukun Islam terlebih dahulu. Ibubapa kita suruh kita solat, puasa dan sebagainya sedangkan kita pun tak faham kenapa kita kena berbuat demikian. Ini kerana kita kurang dapat pendedahan dalam pengisian Rukun Iman ini. Bukankah kalau kita sudah percaya dan sudah beriman maka kita akan solat , puasa dan sebagainya tanpa disuruh? Jadi dlam hal ini kita kena pertingkatkan pengisian Rukun Iman dalam hati disamping mengerjakan Rukun Islam.

Sebagai tambahan semua ini berada dalam lingkungan kebenaran. Berpesan-pesan dengan kebenaran.

Dalam menyampaikan atau mengisi pengisian dalam diri tanyalah satu soalan ini, adakah ia mendekatkan diri kita kepada Allah Taala atau tidak? Ini kerana nilai pengisian yang terbaik adalah pengisian yang mendekatkan diri kita kepada Allah Taala.

Sebagai manusia yang hidup dalam keadaan yang tak sedar akan apakah pengisian yang masuk ke dalam hati maka secara langsung elemen-elemen yang masuk juga menyebabkan kekotoran hati tanpa kita sedari. Oleh yang demikian berhati-hatilah dengan pengisian yang kita terima saban hari. Ini kerana adakalanya ia kita rasakan yang nilainya penting lantas kita membicarakannya dengan panjang lebar namun persoalannya di sini adakah ia dapat meningkatkan keimanan kita kepada Allah Taala.

Faizal Yusup Al Haj
0166667430
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...

www.mindaakhirat.com

PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;


atau di Youtube, Like dan subscribe yer. Layari ;


atau di Tik Tok, layari ;


No comments:

Post a Comment

PENGENALAN BLOG MINDA AKHIRAT MENCARI HIDAYAH

Bismillahirrahmanirrahim... Assalamualaikum wbt. Salam sejahtera. Selamat datang ke blog Minda Akhirat. Terima kasih kerana sudi singgah ke ...