Sunday, August 15, 2021

BAB 49 - MINDA AKHIRAT MENCARI HIDAYAH - PANDANGAN TIGA MATA



MINDA AKHIRAT – PANDANGAN 3 MATA

Bagi mereka yang berminda dunia, mereka punya akan punya 2 mata penglihatan sahaja iaitu ;

Mata Kasar 

Mata kasar ini adalah apa yang kelihatan secara fizikal pada kaca mata mereka. Dalam contoh ini mereka akan nampak pokok yang menghijau. Pokok yang rendang dan menghasilkan buah.  

Mata Akal

Mata akal pula memandang dari sudut saintifik seperti bioteknologi, Fotosintesis, sumber makanan dan ubat-ubatan dan sebagainya. Adakah pokok itu boleh mendatangkan keuntungan kewangan? Itu objektif utama pandangan mata ini. Kalau mereka menjalankan perniagaan, usaha mereka itu ialah mengkayakan diri mereka sendiri.

Sedangkan bagi yang berminda akhirat mereka ada satu lagi mata tambahan iaitu mata hati.

Mata Hati

Mata hati akan melihat dari sudut kacamata Allah Taala. Pokok itu juga adalah makhluk yang dicipta Allah demi untuk memberikan khidmat kepada manusia malah makhluk lain. Ia hidup menurut perintah Allah Taala dan bila tiba masanya ia juga akan mati sepertimana makhluk hidup yang lainya. Mata hati bagi seseorang yang berniaga ialah kerana Allah Taala demi untuk membantu orang lain, demi untuk membangunkan ekonomi ummah dan demi untuk memakmurkan bumi. Kepentingan diri bukan perkara utama bagi mereka yang punya mata hati ini.

Ketajaman mata hati ini akan membolehkan seseorang itu melihat dari perspektif yang berbeza iaitu untuk melihat apakah yang dia boleh lakukan dalam kehidupannya saban hari demi untuk membawa manfaat dan mencari reda Allah Taala. Pada masa yang sama menjauhkan apa sahaja perbuatan yang boleh mendatang kemurkaan Allah Taala.

Dalam hal ini mereka yang tajam mata hatinya akan ingat 5 perkara ini sebelum 5 perkara yang akan datang ;

Beringat semasa muda sebelum kita tua.
Beringat semasa kaya sebelum kita miskin.
Beringat semasa lapang sebelum kita sempit.
Beringat semasa sihat sebelum kita sakit,
Beringat semasa kita hidup sebelum kita MATI!

Kenapa saya berkata demikian? Kerana ramai yang semasa kaya menjadi alpa dan lupa untuk berjimat, untuk menabung dengan sangkaan kekayaan dan kemewahan itu akan bertahan selamanya namun tersungkur di tengah jalan. Bila jatuh miskin semuanya berakhir dan kesukaran bakal menjadi peneman kehidupan.

Kerana ramai yang tidak menjaga kesihatan, makan, minum dan memasukkan bahan-bahan terlarang ke dalam tubuh badan sesuka hati setiap masa hingga menjejaskan kesihatan tubuh badan. Bila dah sakit berulah sedar akan nikmat kesihatan yang Allah Taala berikan selama ini.

Kerana ramai yang tak ingat MATI, hidup seumpama akan tak akan mati. Mengejar dunia seakan dunialah segalanya buat mereka hingga tak sempat untuk buat amal ibadah dan persiapan untuk menuju kematian.

Dalam aspek ini mereka yang punya mata hati yang tajam akan faham, akan sedar akan apa yang saya katakan ini dan buat persiapan yang sebaiknya. Tahniah saya ucapkan kepada anda!

Jadi dalam hal ini usahalah untuk menajamkan mata hati untuk melihat sesuatu itu dan dihubungkaitkan dengan saham akhirat. InshaAllah ia pasti akan membawa kebaikan nanti.



Kemaskini 20 Oktober 2022

SETIAP MAKHLUK ADA ROHNYA.

Kronologi manusia, dia lahir, terbaring semasa bayi, merangkak dan bertatih, berjalan dan akhirnya berlari. Bayi menjadi, kanak-kanak, kanak-kanak menjadi remaja, remaja menjadi dewasa, dewasa menjadi tua dan seterusnya hinggalah hari kita meninggalkan dunia ini. Dalam jangkamasa lebih kurang 70 tahun secara purata. Ia mengambil masa untuk kita membesar dan menjadi seorang yang matang. Kita banyak buat salah semasa muda namun kesalahan itu semakin berkurang menjelang kita dewasa oleh kerana ilmu pengetahuan dan pengalaman yang telah kita dapati sepanjang kehidupan.

Kalau kita tanam pokok kelapa sawit kita hanya akan dapat mendapat hasilnya 3 tahun ke depan. Selama 3 tahun kita kena siram, jaga dan meletakkan bajanya sebelum kita boleh menuai hasilnya. Kemudian hasil itu hanya boleh dituai sehingga kira-kira 25 tahun sahaja sebelum pokok itu tua dan terlalu tinggi untuk mendapatkan buahnya. Pokok durian lagilah lama.

Iktibarnya kalau kita memulakan pekerjaan mahupun perniagaan, ia juga ada rohnya. Ia akan mengambil masa untuk ia membesar dan menjadi dewasa. Restoran yang dibuka belum tentu mendapat hasil pada bulan pertama ia beroperasi. Ia akan mengambil masa. Lagi lama lagilah baik dan lagi lama dengan pengalaman dan penambahbaikkan maka roh restoran itu akan menjadi lebih besar dan lebih dewasa hingga ia bakal membuahkan hasil.

Dalam perhubungan juga sama. Kita berkahwin. Dalam perkahwinan contohnya, kita juga kena letakkan air, menjaga dan membajanya dengan penuh kasih sayang. Bertoleransi, saling memahami, saling berkomunikasi dan sebagainya. Awal perkahwinan yang bergolak lama-lama akan menjadi tenang dengan masa bila roh perkahwinan itu meningkat dengan masa. Ia juga mengambil masa.

Kata pujangga "Rom tidak dibina dalam satu hari". Apapun juga ia pasti akan mengambil masa. Apa yang penting ialah untuk kita berusaha menambah nilai kepada pekerjaan, peniagaan mahupun perhubungan yang kita jalankan. InshaAllah dengan berbuat demikian, pekerjaan akan jadi lebih mudah, pendapatan akan menjadi lebih besar, perniagaan akan jadi lebih maju dengan jualan yang semakin meningkat dan akhir sekali perhubungan akan jadi lebih akrab, tenang dan bahagia.  

Faizal Yusup Al Haj
0166667430
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...

www.mindaakhirat.com

PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;


atau di Youtube, Like dan subscribe yer. Layari ;


atau di Tik Tok, layari ;


No comments:

Post a Comment

PENGENALAN BLOG MINDA AKHIRAT MENCARI HIDAYAH

Bismillahirrahmanirrahim... Assalamualaikum wbt. Salam sejahtera. Selamat datang ke blog Minda Akhirat. Terima kasih kerana sudi singgah ke ...