Tuesday, August 31, 2021

BAB 27 - MINDA AKHIRAT MENCARI HIDAYAH - HATI YANG BERSIH VS HATI YANG KOTOR




HATI YANG BERSIH VS HATI YANG KOTOR

Mana yang anda suka?

  • Seorang lelaki yang kaya, hensem, terkenal tapi perangainya buruk.
  • Seorang lelaki yang miskin, tak hensem, hitam tapi budi pekertinya baik.
  • Seorang gadis yang cantik, pandai menyanyi dan menari tapi pemarah orangnya.
  • Seorang gadis biasa, belajar pun tak pandai tapi punya akhlak terpuji.
Dalam hal ini tak kesahlah anda pandai apapun, anda kaya macamanapun, lawa macamanapun tapi kalau perangai buruk tak siapa yang akan suka. Kecantikan manusia bukan terletak kepada rupanya, hartanya, kedudukannya, pengaruhnya, tulisannya atau apa sahaja. Hakikatnya ia terletak kepada akhlak dan budi pekertinya.

Bagi saya semua sifat yang wujud di muka bumi ini juga adalah makhluk ciptaan Allah sepertimana yang sudah saya terangkan dalam bab-bab yang sebelum ini.

Mari kita kategorikan sifat ciptaan Allah ini kepada sifat positif atau mahmudah dan sifat negatif atau mazmumah yang ada dalam hati kita. Sifat Mahmudah ialah sifat baik yang ada dalam diri Nabi Muhammad SAW dan sifat buruk atau sifat Mazmumah pula ialah sifat yang ada pada Qarun, Fir’aun, Abu Lahab dan Abu Jahal. Ketahuilah di akhirat nanti semua ahli syurga akan dilengkapi dengan sifat-sifat mahmudah yang ada pada Nabi SAW. Marilah kita sama-sama usahakan untuk menerapkan semua sifat-sifat mahmudah ini ke dalam hati kita sebagai persediaan untuk ke sana nanti.

Jadi sifat-sifat manakah yang ada dalam hati anda ketika ini? Bagaimanakah ia masuk ke dalam hati anda? Bila ia masuk? Adakah ia memang sudah sedia ada dalam hati sejak kita dilahirkan? Adakah sifat-sifat yang negatif sedang bercampur aduk dengan sifat yang yang positif?

Sebenarnya selama hidup ia masuk tanpa disedari, ia masuk berterabur, tidak tersusun tak kira tempat dan masa. Adakah kita membiarkannya sahaja? Apakah tapisan yang anda gunakan bagi mengelakkan sifat-sifat yang buruk masuk ke dalam hati? Ikut logik akal sahaja?

Dalam hal ini kita mestilah memasuk dan menerapkan sifat-sifat baik dan mengeluarkan sifat-sifat buruk dan jahat keluar dari hati supaya hati kita bersih dan dijauhkan dari bintik-bintik hitam yang bakal menghitamkan hati. Ini kerana hati yang bersih akan memelihara keseluruhan akal fikiran sikap, tindak tanduk dan perbuatan kita. InshaAllah.

Sifat yang baik ada disampaikan dalam Al-Quran dan dizahirkan oleh Nabi besar kita Nabi Muhammad SAW. Lagipun memang baginda diturunkan Allah ke mukabumi dengan tujuan untuk memperbaiki akhlak manusia. Antara sifat-sifat itu adalah dipaparkan dalam ilustrasi di atas.

Namun dewasa ini di akhir zaman ini ramai yang punya sifat yang buruk dibandingkan dengan sifat yang baik.

  • Nak membantu tapi memaki hamun orang yang dibantu.
  • Perselisihan dan persengketaan dari pihak atasan hingga ke golongan marhaen.
  • Scam, menipu dan memanipulasi demi mengejar harta kekayaan.
  • Iri hati dan dengki melihat kejayaan orang lain.
  • Ego, sombong, angkuh dan bongkak bila berada di atas.
  • Fitnah dan tipudaya semakin berleluasa demi kepuasan hati.
  • Janji yang tidak ditepati dan sebagainya.
 
Lebih dalam lagi ;

  • Kita tidak prihatin bilamana mak/isteri/anak kita mengadu sakit tapi kita tak ambil tindakan untuk membawanya ke klinik bagi menyelesaikan masalah itu.
  • Kita senang dan punya duit tapi kita kedekut untuk hulurkan bantuan kepada ibubapa, keluarga dan orang yang memerlukan.
  • Kita tak pedulikan perihal anak-anak hinggakan mereka terbiar.
  • Kita self-centered nak orang tahu pasal diri kita tapi kita tak pernah tanya pasal orang lain.
  • Kita rasakan diri kita pandai, lebih cantik, lebih kaya, lebih berkedudukan lantas sering merendahkan orang lain.
  • Kita taknak jaga ibu bapa kita yang sudah tua.
  • Dan bermacam lagi.
 
Dalam hal ini selalunya sifat yang buruk suka berkawan dengan sifat yang buruk juga. Hati yang umpama tong sampah akan ada banyak sampahlah di dalamnya. Maka orang tidak ada sifat Reda dan akan ada sifat Bosan, Marah, Ego dalam hati mereka sedangkan orang yang Reda pula akan ada sifat Tenang, Ikhlas, Pemurah dan sebagainya dengan izin Allah SWT. Sifat-sifat ini jugalah yang menentukan akhlak seseorang insan itu.

Janganlah jadikan hati kita tempat pengumpulan sampah sarap. Sampah hanya berkawan dengan sampah. Bosan berkawan dengan Dengki, Iri hati, Marah dan lain-lain. Janganlah penuhkan hati dengan sampah sarap kekotoran. Ia penuh dengan toksid, kuman dan  penuh dengan penyakit. Analoginya seakan seorang yang pengotor. Bukankah penyakit senang mendekatinya. Jadi mulakanlah membersihkan diri dari semua sampah sarap ini. Tempat yang bersih dan telah dinyahkumankan maka tiada sampah mahupun sekelumit kumanpun mahu mendekatinya. Begitulah keadaan mereka yang bersih hatinya.

Untuk membersihkan hati kita kena lazimi Zikrullah dan meningkatkan ingatan kepada Allah Taala. Usaha ini sekiranya dilakukan secara berterusan dan istiqomah akan dapat membersihkan hati. Solat, berada dalam majlis-majlis ilmu, berzikir, bertasbih, bertahlil, bertahmid, mengaji Al Quran semuanya adalah amalan yang boleh membersihkan hati. Ia makanan rohani buat manusia. Untuk menghilangkan bintik-bintik hitam dalam hati kita hendaklah sentiasa beristigfar. Hati yang bersih akan menghalau sifat-sifat buruk untuk menetap di dalamnya. Percayalah lama kelamaan hari akan menjadi bersih. Umpama kuman yang tak dapat hidup di kawasan yang telah disteril.

Kemudian untuk mengelakkan sifat mazmumah masuk ke dalam hati hendaklah kita menapisnya dengan Al Quran dan Sunnah. Hanya sifat-sifat yang disarankan Allah Taala Al Quran dan ditunjukkan oleh Nabi SAW sahaja yang dilulus dan dibenarkan untuk dimasukkan ke dalam hati. Selainnya ditangkis keluar. Kenapa pula kita nak masukkan makhluk sifat yang hina dina ke dalam hati kita makhluk manusia yang dimuliakan Allah Taala?

Dalam menjalani proses kembali ke pangkal jalan ini akan terjadi peperangan antara sifat baik dengan sifat buruk ini di dalam hati dan sekiranya sifat negatif akan tetap menang maka berterusanlah pemilik hati itu dengan jalan yang serong dan penuh kehinaan sedangkan bagi yang berjaya mengatasi maka kembalilah dia ke jalan yang benar dan diredai.

Peperangan antara sifat baik dan sifat buruk di dalam hati ini umpama peperangan antara tentera putih dan tentera hitam. Panji-panji tentera putih ini akan diketuai oleh sifat Sabar dan Reda sedangkan panji-panji tentera hitam pula diketuai oleh Sifat Marah dan Benci. Peperangan ini sebenarnya sering terjadi dari masa ke semasa kerana kedua-dua bala tentera ingin menguasai hati. Berhati-hatilah, setiap kali anda dalam persimpangan dilema untuk memilih antara jalan yang baik dan buruk, antara akal dan nafsu, maka saranan saya pilihlah yang baik, yang terang, yang bersih, yang positif kerana ia akan memenangkan bala tentera putih dalam hati anda. Lambat laun mereka akan dapat menguasai hati. Menjadikan anda orang yang baik dan punya akhlak yang mulia. Percayalah.  

Pernah satu ketika saya bertemu dengan seseorang yang berada dalam keadaan yang sedemikian rupa iaitu berada dalam perjuangan untuk kembali ke pangkal jalan. Peperangan sifat baik dengan sifat jahat sedang berlaku di dalam hatinya. Pada masa itu katanya dia mengambil keputusan untuk meredai keadaan tiba-tiba dia ternampak asap keluar dari dadanya. Agaknya sifat sejuk dan baik itu telah berjaya mengalahkan dan menguasai sifat yang jahat yang panas sifatnya di dalam hatinya. Sejuk bertemu panas waplah yang keluar. Selepas dari peristiwa itu dia nampaknya lebih tenang dalam menjalani kehidupan.

Jadi mungkin dalam hati kita juga selalu berlakunya peperangan antara kedua-dua sifat ini. Dalam kes yang baik menang maka kebaikanlah yang bakal diterima oleh pemilik hati tersebut namun kalau sifat baik kalah bagaimana pula? Maka teruslah kita berada dalam keadaan yang huru hara, tertekan, resah gelisah dan sebagainya.

Faizal Yusup Al Haj
0166667430
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...

www.mindaakhirat.com

PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;


atau di Youtube, Like dan subscribe yer. Layari ;


atau di Tik Tok, layari ;


No comments:

Post a Comment

PENGENALAN BLOG MINDA AKHIRAT MENCARI HIDAYAH

Bismillahirrahmanirrahim... Assalamualaikum wbt. Salam sejahtera. Selamat datang ke blog Minda Akhirat. Terima kasih kerana sudi singgah ke ...