Monday, August 16, 2021

BAB 47 - MINDA AKHIRAT MENCARI HIDAYAH - KONSEP SEGITIGA



KONSEP SEGITIGA

Bagi saya Konsep Segi Tiga ini merupakan satu konsep yang sangat baik bagi kita untuk memahami pelbagai perkara yang berlaku dalam kehidupan.

Setiap hari yang kita lalui sebenarnya kita bertemu dengan pelbagai perantara Allah Taala ini. Ia boleh datang dalam bentuk manusia, binatang, benda dan sebagainya.

Adakah kita dijodohkan dengan seseorang sebagai musuh? Saya pasti tidak. Tetapi sebagai manusia kita lebih suka membuat andaian yang negatif yang boleh menimbulkan permusuhan. Adakalanya kita bersua dengan seseorang dan kita terus membuat andaian dari segi pemakaian, gaya dan sebagainya. Kita terus membenci kerana sifat luarannya tanpa mengenali sifat dalaman mereka. Bak kata pujangga "tak kenal maka tak cinta..."

Tiada insan di dalam dunia ini yang kita temui yang tidak akan memberikan manfaat kepada kita pada bila-bila masa. Walau bagaimanapun rupa bentuk dan perangai mereka, mereka sebenarnya adalah aset untuk kita. Sudah pasti mereka dijodohkan sebagai perantara kita bagi tujuan ingat-mengingati. Ia terpulang kepada kita untuk melihat, menilai dan mengambil iktibar. Sebenarnya setiap perhubungan itu merupakan interaksi dua hala yang pastinya membawakan kebaikan.

Sebagai contoh, katalah kita ditakdirkan berpisah dengan isteri yang kita cintai dan kemudiannya kita sengsara kerana itu. Kita katakan yang itulah dugaan yang terbesar yang perlu kita lalui dalam kehidupan. Sebenarnya kita sebagai manusia adalah merupakan perantara dugaan. Isteri kita merupakan perantara dugaan bagi kita dan kita sendiri adalah perantara dugaan bagi dirinya. Beliau sendiri pasti menjadi huru hara disebabkan tindak tanduk kita. Kita sakit hati dia pun sakit hati sama. Apapun apa yang penting ialah untuk mencakup hikmah yang ada dalam perhubungan yang telah terjadi dahulu.

Dukun, doktor dan kaunselor yang kita jumpa juga merupakan perantaraan dari Tuhan. Sebagai contoh si Dukun memberikan air untuk kita minum, si doktor memberikan kita ubat dan si kaunselor memberikan kita nasihat. Kita sembuh dari penyakit bukan kerana air yang diberikan dukun atau kita baik bukan dengan ubat yang diberikan doktor dan kita tenang bukan dengan nasihat kaunselor tadi. Bagaimanakah ini berlaku? Ia berlaku sebenarnya atas kehendak Allah Taala.  Dia yang memberikan penyakit dan Dia juga yang Maha Berkuasa untuk memberikan penawarnya. Tak kiralah siapa atau apa juga perantaraanNya.

Satu contoh lain, katalah satu hari kita membeli buah mangga di pasar. Kata penjualnya mangga itu manis, sampai di rumah bukan main masam lagi rasanya. Kita marahkan penjual itu kerana menjual mangga yang masam. Kita baling mangga-mangga itu ke dalam tong sampah. Kalau difikirkan bukankah mangga itu mahupun penjual itu adalah perantaraan Allah kepada kita? Orang yang menanam mangga itu pastinya telah berusaha untuk mencari benih mangga yang manis tetapi siapa pula yang menjadikan mangga itu manis ataupun masam? Penjual itu pun sebenarnya tak tahu bagaimanakah rasa mangga itu. Jadi apakah yang sebenarnya kita marahkan?

Mungkinkah tanpa disangka kita sebenarnya marahkan Allah Taala yang berkehendak menjadikan mangga itu masam?

Apa yang kita kehendaki tak semestinya sama dengan kehendak Allah Taala. Kita minta yang ini tapi kita mungkin dapat yang itu atas sebab-sebab yang hanya Allah Taala tahu. Sebagai contoh, kita tak semestinya berkahwin dengan orang yang kita cintai.

Katalah kita sedang memandu, tak semena-mena kereta kita dilanggar dari belakang oleh sebuah lori. Kemik teruk. Lampu pecah, bumper jatuh. Adakah kita boleh mengundurkan masa bagi mengelak keadaan ini dari berlaku? Atau adakah kita boleh mengundurkan masa / rewind yang menyebabkan keadaan kereta kita kembali seperti biasa? Walau apapun kita tak boleh mengembalikan masa yang telah berlalu apatah lagi mengembalikan keadaan yang telah berlaku. Kalau kita menangis airmata darahpun ini tak akan terjadi. Jadi, apakah yang boleh kita lakukan? Saya rasa cara yang terbaik ialah menerima dengan reda apa sahaja yang telah berlaku dan carilah jalan penyelesaian yang terbaik bagi membaiki keadaan tersebut. Lagipun ini semua adalah kehendak Allah Taala. Dia yang menyusun setiap apa yang terjadi.

Jadi dalam kehidupan, kita hendaklah sentiasa peka dan prihatin kepada keadaan sekeliling kita kerana setiap peristiwa yang berlaku tak kira kecil mahupun besar, setiap insan yang kita temui, adalah merupakan perantara kepada kita bagi tujuan ingat mengingati, mendapat pelajaran dan pengajaran mahupun bagi tujuan yang lainnya. Yang pastinya semua itu berlaku atas kehendak dan ketentuan Allah SWT.

Faizal Yusup Al Haj
0166667430
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...

www.mindaakhirat.com

PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;


atau di Youtube, Like dan subscribe yer. Layari ;


atau di Tik Tok, layari ;


No comments:

Post a Comment

PENGENALAN BLOG MINDA AKHIRAT MENCARI HIDAYAH

Bismillahirrahmanirrahim... Assalamualaikum wbt. Salam sejahtera. Selamat datang ke blog Minda Akhirat. Terima kasih kerana sudi singgah ke ...