Tuesday, August 10, 2021

BAB 60 - MINDA AKHIRAT MENCARI HIDAYAH - UNDANG-UNDANG DAN PERATURAN



UNDANG UNDANG DUNIA DAN AKHIRAT

Seterusnya sebagai sambungan kepada bab pengisian itu tadi, perbezaan seseorang yang berminda akhirat dengan mereka yang berminda dunia boleh dilihat dari segi kepatuhannya kepada peraturan dan undang-undang. 

Sebagai seorang muslim kita tertakluk kepada dua undang-undang iaitu undang-undang dunia dan undang-undang akhirat.

Insan berminda akhirat punya hati yang terbuka lantas mudah menerima ilmu dan merupakan seorang yang patuh pada Allah dan taat kepada kedua orang tuanya dan pada masa yang sama mematuhi undang-undang baik undang-undang dunia mahupun undang-undang akhirat sepertimana yang saya gambarkan dalam paparan di atas.

Mereka yang mengikut undang-undang ini seakan berada dalam satu landasan dan mereka tidak terkeluar dari landasan tersebut. Setiap undang-undang yang memasuki diri mereka akan mereka patuhi. Mereka akan selalu mengikut perintah, kalau disuruh buat kerja rumah akan mereka lakukan, kalau lampu isyarat merah mereka akan berhenti dan kalau ia hijau mereka akan jalan. Kereta mereka lengkap dengan cukai jalan dan insurans serta berada dalam keadaan baik, mereka juga punya lesen memandu yang masih hidup. 

Bila diterapkan dengan undang-undang akhirat juga mereka akan patuh. Kalau mereka tahu mereka wajib solat lima waktu maka itulah yang akan mereka lakukan, makan dengan tangan kanan, tahu dan patuh kepada hukum hakam, halal dan haram, memotong kuku hari Khamis dan Jumaat, memakai selipar dan menutup kepala bila masuk tandas menunaikan hajat dan sebagainya. Selagi boleh mereka mahu berada dalam jalan yang lurus dan lancar.

Apapun antara undang-undang dunia dan akhirat, undang-undang akhirat adalah jauh lebih penting. Pelanggaran undang-undang dunia kita akan kena denda, kompaun dan penjara namun melanggar undang-undang akhirat silap-silap ke nerakalah jawabnya.

Mari kita lihat pula bagaimana keadaan mereka yang berminda dunia, mereka ini suka memberontak dan gemar melanggar undang-undang. Saya gambarkan mereka sebegini. 

Bagi saya mereka ini mengikut undang-undang sendiri. Mereka seakan roh yang bebas, bebas melakukan apa sahaja tanpa mengira landasan undang-undang. Mereka hanya menurut undang-undang kerana mereka dipaksa menurut. Bila ibubapa memaksa mereka ke sekolah kerana itulah norma kehidupan semua murid, mereka ke sekolah tetapi mereka ke sekolah bukan untuk belajar tetapi untuk bermain dan menghabiskan masa.

Mereka tak faham kenapa mereka perlu ke sekolah. Norma dan nilai kehidupan yang dipegang umum tidak mereka fahami. Mereka hanya ingin buat apa yang mereka ingin lakukan tanpa memikirkan akibatnya terhadap orang lain di sekeliling mereka. Mereka pentingkan diri sendiri, mereka mahukan perhatian dari orang lain terhadap diri mereka dan mereka merasakan yang mereka selalu betul dan semua yang ada di sekeliling adalah salah. Dalam diri mereka, mereka selalu akan memberontak, sering tidak berpuas hati apatah lagi  bersyukur dengan apa yang mereka ada. 

Sebenarnya undang-undang yang mereka ikuti adalah undang-undang yang mereka cipta sendiri dan ini menyebabkan tindakan mereka ini sukar diramal.

Kalau dahulu zaman datuk nenek moyang kita mereka yang sebegini dinamakan degil dan tak dengar kata maka mereka akan dihukum dengan hukuman yang berat-berat. Ada yang dirotan, dibentak, dipukul, disebat, ada pula yang diikat di sebatang pokok dan diletakkan kerengga di seluruh badan mereka, ada yang dikurung dan sebagainya dengan harapan mereka kembali ke dalam landasan kepatuhan. Di zaman ini keadaan tak jauh bezanya mereka yang sebegini akan tetap juga dihukum kerana dikatakan degil dan memberontak. 

Kesudahannya ada yang kembali ke pangkal jalan dan menjadi orang patuh bila mereka matang malangnya ada juga yang tidak.

Para saintis pula mengatakan yang mereka ini menghidap penyakit autism mahupun penyakit mental dan ia mungkin benar tetapi pada saya ini semua bergantung kepada keterbukaan pintu hati yang dikurniakan Allah kepada seseorang itu. 

Kalau memandu kereta mereka boleh memandu tanpa lesen, tanpa insuran dan cukai jalan. Mereka melanggar lampu isyarat merah dan memandu dengan laju. Semua ini adalah undang-undang dunia dan paling kuatpun anda mungkin masuk penjara di dunia ini kerananya tapi taklah sampai anda masuk neraka! Anda tak bayar cukai pendapatan anda mungkin dipenjarakan tapi kalau anda tak bayar zakat tak akan dipenjarakan tapi anda anda mungkin akan masuk neraka atas sebab itu kerana ini adalah undang-undang Allah.

Masalahnya sebagai seorang Islam, kalau kita boleh dengan mudah melanggar undang-undang dunia maka kemungkinan untuk kita melanggar undang-undang akhirat sangatlah tinggi. 

Mereka yang selalu melanggar undang-undang dunia selalunya mempunyai kecenderungan untuk melanggar undang-undang akhirat sepertimana yang digambarkan dalam gambarajah tadi. Ponteng solat, ponteng puasa, tak tutup aurat, makan yang haram, maksiat, zina, mencuri, mencederakan orang lain, minum arak, berjudi, mengambil rasuah dan sebagainya. 

Inilah yang terjadi di Barat. Mereka hanya menggunakan undang-undang dunia dan tak punya undang-undang akhirat. Saya pernah menerangkan tentang konsep benang bersimpul dalam buku yang terdahulu. Ia menghuraikan keburukan yang dilakukan oleh ibubapa akan menjadi benang yang bersimpul dan diturunkan pula kepada anak-anaknya dan begitulah seterusnya. Lama kelamaan benang itu akan terus bersimpul dan semakin besar dan berserabut. Ia lama-kelamaan bakal menular dalam masyarakat. Inilah sebabnya masalah gejala sosial di negara Barat begitu teruk dan sukar untuk diselesaikan sepertimana yang kita semua ketahui.
 
Contoh terawal ialah salah satu nilai Barat bayi yang dilahirkan kebiasaannya akan diberikan susu tepung yang merupakan susu lembu. Bayi yang tidak diberikan susu ibu dan digantikan dengan susu lembu bakal menjadi anak yang degil sepertimana anak seekor lembu. Kita mungkin punya pelbagai alasan kenapa kita memberikan bayi kita susu tepung namun tanpa kita sedari ia ada kesan kepada tumbesaran anak itu. Sebabnya mudah. Kita tidak mengikut fitrah kehidupan. Susu lembu untuk anak lembu dan susu ibu untuk bayi.

Bermula dari sini pelbagai gejala sosial mula menular dalam ketamadunan mereka. Seks bebas tanpa had bermula semenjak usia muda, seks dengan kaum sejenis, seks dengan binatang, seks kejam, sifat kurang ajar, melawan ibubapa, gangsterism, melanggar undang-undang, memuja hantu, roh, dewa dan sebagainya. Inilah juga yang bakal berlaku dalam masyarakat kita sekiranya kita percaya dan meniru nilai kehidupan mereka. Kita bakal menjadi masyarakat dan bangsa yang berserabut penuh dengan permasalahan sepertimana  masyarakat sekular yang lain. 

Namun demikian ini semua adalah pemerhatian dari kacamata saya semata-mata dan saya yakin ada yang tidak bersetuju dengan huraian saya ini, apa yang boleh saya katakan tidak mengapa itu hak anda tetapi saya yakin satu hari nanti anda akan memahaminya.

Sebenarnya hanya ugama Islam ugama yang diredai Allah Taala dan yang paling sesuai untuk semua manusia. Ia merangkumi semua aspek kehidupan manusia dan menjadikan manusia itu berakhlak mulia. Kedatangan Rasullullah S.A.W. juga bertujuan untuk memperbaiki akhlak semua manusia. 

Persoalannya anda tergolong dalam golongan yang mana satu? 

Ketahuilah, orang yang beriman pada Allah akan takut untuk melanggar undang-undang, mereka hidup dalam rangkuman syatiat, namun bagi yang tidak beriman semua ini tak menjadi masalah bagi mereka. Mereka bebas melakukan apa sahaja walaupun sedar yang perbuatan itu membawa kepada kerosakan. 

Oleh yang demikian, mengetahui akan hakikat ini, kepada mereka yang mempunyai anak yang sebegini berusahalah dengan menyampaikan pengisian keimanan kepada mereka, berikhtiar, bertawakal dan berdoa. Kerana doa ibu amat berkesan untuk anaknya. Marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah membuka pintu hati kita dengan seluas-luasnya. Sekiranya semua kita berbuat demikian mungkin kita bakal punya keluarga, kejiranan, masyarakat, nusa dan bangsa yang berakhlak mulia lantas diberkati Allah Taala. InshaAllah.

PERIHAL ATURAN
Dikemaskini pada 22 April 2022

Kalau kita lihat semua perkara dalam kehidupan ini ada aturannya. 

- Putaran planet pada paksinya ikut aturan
- Putaran musim bertukar ganti ikut aturan.
- Siang dan malam bertukar ganti mengikut aturan.
- Pasang surut air laut mengikut aturan
- Pusaran angin juga ikut aturan.
- Saat, Minit, Jam, Hari, Minggu, Bulan, Tahun berganti mengikut aturan.
- Malaikat dan binatang ikut aturan yang telah ditetapkan terhadap mereka.
- Semua ada aturan dan ketetapan yang telah ditentukan Allah Taala.

Jadi kenapa kita nak buat hukum hakam sendiri? Kenapa kita berdegil dan memberontak? Kenapa kita menjemput kemurkaan Allah Taala. Bukankah lebih baik kita ikut dan patuh sahaja dengan aturan, hukum hakam dan ketetapan Allah Taala?

Contoh seterusnya ;

- Ibadah Haji dijalankan sekali seumur hidup sekiranya mampu.
- Ibadah Zakat dijalankan setahun sekali.
- Ibadah Puasa dijalankan sebulan dalam setahun.
- Ibadah Solat dijalankan 5 kali setiap hari.

Hari, bulan, tahun dan seumur hidup, ada ibadah yang kita kena jalankan mengikut rutin dan aturan yang telah ditetapkan dalam Islam.

Jadi di sini jelas yang semua perkara akan mengikut aturan yang tertentu yang telah diberi panduannya dalam Al Quran dan Sunnah Nabi SAW.

Jadi dalam hal ini beruntunglah mereka yang patuh, taat dan ikut aturan ini dan rugilah mereka yang melanggarnya. Masalah akan berlaku bila kita tak jaga hubungan dengan Allah Taala, tak jaga hubungan dengan manusia. Anak jadi tuan kepada ibubapanya, isteri berkuasa terhadap suaminya, anak murid yang kurang ajar terhadap gurunya, orang muda yang tak hormati yang tua dan sebagainya. Memegang prinsip mazmumah seperti khianat,  tidak jujur, bersangka buruk, tamak haloba, mengadu domba, fitnah, kedekut dan sebagainya hakikatnya melanggar semua aturan akhlak seorang muslim.

Sedarilah kita makhluk manusia juga tertakluk dengan aturan yang telah ditetapkan Allah Taala. Peliharalah ia dengan sebaiknya. InshaAllah kita akan selamat.

Faizal Yusup Al Haj
0166667430
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...

www.mindaakhirat.com

PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;


atau di Youtube, Like dan subscribe yer. Layari ;


atau di Tik Tok, layari ;


No comments:

Post a Comment

PENGENALAN BLOG MINDA AKHIRAT MENCARI HIDAYAH

Bismillahirrahmanirrahim... Assalamualaikum wbt. Salam sejahtera. Selamat datang ke blog Minda Akhirat. Terima kasih kerana sudi singgah ke ...