Tuesday, August 17, 2021

BAB 46 - MINDA AKHIRAT MENCARI HIDAYAH - RUKUN IMAN DAN RUKUN ISLAM



RUKUN IMAN
 
1. Percaya kepada Allah
2. Percaya kepada Malaikat-Malaikat
3. Percaya kepada Kitab-Kitab
4. Percaya kepada Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul
5. Percaya kepada Hari Akhirat
6. Percaya kepada Qada' dan Qadar 

Kalau dilihat dari susunan Rukun Iman, kepercayaan kepada Allah letaknya di tempat pertama. Ini menunjukkan ketauhidan kepada Allah Yang Esa adalah perkara pertama dan utama dalam aspek keimanan ini.

RUKUN IMAN ADA ENAM PERKARA :

1 ) BERIMAN KEPADA ALLAH SWT

Beriman kepada Allah s.w.t merupakan Rukun Iman yang pertama, yang menjadi dasar keimanan seseorang itu. Beriman kepada Allah s.w.t bermaksud wajib mempercayai Allah s.w.t itu ada, Ia Maha Berkuasa, Maha Mencipta dan Maha Mengetahui segala apa yang ada di langit, di udara, di muka bumi dan juga di lautan. Dia adalah Maha Esa, yakni tunggal dan tidak menyerupai dan tidak diserupai oleh sesuatu.

Seperti firman-Nya yang bermaksud :

"Katakanlah wahai Muhammad, bahawa Allah itu satu. Allah tempat segala makhluk bergantung. Allah tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Dan tidak sesiapapun yang setara atau seumpama dengan Allah."
(Surah al-Ikhlas 1 - 4)

2) BERIMAN KEPADA MALAIKAT

Beriman kepada malaikat bermaksud wajib bagi setiap orang Islam mengetahui bahawa malaikat adalah makhluk yang Allah s.w.t jadikan daripada cahaya dan boleh berupa berbagai bentuk, tidak bersifat seperti sifat manusia. Malaikat juga menjalankan perintah Allah s.w.t dengan taat dan patuh. Jumlah malaikat adalah terlalu banyak dan kita sebagai umat Islam wajib mengetahui 10 daripadanya.

NAMA MALAIKAT TUGAS

Jibril                         Menyampaikan wahyu
Raqib                 Mencatat amalan keburukan
Atib                         Mencatat amalan kebaikan
Izrail                         Mengambil nyawa
Mikail                 Menurunkan rezeki
Israfil                 Meniup sangkakala
Mungkar / Nankir Menyoal orang mati
Malik                         Menjaga Neraka
Ridzuan                 Menjaga Syurga

3) BERIMAN KEPADA KITAB

Beriman kepada kitab Allah bererti kita wajib beriktikad dan yakin dengan sebenar-benarnya bahawa sesungguhnya Allah s.w.t mempunya beberapa kitab suci yang merupakan firman Allah s.w.t yang hakiki. Diturunkan melalui wahyu yang disampaikan melalui perantaraan malaikat Jibril a.s. Sejak Zaman Nabi Adam a.s sehingga kepada Nabi Muhammad s.a.w, jumlah kitab suci yang diturunkan adalah sebanyak 104 iaitu 100 buah suhuf dan 4 buah kitab suci.

Senarai kitab dan penerimanya :

Taurat - Nabi Musa a.s
Zabur - Nabi Daud a.s
Injil - Nabi Isa a.s
Al-Quran - Nabi Muhammad s.a.w

Nabi-nabi yang menerima suhuf :

Nabi Syits - 50 suhuf
Nabi Idris - 30 suhuf
nabi Ibrahim - 10 suhuf
Nabi Musa - 10 suhuf

Al-Quran merupakan penutup segala kitab. Diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Tidak akan ada lagi kitab suci lain selepas Al-Quran.

4) BERIMAN KEPADA NABI DAN RASUL

Beriman kepada Rasul dan Nabi merupakan rukun Iman yang ketiga. Bagi orang Islam wajiblah yakin dan percaya bahawa Allah s.w.t telah mengutuskan para Rasul dan Nabi kepada manusia di dunia ini bagi menunjukkan jalan ke arah kebenaran dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Jumlah Nabi dan Rasul yang wajib diketahui adalah seramai 25 orang.

5) BERIMAN KEPADA HARI AKHIRAT

Percaya kepada hari akhirat ialah kita wajib beriktikad dan meyakini bahawa akan adanya hari akhirat atau hari kiamat (pembalasan) di mana pada hari itu semua manusia akan dibangunkan kembali di padang Mahsyar untuk menerima hukuman berdasarkan segala amal perbuatan mereka semasa mereka hidup di muka bumi Allah s.w.t ini.

Tanda-tanda kecil akan kedatangan hari akhirat :

  • Sedikit orang alim dan banyak orang jahil.
  • Perempuan lebih ramai daripada lelaki.
  • Urusan agama ditakbir oleh orang yang bukan ahli.
  • Pelacuran dan maksiat berlaku dengan meluas.
  • Minum arak dan benda yang memabukkan menjadi kebanggaan.
  • Orang miskin menjadi kaya, membina bangunan dan gedung tinggi mencakar langit.
  • Banyak berlaku gempa bumi.

Tanda-tanda besar :

  • Keluar dajjal merosakkan agama.
  • Keluar binatang yang dipanggil Dabbatul Ard merosakkan manusia.
  • Keluar Yakjuj dan Makjuj.
  • Hilangnya al-Quran dari mashafnya.
  • Terbit matahari dari sebelah Barat.

6) BERIMAN KEPADA QADA DAN QADAR

Beriman kepada qada dan qadar disebut juga sebagai percaya kepada takdir. Iaitu seseorang itu mesti yakin dan percaya bahawa segala yang berlaku dalam alam ini semuanya ketentuan dan ketetapan Allah s.w.t.

Erti Qada :
Ialah pelaksanaan Allah s.w.t terhadap apa yang telah ditetapkan sejak azali lagi.

Erti Qadar :
Ketentuan yang mesti berlaku atas tiap-tiap makhluk, sesuai dengan batas-batas yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t sejak azali lagi sama ada yang baik atau buruk.

Qadar ada dua jenis iaitu :

Berupa aturan atau perjalanan alam ini.
Berupa untung nasib yang menimpa manusia dan makhluk lain.

RUKUN ISLAM

1. Mengucap Dua Kalimah Syahadah
2. Menunaikan Solat Fardu Lima Waktu Sehari Semalam
3. Berpuasa Di Bulan Ramadan
4. Menunaikan Zakat
5. Mengerjakan Haji Di Mekah Bagi Yang Mampu

Rukun Islam ini selain dari ibadah penzahiran yang wajib kita lakukan sebagai seorang Islam ia juga bertujuan untuk menunjukkan kepada orang bukan Islam yang inilah yang rukun-rukun utama yang perlu mereka percayai dan lakukan seandainya mereka mahu menjadi seorang Islam. Ini kerana rukun-rukun ini tiada dalam agama yang lain.

1. MELAFAZKAN DUA KALIMAH SYAHADAH

Syahadah merupakan lafaz dan ikrar penyaksian tauhid iaitu keyakinan pada Allah SWT dan penyaksian terhadap kerasulan Nabi Muhammad SAW. Syahadah (Penyaksian tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah) adalah pengucapan dua kalimah syahadah yang merupakan penyataan atau ikrar misi dan visi hidup seorang Muslim. Syahadah adalah pengucapan lidah yang melahirkan pengakuan hati dan keinginan jiwa terhadap ketuhanan dan keesaan Allah serta kebenaran RasulNya Muhammad SAW sebagai utusan terakhir yang membawa rahmat kepada keseluruhan alam.

2. MENDIRIKAN SOLAT

Solat merupakan satu taklifan ke atas semua umat Islam yang mana telah melafazkan ikrar syahadah dalam diri mereka. Ia merupakan satu ibadah wajib yang perlu di lakukan dan meninggalkannya merupakan dosa besar. Solat juga merupakan satu wasilah langsung kita kepada Allah SWT. Kita berkomunikasi dengan Allah SWT melahirkan apa yang dirasa dan difikirkan sama ada rasa gembira atau sebaliknya. Sebagai hambaNya, kita boleh meluahkan apa sahaja yang kita rasai tanpa rasa bimbang atau khuatir rahsia itu akan diketahui oleh orang lain. Allah Maha Pendengar dan Maha Penyayang.

Tujuan Solat adalah :
Solat mendidik manusia supaya sentiasa mengingati Allah SWT dan mematuhi perintahNya.
Solat boleh memelihara manusia daripada melakukan kejahatan.
Solat akan memberi ketenangan jiwa.
Solat akan memberi kejayaan kepada orang mukmin tetapi solat itu hendaklah dilaksanakan dengan penuh khusyuk.

3. BERPUASA DI BULAN RAMADAN

Berpuasa dalam bahasa Arab bermaksud meninggalkan. Manakala dari sudut Syarak ia membawa maksud meninggalkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar hingga terbenam matahari dan disertai dengan niat.

Setiap detik sepanjang bulan Ramadhan adalah sebaik baik masa dan sebaik-baik hari di atas muka bumi. Allah telah meberikan kelebihan yang banyak dalam bulan Ramadhan berbanding bulan-bulan lain. Puasa bulan Ramadan adalah satu latihan rohaniah bagi mendidik jiwa manusia supaya bersabar, bersyukur dan sentiasa merendah diri sesama manusia. Semasa sedang berpuasa, kita bersabar ketika merasa lapar dan dahaga sepanjang hari. Kita juga diajar sabar ketika merasa marah semasa sedang berpuasa. Ertinya dalam kehidupan seharian hendaklah kita juga bersabar ketika menghadapi pelbagai dugaan dan cubaan

Jika kita boleh bersabar menahan sesuatu yang halal (makan dan minum) kerana perintah ALLAH, maka sudah semestinya kita boleh bersabar menahan sesuatu yang haram (perkara maksiat) juga kerana perintah ALLAH. Ketika berpuasa, kita akan menjaga lidah, mata, telinga serta hati dari melakukan perkara-perkara yang dimurkai ALLAH. Semoga akhlak yang baik ini dapat diteruskan selepas bulan Ramadan dan seterusnya sehingga ke akhir hayat kita. Insya-ALLAH.

4. MEMBAYAR ZAKAT

Zakat ialah kata dasar dalam bahasa Arab daripada perkataan Zaka yang membawa pengertian berkat, tumbuh, suci, bersih dan baik atau dapat memberi maksud membersihkan atau mensucikan. Menurut hukum Islam (istilah syarak) zakat bererti sejumlah harta tertentu yang diwajibkan oleh Allah SWT. diserahkan kepada orang yang berhak. Menurut al-Mawardi dalam Kitab al-Hawiy, zakat ialah nama bagi sesuatu pengambilan tertentu daripada harta yang tertentu menurut sifat-sifat tertentu dan untuk diberikan kepada golongan tertentu.

5. MENUNAIKAN HAJI

Setiap umat Islam yang cukup syaratnya (berkemampuan) wajib mengerjakan haji di Mekah. Haji ialah ibadat yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. Orang yang menunaikan haji bukanlah kerana hendakkan keduniaan (gelaran atau menunjuk-nunjuk) tetapi kerana ibadat haji itu tuntutan agama.

Kewajipan mengerjakan haji diterangkan oleh Allah s.w.t. di dalam al-Qur’an dengan firman-Nya yang bermaksud:

Dan bagi (kerana) Allah (wajib) atas manusia pergi ke rumah itu, (iaitu) siapa yang berkuasa mengadakan perjalanan kepadanya, dan barang siapa yang kufur maka sesungguhnya Allah itu kaya daripada alam semesta.
(Surah al-Imran: 97)


Faizal Yusup Al Haj
0166667430
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...

www.mindaakhirat.com

PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;


atau di Youtube, Like dan subscribe yer. Layari ;


atau di Tik Tok, layari ;


No comments:

Post a Comment

PENGENALAN BLOG MINDA AKHIRAT MENCARI HIDAYAH

Bismillahirrahmanirrahim... Assalamualaikum wbt. Salam sejahtera. Selamat datang ke blog Minda Akhirat. Terima kasih kerana sudi singgah ke ...