Wednesday, August 4, 2021

BAB AKHIR - MINDA AKHIRAT MENCARI HIDAYAH - SAMPAIKANLAH



PENUTUP - SAMPAIKANLAH...

Anda sampaikan kepada 5 orang kawan dan taulan, mereka pula menyampaikan kepada 5 yang lain, maknanya ia telah sampai kepada 25 orang dan begitulah seterusnya ia berkembang. InshaAllah dan ketahuilah anda akan dapat manfaat bagi semua ini dan ini adalah janji Allah SWT.

Topik terakhir dalam blog ini mengingatkan saya pada kakak-kakak angkat saya di Universiti Malaya dahulu semasa kecil. Kami tinggal di kuarters yang disediakan untuk pengawal keselamatan dan kakak-kakak ini menyewa bilik di kuarters-kuarters ini. Setiap petang mereka akan duduk di tangga berhadapan dengan rumah saya dan menceritakan tentang geografi, politik geologi, sains sosial, perubatan dan sebagainya berdasarkan kursus yang mereka ambil. Saya mula mendengarnya pada lingkungan umur 8 tahun hinggalah ke 16 tahun pabila saya masuk sekolah berasrama.

Mereka inilah yang secara tak langsung bertanggungjawab membentuk diri saya menjadi seorang yang gemar berfikir tentang kehidupan. Saya tak sedar itu dahulu tetapi pembentukan inilah yang menjadikan saya seorang yang suka mencari ilmu dan pada masa yang sama suka menyampaikan ilmu. Mungkin atas sebab inilah saya menjadi seorang penulis buku genre motivasi Islamik.

Kepada mereka saya ucapkan terima kasih walau dimana mereka berada. Sekarang telah masanya untuk saya berbuat perkara yang sama kepada sesiapa juga yang saya temui dan saya harap pengisian dan huraian ini akan sedikit sebanyak membawa perubahan ke dalam diri sesiapa sahaja yang dijodohkan dengannya. InshaAllah.

Saya mahu berusaha membawa perubahan tersebut sepertimana yang mereka lakukan pada saya dahulu. Perubahan ke arah kebaikan dengan izin Allah Taala. Saya tahu bagaimana saya terbentuk dengan pengisian yang mereka lakukan pada dulu dan saya juga telah tahu bagaimana caranya untuk melakukan perubahan tersebut pada orang lain berdasarkan pengalaman-pengalaman lalu. Manusia yang baik ialah manusia yang menjadi medium atau perantara kepada perubahan, perubahan ke arah kebaikan. 

Saya tahu pengisian yang disampaikan ke dalam diri seseorang itu boleh mengubah mereka ke satu jalan yang baru dan baik. Mungkin inilah sebabnya saya berterus-terusan menulis dan menyampaikan pada yang ramai dengan harapan pengisian ini bakal memberikan satu persepsi baru dalam hidup.

Percayalah dengan menyampaikan pengisian, ia akan menambahkan ilmu, ilmu ini seterusnya boleh bawa perubahan ke dalam diri lantas menukar haluan kepada arah tuju yang lebih baik. InshaAllah. Jadi sampaikanlah. Sampaikanlah walau satu ayat atau anda beritahu sahabat, kawan, rakan taulan, saudara mara dan keluarga mengenai gerakan Minda Akhirat termasuklah blog ini atau lebih baik lagi anda viralkan agar ia membawa manfaat kepada sesiapa sahaja yang dijodohkan dengannya. InshaAllah.

Ilmu ini umpama cahaya yang masuk ke dalam hati. Kalau hati itu hitam maka ia takkan dapat membiaskan cahaya tersebut kepada orang lain namun sekiranya hati itu jernih umpama cermin maka ia pasti akan dapat membiaskan cahaya itu kepada orang lain dengan harapan ia menerangi hati yang satu lagi. Oleh itu jadilah cermin yang menerangi dengan ilmu yang anda dapat ini. Kalau anda seorang suami sampaikahlah atau ajaklah isteri anda membaca nukilan-nukilan dalam blog ini. Kalau anda seorang bapa sampaikanlah atau ajaklah anak-anak membacanya dan begitulah seterusnya sekiranya anda seorang pemimpin, majikan, guru dan sebagainya. Biar kita semua menjadi insan-insan yang berminda akhirat! Insan yang tenang lagi bahagia dalam menjalani kehidupan dunia yang penuh cabaran ini. InshaAllah.

PENUTUP

Alhamdulillah. Kita telah sampai ke penghujung blog ini. Tahniah saya ucapkan kerana anda berjaya sampai ke bab yang terakhir ini. Segala pengisian dan huraian ini tak akan membawa makna sekiranya isinya tidak difahami, dihayati apatah lagi dilaksanakan. Namun bagi yang berlapang dada, menghayati dan melaksanakan apa yang disarankan dalam blog ini maka saya percaya dengan keizinan Allah ia boleh membawa kepada kejernihan hati. Kebersihan hati ini pula akan membawa kepada ilmu dan sifat-sifat yang baik masuk dan menetap ke dalam hati tersebut. Ilmu dan sifat yang baik ini pula bakal membawa kepada kefahaman dalam beragama serta petunjuk dan hidayah dari Allah Taala. Ia akan dipaparkan dengan amal soleh, sikap dan akhlak yang baik secara zahirnya.

Seterusnya hati yang baik ini akan membawa kepada peningkatan keimanan dan amal ibadah yang baik. Allah akan pelihara dan lindungi pemilik hati yang mendapat petunjuk dan hidayah ini lantas membawa kepada kejayaan di dunia dan di akhirat. InshaAllah. Dalam hidup kita yang pendek ini tidak ada sesiapa yang dapat melindung dan memelihara kita sebaik Allah Taala. Maka bersyukurlah sekiranya kita dapat berada dalam golongan insan yang dipelihara Allah Taala kerana ia merupakan satu nikmat yang tidak ternilai harganya.   


Bagi mereka yang faham mereka akan berada dalam zon pandangan hati yang berbeza. Mereka akan nampak yang dalam dunia ini ada dua zon. Satu zon dunia yang kelihatan dengan kacamata kasar dan kelihatan oleh semua orang dan satu lagi zon yang kedua yakni zon akhirat yang hanya dapat dilihat oleh hati-hati mereka yang telah mendapat petunjuk dan hidayah dari Allah Taala. Namun hanya sedikit sahaja insan dalam dunia ini yang berada dalam zon sejahtera ini. Ia istimewa dan hanya kepada insan-insan yang terpilih dan dipilih Allah Taala. Wallahualam.


Saya berharap semoga pengisian dalam blog ini membawa manfaat kepada anda semua yang saya kasihi. Menjadikan anda seorang yang berminda akhirat. Ucapan jutaan terima kasih atas kesudian anda untuk membacanya dan sepuluh jari disusun memohon ampun dan maaf kalau ada salah dan silap.

Sesungguhnya yang baik datang dari Allah Taala dan yang salah adalah atas kelemahan saya sendiri.  Semoga anda berjaya di dunia dan di akhirat! InshaAllah... Amiinn…

Sekian. Wassalam.

Saya. Faizal Yusup. Hamba Allah. Posmen kiriman Allah yang menyampaikan surat ini. Doakan kebaikan dan kejayaan di dunia dan di akhirat buat saya Ahmad Faizal bin Mohamed Yusup serta keluarga saya juga buat kita semua umat Islam yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia. Semoga Allah SWT merahmati kita semua. Amiinn. InshaAllah.




Faizal Yusup Al Haj
0166667430
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...

www.mindaakhirat.com

PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;


atau di Youtube, Like dan subscribe yer. Layari ;


atau di Tik Tok, layari ;


2 comments:

PENGENALAN BLOG MINDA AKHIRAT MENCARI HIDAYAH

Bismillahirrahmanirrahim... Assalamualaikum wbt. Salam sejahtera. Selamat datang ke blog Minda Akhirat. Terima kasih kerana sudi singgah ke ...