SIFAT AMANAH: PINJAMAN YANG AKAN DIPULANGKAN
Amanah bukan sekadar tentang harta atau jawatan. Amanah
adalah keseluruhan hidup yang Allah SWT pinjamkan kepada kita. Namun demikian,
kebanyakan orang hanya melihat amanah pada perkara yang zahir, sedangkan amanah
yang paling besar sering terlepas pandang.
Kita memahami bahawa harta adalah amanah. Kita tahu jawatan
adalah tanggungjawab. Kita sedar bahawa apabila memimpin, kita perlu berlaku
adil dan membuat keputusan terbaik untuk orang lain. Namun demikian, dalam masa
yang sama kita lupa bahawa nyawa, masa, tenaga, akal, anggota dan pancaindera
juga merupakan amanah yang jauh lebih besar nilainya.
Persoalannya, sejauh mana kita menjaga amanah-amanah ini?
Setiap hari, sejak celik mata hingga kembali melelapkan mata,
kita menggunakan nikmat penglihatan. Mata yang diberikan bukan sekadar untuk
melihat, tetapi untuk memilih apa yang boleh dilihat. Berapa banyak ilmu yang
kita tambah melalui mata? Berapa banyak masa yang kita bazirkan? Berapa banyak
dosa yang kita kumpulkan tanpa kita sedari?
Hakikatnya, setiap manusia adalah pemimpin. Bukan sekadar
pemimpin kepada orang lain, tetapi pemimpin kepada diri sendiri. Diri kita
adalah sebuah “kerajaan” yang perlu ditadbir. Jasmani, rohani dan akal perlu
diurus dengan disiplin. Jika kerajaan diri gagal ditadbir, maka mustahil kita
mampu memimpin keluarga, apatah lagi masyarakat dan negara.
Kebanyakan orang menghargai sesuatu yang jelas di mata. Kita
menghargai ibu bapa, guru dan sahabat. Kita berterima kasih apabila menerima
hadiah, lebih-lebih lagi jika hadiah itu besar nilainya. Namun demikian, kita
jarang menghargai nikmat yang paling besar, iaitu nikmat yang Allah SWT kurniakan
sejak lahir.
Bayangkan jika kita dilahirkan tanpa pancaindera yang
lengkap, kemudian setiap tahun Allah SWT memberikan satu demi satu nikmat
tersebut. Sudah tentu setiap kurniaan itu akan dihargai sepenuh jiwa. Mata akan
digunakan sebaiknya. Telinga akan dijaga penggunaannya. Setiap anggota akan
dimanfaatkan dengan penuh tanggungjawab.
Namun demikian, kerana semuanya dikurniakan sekaligus sejak lahir,
kita menjadi lalai. Kita tidak merasa kekurangan atau kehilangan, maka kita
tidak merasa nilai. Kita tidak menghargainya.
Lantas semuanya digunakan secara bebas tanpa panduan. Mata
digunakan untuk melihat perkara yang melalaikan. Telinga digunakan untuk
mendengar perkara yang sia-sia. Lidah digunakan untuk menyakiti dan menyebarkan
keburukan. Amanah yang sepatutnya membawa kita dekat kepada Allah SWT, akhirnya
menjadi sebab kita menjauh daripadaNya.
Kesimpulannya, setiap nikmat adalah amanah. Setiap amanah akan dipersoalkan. Hargailah apa yang kita ada hari ini, kerana esok belum tentu ia masih dipinjamkan kepada kita kerana ia boleh diambil kembali oleh Allah SWT pada bila-bila masa. Fikir-fikirkanlah.
Jom kita sambung penceritaan dan bab yang akan datang. Kongsikan blog ini andai ia bermanfaat. Sesungguhnya yang baik dari Allah SWT dan yang kurang baik adalah atas kelemahan diri saya sendiri.
Sekian dulu, Terima kasih.
Ikhlas
Haji Faizal Yusup sudah menulis 12 buah buku dalam genre umum, fiksyen, motivasi, novel dan pelaburan saham Bursa Malaysia. Pernah memenangi Dana Anugerah Penulis melalui novel Bukan Maksum dan Trilogi Man Rempit pada tahun 2012 dari Kementerian Telekomunikasi dan Multimedia. Pernah dijemput untuk menjalankan seminar, bengkel dan woksyop motivasi di sekolah dan universiti. Dewasa ini menubuhkan Yayasan Minda Akhirat dan menjalankan program motivasi Minda Akhirat. Revolusi Baru Sahsiah Diri.
Beliau juga merupakan seorang Top Performing Remisier di Kenanga Investment Bank Berhad. Pemenang pelbagai Anugerah Bursa Malaysia. Mantan Naib Presiden Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia dan pernah menjadi speaker dalam RoadShow InvestSmart anjuran Suruhanjaya Sekuriti. Dewasa ini beliau sering dijemput sebagai speaker dalam seminar saham From Zero to Hero yang diiktiraf Bursa Malaysia.
Beliau boleh dihubungi di talian 0166667430.
#mindaakhirat
#faizalyusup
Tiada ulasan:
Catat Ulasan